Pernas labur RM5 juta bantu Bubbles O2 tembusi pasaran antarabangsa | DagangNews Skip to main content

Pernas labur RM5 juta bantu Bubbles O2 tembusi pasaran antarabangsa

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick (kanan) bersama timbalannya, Saraswathy Kandasamy (dua kanan), Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Suriani Ahmad (dua, kiri) dan Datuk Hazimah Zainuddin (kiri).
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 13 Sept - Perbadanan Nasional Berhad (Pernas), agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) giat membantu jenama Bubbles O2 mengembangkan perniagaan di dalam dan luar negara melalui suntikan pelaburan berjumlah RM5 juta.

 

Pernas memaklumkan, melalui pelaburan ini, Bubble O2 menyasarkan pasaran domestik dan eksport termasuk di Brunei, Thailand, Indonesia, Dubai, Puerto Rico, Amerika Syarikat dan Kanada bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat. 

 

Selain itu katanya, pelaburan ini merangkumi perluasan kawasan kilang serta perbelanjaan operasi dan modal kerja. 

 

"Bubbles O2 kini juga mengeluarkan pembungkusan baharu yang menggunakan botol kaca premium selain mempunyai perancangan untuk menghasilkan air mineral berperisa dengan vitamin.

 

"Pada 2022, Bubbles O2 mencatatkan jualan sebanyak RM3.7 juta menerusi penjualan air mineral tersebut di seluruh Malaysia. 

 

"Manakala, pada 2023, Bubbles O2 mencapai sasaran jualan sebanyak RM6.7 juta. Melalui bantuan pelaburan yang ditawarkan Pernas, jualan Bubbles O2 dijangka meningkat 50% bagi tahun 2024/2025," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Pengerusi Pernas, Datuk Hazimah Zainuddin, berkata, sejak skim pelaburan Pernas diperkenalkan mulai 1998 sehingga kini, pihaknya melabur dalam 85 syarikat dengan jumlah pelaburan sebanyak RM934 juta. 

 

 

pernas
Datuk Ewon Benedick (tengah) menyampaikan replika cek kepada Ketua Pegawai Eksekutif Bubbles O2, Ain Azizah Arifin (dua, kiri). Turut kelihatan, Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Pernas, Datuk Abu Bakar As-Sidek Mohd Sidek (kanan), Datuk Hazimah Zainuddin (dua, kanan), Saraswathy Kandasamy (tiga, kanan) dan Datuk Seri Suriani Ahmad (tiga, kiri).

 

 

Katanya, bagi tempoh lima tahun (2024-2028), Pernas menyasarkan peruntukan RM300 juta untuk tempoh lima tahun iaitu RM60 juta setahun bagi pelaburan ekuiti.

 

"Jenis pelaburan tidak terhad kepada syarikat francais, malah Pernas mengenal pasti syarikat berpotensi untuk dikembangkan melalui pelaburan seperti Bubbles O2. 

 

 

pernas

 

 

"Melalui aktiviti pelaburan strategik, Pernas dapat membantu syarikat-syarikat ini agar mampu berdaya saing ke peringkat lebih membanggakan," katanya. - DagangNews.com