Pernas sasar lahirkan 5,000 usahawan francais menjelang 2025 | DagangNews Skip to main content

Pernas sasar lahirkan 5,000 usahawan francais menjelang 2025

Datuk R Ramanan bergambar bersama barisan pengurusan tertinggi Pernas ketika mengadakan sesi lawatan ke Ibu Pejabat Pernas di sini pada 20 Februari 2024. Turut hadir Pengerusi Pernas, Datuk Hazimah Zainuddin dan Ahli Lembaga Pengarah Pernas, Ismail Abd Halim. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR 20 Feb - Perbadanan Nasional Bhd (Pernas) menyasarkan untuk melahirkan 5,000 usahawan francais menjelang 2025 membabitkan lebih 90% dalam kalangan usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). 

 

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R. Ramanan berkata, sasaran itu juga membabitkan sejumlah RM1.47 bilion dana pemegang saham. 

 

"Pernas telah diwujudkan sejak 1969 dan menjadi agensi yang sangat penting bagi industri francais sejak tahun 2000… sejak itu ( tahun 2000) pembiayaan francais yang telah ditawarkan Pernas adalah sebanyak RM441 juta dengan jumlah pelaburan RM709 juta.

 

"Daripada jumlah itu juga, lebih 5,000 usahawan telah dilahirkan dan mewujudkan 35,000 peluang pekerjaan," katanya kepada pemberita selepas program lawatan ke Pernas hari ini. 

 

Beliau berkata, Pernas merupakan satu agensi yang sangat penting untuk membangunkan dan mengembangkan industri francais serta usahawannya sekali gus membantu meningkatkan ekonomi negara. 

 

"Misi kita adalah untuk pastikan usahawan francais khususnya PMKS dibangunkan ke tahap yang lebih tinggi, peluang diberi kepada semua, anda perlu merebut peluang itu dan kerja kuat...kita mahu mereka bukan sekadar berada di gerai tetapi dapat tembusi pasar raya dan pasar raya besar termasuk di lapangan terbang. 

 

"Pernas juga telah mengadakan pelbagai program sokongan seperti program memperkasakan B40 yang bukan sahaja diadakan di Kuala Lumpur tetapi juga di negeri lain… saya juga berharap agar lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan di masa akan datang," katanya.

 

Dalam perkembangan lain, Ramanan berkata Akta Francais 1998 kini diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) seperti diputuskan Kabinet, lapor Bernama.

 

Sebelum ini, Akta Francais adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).  - DagangNews.com