Pernas, Serai Group jalin kerjasama majukan industri francais Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pernas, Serai Group jalin kerjasama majukan industri francais Malaysia

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 5 Sept - Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan sebuah syarikat makanan dan minuman, Serai Group Sdn Bhd bagi memajukan industri francais di Malaysia. 

 

Perkongsian itu menyasar untuk mengukuhkan pembangunan perniagaan, mengembangkan pasaran serta inisiatif sokongan keusahawanan di Malaysia dan peringkat antarabangsa.

 

Menerusi MoU itu, Pernas akan memperluaskan perkhidmatan Serai Group serta membantunya mengembangkan jenamanya di pasaran tempatan dan antarabangsa.

 

hhh
Sesi menandatangani MoU Pernas bersama Serai Group

 

Menurut satu kenyataan, Pernas dan Serai Group berkata, perkongsian itu akan mencetuskan inovasi, membuka peluang pekerjaan dan menyokong perkembangan ekonomi negara.

 

"Kerjasama ini akan dijalankan mengikut tiga fokus utama kerajaan termasuk meneroka pasaran tempatan dan antarabangsa Bersama Serai Group dan menyokong usahawan francais bagi merangsang pertumbuhan ekonomi serta mencipta peluang pekerjaan. 

 

"Pernas akan memperluaskan tawaran konsep perniagaan kepada usahawan-usahawan Bumiputera manakala, Serai Group dapat mengembangkan perniagaan mereka," ujarnya. 

 

Sementara itu, MoU tersebut ditandatangani oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pernas, Tengku Mohamed Fadhli Tengku Hamzah dan Pengarah Projek Serai group, Qistina Taff.

 

Majlis itu disaksikan oleh Pengerusi Pernas, Datuk Hazimah Zainuddin dan Pengarah Urusan Serai Group, Najib Hamid.- DagangNews.com