Pengguna lebih berhati-hati berbelanja pada 2024, kesan bakal dirasai Aeon, peruncit - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Pengguna lebih berhati-hati berbelanja pada 2024, kesan bakal dirasai Aeon, peruncit - MIDF Research

Sebahagian pengguna Malaysia mencari alternatif produk lebih murah bagi barangan bukan keperluan, kata MIDF Research. Gambar Dagang News
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 23 April - Tekanan inflasi pada 2024 dan kelembapan ekonomi global yang sebahagiannya didorong ketegangan geopolitik mengakibatkan pengguna beralih mengutamakan produk lebih murah.

 

Menurut MIDF Research, faktor-faktor tersebut juga menyebabkan sentimen pengguna menjadi lemah yang menjejaskan pembelian barangan bukan keperluan.

 

Katanya, alternatif yang lebih murah adalah seperti produk menggunakan jenama label peribadi dengan sedikit sebanyak ada pengguna menangguhkan pembelian penting melainkan yang sangat diperlukan atau setelah mendapat promosi besar-besaran.

 

"Permintaan barang bukan keperluan lemah di tengah-tengah tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat. Kami menjangkakan pengguna yang sensitif dengan harga akan lebih berhati-hati dalam perbelanjaan pada tahun 2024.

 

"Ini terutamanya disebabkan oleh peningkatan kos kehidupan sepanjang tahun, didorong oleh pelbagai perubahan dasar fiskal (cukai baharu dan subsidi bersasar).

 

"Akibatnya, kami menjangkakan kesan limpahan ke atas peruncit seperti Aeon Co (Neutral, harga sasaran RM1.14 sesaham) yang terlibat dalam penjualan semua jenis produk," katanya dalam nota penylidikan hari ini.

 

 

Sementara itu, kata MIDF Research, kenaikan berterusan dalam kos input bahan mentah tertentu seperti koko dan biji kopi dijangka menyebabkan kenaikan harga produk berkaitan.

 

Katanya, pemindahan kos kepada pengguna melalui pelarasan harga tidak dapat dielakkan pada masa depan dengan syarikat makanan dan minuman (F&B) koko dan coklat akan terus berdepan margin keuntungan kecil akibat peningkatan harga biji koko.

 

"Kami telah melihat trend peningkatan berterusan dalam koko (+215% yoy), Arabica (+15.2%yoy), dan Robusta (+60.8%yoy) dalam niaga hadapan.

 

"Ini terutamanya disebabkan oleh keadaan cuaca ekstrem di negara pengeksport utama yang menurunkan hasil pengeluaran.

 

"Walaupun kebanyakan bahan input semakin normal, kenaikan berlebihan dalam komoditi terpilih telah menghakis margin keuntungan produk tertentu, terutamanya dalam siri "MILO" dan "Nescafe". Ambil perhatian bahawa kos bahan mentah menyumbang 75%-85% daripada jumlah kos jualan," ujarnya.

 

Keadaan ini, kata firma penyelidikan itu ditekan lagi dengan kelemahan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) yang meningkatkan kos bahan mentah untuk syarikat F&B dan industri penternakan ayam.

 

"Sebarang pengukuhan dalam dolar AS akan menyebabkan kos perolehan bahan mentah yang lebih tinggi.

 

"Ini amat penting kerana kebanyakan bahan mentah diperoleh dalam dolar AS," jelasnya.

 

MIDF Research mengekalkan saranan Neutral ke atas sektor pengguna walaupun terdapat permintaan lebuh kukuh pada 2024.- DagangNews.com