KUALA LUMPUR 2 Ogos - Kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) pada Mei lalu sebanyak 25 mata asas, hakikatnya tidak menghalang orang ramai untuk terus membuat permohonan pembiayaan.
Ini dapat dilihat apabila pembiayaan dalam sistem melonjak ke paras tertinggi bulanan setakat Jun, meningkat 0.7% bulan ke bulan pada Mei dan 5.6% tahun ke tahun.
Penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Fiona Leong berkata, permohonan pembiayaan pada bulan tersebut meningkat 18% bulan ke bulan manakala 42% tahun ke tahun di sebalik kenaikan 11 mata asas bulan ke bulan dalam kadar purata pinjaman kepada 3.79%.
Katanya, permohonan pembiayaan bagi kenderaan meningkat 16% bulan ke bulan, kemungkinan dipacu oleh penamatan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST), selain peminjam mengejar kadar faedah yang lebih rendah dengan menjangkakan kenaikan OPR selanjutnya.
"Secara keseluruhan, penunjuk pembiayaan kekal kukuh dengan permohonan sistem pembiayaan, kelulusan dan pengeluaran masing-masing meningkat 11.2%, 24.9% dan 19.4%.
"Ini adalah selaras dengan panduan yang kami terima daripada bank, yang mencadangkan bahawa momentum perniagaan kekal mampan walaupun terdapat kebimbangan mengenai inflasi dan persekitaran kadar faedah yang meningkat.
"Setakat Jun, pinjaman sistem tumbuh menjejaki unjuran setahun penuh kami iaitu kekal pada 5.1% bagi tahun ke tahun," katanya dalam nota kajian.
Data yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM) pada Jumaat lalu menunjukkan pembiayaan bersih pada Jun meningkat 5% berbanding 4.5% bulan sebelumnya didorong oleh pertumbuhan yang lebih tinggi dalam pinjaman terkumpul (5.6%; Mei: 5.0%) manakala pertumbuhan bon korporat terkumpul kekal tidak berubah pada 3.4%.
Pertumbuhan pinjaman isi rumah terkumpul meningkat merentas semua tujuan pinjaman sebanyak 5.9% mencerminkan pertumbuhan yang lebih tinggi dalam pengeluaran pinjaman, terutamanya untuk kereta dan rumah.
Bagi perniagaan, pinjaman terkumpul meningkat pada 5.8% apabila pertumbuhan dalam pengeluaran pinjaman meningkat kepada 23% mengatasi pertumbuhan bayaran balik pinjaman.
Mengikut sektor, pertumbuhan pinjaman terkumpul yang lebih tinggi mencerminkan pertumbuhan yang lebih kukuh dalam perdagangan borong dan runcit, serta pengangkutan, penyimpanan dan komunikasi.
Mengulas lebih lanjut, Fiona berkata, sistem pembiayaan yang berkembang 5.6% tahun ke tahun menjadikan pertumbuhan tahunan setakat ini kepada 5.3%, sejajar dengan ramalan pertumbuhan 5.1% bagi 2022.
"Seperti dijangka, pinjaman kepada sektor perdagangan borong dan runcit terus menunjukkan momentum yang kukuh, memperoleh 1.9% bulan ke bulan berikutan momentum perniagaan yang mampan selepas pembukaan semula ekonomi.
"Pinjaman gadai janji kediaman pula meningkat 0.6% bulan ke bulan dan 7.3% tahun ke tahun manakala modal kerja meningkat dengan kukuh pada 1.4% bulan ke bulan dan 7.4% tahun ke tahun," jelasnya.
Bagaimanapun, beliau bimbang dengan pembiayaan berkaitan pembinaan yang melonjak hampir 3 kali ganda pada Jun, namun kelulusan sebaliknya merosot 4% bulan ke bulan.
"Panduan daripada bank menunjukkan bahawa pemberi pinjaman mengambil langkah berhati-hati terhadap pinjaman untuk tujuan pembinaan susulan kenaikan kos bahan binaan dan kekurangan buruh yang menjadi cabaran kepada pemain industri," tambahnya.
Namun, secara keseluruhan RHB Investment mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor perbankan dengan menamakan Hong Leong Bank Bhd., AMMB Holdings Bhd. dan Malayan Banking Bhd. (Maybank) sebagai pilihan utamanya. - DagangNews.com








