KUALA LUMPUR 17 Mac - Pentadbir sektor awam perlu mempelajari kemahiran baharu dalam usaha mendepani persekitaran operasi yang mencabar dan sukar dijangka.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, peningkatan kemahiran kepimpinan kritikal dalam kalangan penjawat awam yang boleh membimbing generasi akan datang ke arah tadbir urus yang lebih baik, pertumbuhan mampan dan pembangunan sosio-ekonomi yang inklusif.
Beliau berkata, dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), lebih banyak inisiatif akan diperkenalkan untuk membangunkan sektor awam yang berkesan dan bertanggungjawab bagi memenuhi jangkaan, berikutan kemajuan dalam teknologi serta peningkatan kelas pertengahan dan dinamik penduduk.
"Tiga bidang tumpuan diketengahkan oleh kerajaan untuk mencapai visi ini iaitu pengurusan bakat; kerajaan terus berpaksikan rakyat dan petunjuk prestasi utama (KPI) penjawat awam," katanya dalam sesi webinar anjuran Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) bertajuk 'Economic Chat : Revisiting Public Sector Reform in Malaysia' hari ini, lapor Berita Harian.
Mustapa berkata, perkhidmatan awam Malaysia melalui banyak kitaran pembaharuan sejak Merdeka dengan isu utama berkaitan pelaksanaan yang lemah telah merencatkan kejayaan untuk mencapai matlamat pembaharuan yang dilaksanakan.
Beliau menegaskan, sektor awam perlu melakukan perubahan dan tidak boleh terus kekal seperti itu.
"Jangkaan awam terhadap penyampaian dan prestasi kerajaan adalah lebih tinggi pada masa ini berbanding sebelum ini apabila kita meningkat naik tangga pendapatan.
"Kementerian dan agensi di bawahnya perlu terus memberi tumpuan kepada penyampaian perkhidmatan dengan lebih cekap.
"Sejak kemunculan COVID-19, tekanan yang luar biasa telah berlaku diletakkan di atas bahu penjawat awam. Di sebalik cabaran ini, maklum balas adalah baik secara keseluruhan, dan kita mesti memberi penghormatan kepada kerja cemerlang barisan hadapan perubatan dan bukan perubatan kita," katanya. - DagangNews.com








