Pengurusan kos jadi keutamaan F&N bagi FY22, sasar perkukuh jenama Sri Nona | DagangNews Skip to main content

Pengurusan kos jadi keutamaan F&N bagi FY22, sasar perkukuh jenama Sri Nona

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 17 Jan - Pengurusan kos yang lebih efisien akan menjadi keutamaan Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) bagi tahun ini dalam mendepani cabaran akibat pandemik COVID-19. 

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lim Yew Hoe berkata, tumpuan tersebut termasuklah mengkaji semula perbelanjaan perdagangan, pelaburan peruntukan modal (capex) yang strategik dan perolehan pintar untuk mendapatkan nilai lebih baik. 

 

Katanya, kumpulan juga akan memanfaatkan keupayaan pengeluaran yang kukuh, mempelbagaikan rangkaian produk dan memperhalusi campuran produk dan harga untuk memaksimumkan keuntungan.

 

"Persekitaran bagi tahun kewangan 2022 (FY22) dijangka terus mencabar berikutan penularan pandemik yang masih berlarutan, manakala harga komoditi pula mungkin terus meningkat. 

 

"Tetapi, ini tidak menjejaskan kumpulan daripada melaksanakan inisiatif yang strategik demi masa depan yang lebih mampan. Malah, kami tetap yakin dengan potensi jangka panjang pasaran kami," katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) kumpulan yang ke-60 hari ini. 

 

Syarikat makanan dan minuman (F&B) itu mencatatkan keuntungan bersih yang lebih rendah kepada RM395.16 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2021 (FY21) daripada RM410.38 juta pada tahun kewangan sebelumnya. 

 

Pendapatan, bagaimanapun, meningkat kepada RM4.13 bilion pada FY21 berbanding RM3.99 bilion pada tempoh yang sama sebelumnya, dipacu oleh prestasi eksport perniagaan F&B yang kukuh di Malaysia dan Thailand, serta sumbangan daripada perniagaan makanannya dalam tempoh 9 bulan.

 

Bagi tempoh jangka masa panjang, kumpulan kekal teguh dalam keutamaan strategiknya dan terus membina tonggak perniagaan keempat iaitu Makanan Halal Berbungkus susulan pengambilalihan syarikat Sri Nona Food Industries Sdn Bhd. pada Disember 2020.

 

Menurut Yew Hoe, Sri Nona merekodkan sumbangan yang positif bagi tahun pertama selepas pengambilalihan itu bagi FY21 dan melihat jenamanya mempunyai potensi untuk direalisasikan, terutama dalam memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk kemudahan dan produk makanan sedia untuk dimakan.

 

"Perniagaan makanan halal semakin berkembang pada kadar 2 digit. Oleh itu, kumpulan sedang mempertimbangkan untuk memperluaskan rangkaian produk dan kapasiti pengeluaran sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk berkembang dalam pasaran halal," jelasnya. 

 

Selain itu, tambahnya, pasaran eksport akan terus menjadi fokus bagi Food & Beverage di Malaysia dan Thailand pada FY22.

 

Beliau juga memberitahu, F&N akan terus melaksanakan langkah menjenama semula perniagaannya sama ada secara organik atau sinergi perniagaan bagi memastikan kelestarian pada masa hadapan. 

 

Katanya, ia termasuklah membina kemampuan dan aliran pendapatan baharu, mempertimbangkan peluang pengambilalihan dan penggabungan (M&A) dan meneruskan hasrat dalam penternakan tenusu.

 

Sementara itu, Yew Hoe berkata, akibat banjir akhir tahun lalu, ia telah menjejaskan kilangnya di Shah Alam tetapi tidak memberi impak yang ketara kepada kumpulan.

 

"Kami juga bekerjasama rapat dengan syarikat insurans berhubung kerosakan harta benda dan kerugian berbangkit. 

 

"Kerosakan yang dianggarkan adalah kira-kira RM40 juta, dengan barangan yang besar musnah akibat banjir, di samping bahan mentah dan pembungkusan," jelas beliau. - DagangNews.com