PERNAS kembali sebagai agensi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup - Salahuddin | DagangNews Skip to main content

PERNAS kembali sebagai agensi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup - Salahuddin

KUALA LUMPUR 7 Julai - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang berusaha untuk meletakkan kembali Perbadanan Nasional Bhd (PERNAS) di bawah kementerian itu dalam usaha untuk menyelaras industri francais di bawah satu kementerian sahaja.

 

Ketika ini, akta membabitkan francais terletak di bawah bidang kuasa KPDN manakala agensi pelaksana iaitu PERNAS di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

 

Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata beliau telah menulis surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim awal tahun ini sejurus menerajui kementeriannya memohon supaya PERNAS diletakkan di bawah KPDN.

 

Katanya, perkara berkenaan juga sudah dibincangkan di dalam Kabinet sebelum ini, tetapi masih belum ada keputusan yang dibuat mengenainya.

 

"Sasaran kita secepat mungkin (PERNAS kembali kepada KPDN), mungkin tahun ini, tapi saya serahkan kepada kebijaksanaan kabinet terutama Perdana Menteri.

 

"Beliau pun faham yang sememangnya KPDN adalah kementerian yang mempunyai paling sedikit agensi. Kami hanya ada tiga sahaja iaitu Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

 

"Jadi kalau dapat PERNAS dikembalikan kepada matlamat dan objektif asal itu amat membantu untuk kita terus jadikan industri francais ini sesuatu yang memberi kesan langsung kepada usahawan kita," katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Ekspo Francais Peruncitan dan Francais Antarabangsa Malaysia 2023 (FE MIRF 2023) di sini, hari ini, menurut laporan Berita Harian.

 

Mengulas lanjut Salahuddin berkata, beliau juga sudah mengadakan perbincangan dengan Menteri KUSKOP, Datuk Ewon Benedick secara baik berhubung perkara berkenaan dan masing-masing tiada masalah untuk cuba kembalikan PERNAS di bawah KPDN.

 

"Malah, perkara ini diminta sendiri oleh peserta industri francais kerana mereka merasakan lebih mudah untuk berurusan dan mengadakan libat urus jika keseluruhan rantaian nilai itu diletakkan dibawah KPDN," katanya.

 

Sementara itu, FE MIRF 2023 dijangka mampu menarik pelaburan bernilai RM120 juta daripada pemain industri tempatan dan antarabangsa sepanjang tiga hari ia berlangsung.

 

Lebih 400 reruai disediakan membabitkan 200 pempamer, tempatan dan luar negara pameran. FE MIRF 2023 menjangkakan kehadiran lebih 15,000 orang pengunjung, termasuk bakal pelabur, pemilik perniagaan dan pelanggan.

 

la berpotensi untuk menghasilkan peningkatan dalam aktiviti perniagaan, transaksi pempamer dan jualan.

 

Dengan pertumbuhan yang signifikan dalam penyertaan oleh pelabur dan peruncit luar negara seperti Taiwan, Korea, Singapura, Amerika Syarikat, United Kingdom Vietnam, India dan Australia, FE MIRF 2023 membawa jenama yang kukuh dan mempunyai permintaan tinggi serta menjadi platform kepada pemegang francais dan pelabur tempatan.

 

Selain itu, pempamer tempatan turut mempamerkan konsep francais buatan Malaysia yang inovatif, mempersembahkan peluang menarik kepada pelabur untuk menyertai pertumbuhan jenama tempatan. - DagangNews.com