Penjelasan Brahim’s buka mata orang ramai, tuduhan `kontrak legasi, monopoli’ tidak betul – penganalisis industri | DagangNews Skip to main content

Penjelasan Brahim’s buka mata orang ramai, tuduhan `kontrak legasi, monopoli’ tidak betul – penganalisis industri

Trak pengangkut makanan yang direka khas supaya boleh diubah ke paras pesawat milik Brahim's. - Gambar NAIM AZIZ/ DagangNews
Oleh JOHARDY IBRAHIM

PENJELASAN Brahim’s Holdings Berhad pada 8 September 2023, membuka mata orang ramai dan pemerhati industri mengenai kemelut yang melanda syarikat itu dengan Malaysia Airlines.

 

Dakwaan mengatakan kelemahan mutu Brahim’s benar-benar menjadi tanda tanya semula kerana jika benar buruk, bagaimana boleh pula Brahim’s terus membekalkan sajian makanan kepada 35 syarikat penerbangan global, termasuk 8 syarikat terbesar dunia?

 

Paling menarik perhatian umum ialah fakta langkah menyelamat MAS oleh kerajaan pada 2014, ekoran bencana MH370 dan MH17 di mana Parlimen bersama Khazanah Nasional Berhad mengemukakan satu usul yang dinamakan Pelan Penyusunan Semula MAS pada 2014 dan Akta Penerbangan Malaysia Berhad (Pentadbiran) 2015.

 

Penguatkuasaan akta tersebut secara langsung membatalkan kontrak 25 tahun, yang ketika itu baharu berjalan 12 tahun, tanpa apa-apa pampasan dan juga hutang tertunggak sajian makanan daripada Brahim’s sebanyak RM73 juta tidak dibayar selepas MAS ditukar nama.

 

Begitu juga `kontrak legasi' yang mengaitkan syarikat itu memperoleh MAS Catering pada 2003 kononnya hubungan Datuk Seri Ibrahim Ahmad dengan abangnya Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri ketika itu.

 

Rekod menunjukkan rundingan mengambil alih MAS Catering sudah bermula tujuh, lapan bulan sebelum itu di zaman Tun Mahathir Mohamad masih menjadi Perdana Menteri.

 

Secara kebetulan, dalam tempoh sama, Tun Mahathir menyerahkan tampuk eksekutif negara kepada Pak Lah sebulan sebelum urus niaga Brahim’s dan MAS Catering dimuktamadkan.


 

brahim's
Bangunan Kemudahan Brahim's Food Services yang menempatkan dapur dan penyajian makanan dalam penerbangan di KLIA. - Gambar NAIM AZIZ/DagangNews

 


“Fakta-fakta ini dengan jelas menolak dakwaan Brahim’s menikmati `kontrak legasi, monopoli’ serta mutu perkhidmatan yang teruk,” kata Wan Mohd Farid Mohd Zakaria, pensyarah kanan Fakulti Perniagaan & Pengurusan UiTM.

 

Penghantaran makanan lewat telah menyebabkan kelewatan penerbangan yang serius pada hari pertama MAS melakukan katering sendiri pada 1 September 2023, terdapat 75 kelewatan penerbangan terutamanya disebabkan oleh masalah katering di KLIA.

 

Masalah tersebut yang sehingga menyebabkan penerbangan terlewat tidak boleh dibenarkan berlarutan kerana ini akan memberi kesan kepada status KLIA sebagai hab perjalanan, yang telah ditolak ke kedudukan nombor 46 di dunia.

 

Syarikat katering dalam penerbangan Brahim's Food Services Sdn Bhd (BFS) berhenti membekalkan makanan dalam penerbangan di atas pesawat Malaysia Airlines sejak 1 September 2023 selepas usaha untuk mendamaikan perbezaan kedua-dua syarikat itu gagal, menyebabkan mereka menamatkan kontrak katering selama dua dekad. 


 

MAS
Makanan `sementara' yang dihidang di dalam penerbangan Malaysia Airlines sehingga kemelutnya dengan Brahim's diselesaikan. - Gambar Netizen


 

MAG bagaimanapun masih memiliki 30 peratus kepentingan dalam BFS, manakala Brahim's memegang baki 70 peratus kepentingan.

 

Wan Mohd Farid berkata, berdasarkan penelitian kepada fakta-fakta yang disampaikan oleh Pengerusi Eksekutif BHB, Datuk Seri Ibrahim Ahmad juga memberi gambaran jelas mengapa kontrak katering itu pada asalnya sepanjang 25 tahun.

 

“Ia berkait dengan kos pengambilalihan MAS Catering iaitu RM170 juta dan hanya dengan menambah tempoh kontrak, baharu ia memenuhi keperluan bank. Sama seperti konsesi lebuh raya.

 

“Saya melihat isu sebenar sekarang ialah soal harga ekuiti 70% di dalam BFS. Brahim’s walaupun berat hati, terpaksa menjual disebabkan Malaysia Airlines mahukan bisnes itu balik.

 

 

Wan Mohd Farid Mohd Zakaria
                 Wan Mohd Farid Mohd Zakaria

 


Pada 23 Ogos, Deloitte Malaysia dilaporkan menilai kepentingan 70 peratus Brahim dalam BFS sehingga RM129 juta, tidak termasuk sebarang muhibah (goodwill). Anggaran itu berdasarkan penilaian Deloitte Malaysia antara RM162.8 juta dan RM184 juta untuk BFS secara keseluruhan.

 

“Apakah Malaysia Airlines sanggup memenuhi harga yang dimahukan oleh Brahim’s atau saham itu dilepaskan kepada pihak lain yang sanggup membayar? Ini yang menarik untuk diperhati,” kata beliau.

 

Wan Mohd Farid berkata, isu ini sepatutnya boleh dikendalikan secara lebih berhemah, lebih kelas kerana bila kontrak Brahim’s ditamatkan pada 31 Ogos lalu, yang menjadi mangsa adalah para penumpang.

 

 

brahim's
Kemudahan dapur BFS di KLIA adalah canggih dan memenuhi persijilan HACCP - Gambar NAIM AZIZ/DagangNews

 

 

“Ada juga gosip industri bahawa Malaysia Airlines meminta entiti lain supaya tidak meneruskan rundingan agar rundingan kekal antaranya dengan Brahim’s.

 

“Saya berpendapat perkara ini boleh diselesaikan segera bila Malaysia Airlines memenuhi permintaan Brahim’s atau sekurang-kurangnya satu jumlah yang dipersetujui kedua-dua pihak,” kata beliau.

 

Apakah perlu campur tangan kerajaan, Wan Mohd Farid berkata, perkara ini adalah hal-ehwal korporat yang sewajarnya boleh ditangani di peringkat korporat tetapi kerajaan pasti akan bersuara jika keadaan tidak berubah.  - DagangNews.com