Penganalisis jangka kerajaan akan ambil tindakan bendung inflasi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penganalisis jangka kerajaan akan ambil tindakan bendung inflasi

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 27 Mac - Kerajaan dijangka mengambil tindakan untuk membendung inflasi jika kenaikan harga komoditi dan gangguan bekalan yang berlarutan dalam pasaran antarabangsa menyebabkan berlakunya tekanan inflasi yang lebih kuat.

 

Data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia bagi Februari 2022 meningkat 2.2% kepada 125.2 berbanding 122.5 pada bulan yang sama tahun sebelumnya, melepasi purata inflasi bagi tempoh 2011 hingga Februari 2022 (1.9%).

 

Kenaikan IHP itu yang mengukur kadar inflasi didorong terutamanya kenaikan inflasi makanan, yang merupakan penyumbang terbesar kepada keseluruhan wajaran IHP. 

 

Menurut MIDF Research, dalam kebanyakan ekonomi global, faktor inflasi tolakan kos dan jurang permintaan-penawaran, berdasarkan kekangan bekalan yang berterusan dan harga komoditi yang melonjak, terus meningkatkan harga pengguna global.

 

"Pada masa akan datang, terdapat tekanan harga yang lebih tinggi daripada kenaikan harga komoditi global, selain kesesakan bekalan dalam persekitaran konflik yang berterusan di Ukraine.

 

"Selain itu, penguatkuasaan semula sekatan pergerakan di China turut menyumbang kepada tekanan inflasi berikutan bekalan global mungkin mengambil masa yang lebih lama untuk kembali normal," katanya dalam nota kajian pada Jumaat.

 

Ia mendapati kadar inflasi tahunan Amerika Syarikat (AS) mencecah paras tertinggi dalam tempoh beberapa dekad sebanyak 7.9% tahun ke tahun pada Februari 2022, disokong oleh kenaikan harga tenaga dan makanan.

 

Kenaikan bil makanan dan tenaga turut menyebabkan inflasi keseluruhan di zon euro meningkat kepada paras tertinggi sepanjang masa sebanyak 5.9% tahun ke tahun pada Februari 2022. 

 

Trend yang sama turut dilihat di beberapa negara Asia seperti Singapura, Thailand, Korea Selatan dan Jepun pada Februari.

 

Sementara itu, harga pengguna merosot di Indonesia dan Taiwan, disokong oleh inflasi yang lebih perlahan untuk perumahan, antara lainnya.

 

Baca : Kadar inflasi meningkat 2.2% pada Februari 2022, lepasi purata inflasi bagi tempoh 10 tahun

 

MIDF Research bagaimanapun mengekalkan unjuran Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia akan menyederhana kepada 2.1% pada 2022 berbanding 2.5% tahun lalu dengan kenaikan harga makanan dan permintaan yang semakin meningkat sebagai punca inflasi.

 

Dengan inflasi kekal dalam anggaran 2% hingga 3%, ia turut menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas (bps) kepada 2.00% pada separuh kedua 2022 berikutan pertumbuhan ekonomi yang mampan. 

 

Dalam pada itu, CGS-CIMB Research berdasarkan anggarannya mendapati kerajaan ketika ini menanggung subsidi sebanyak RM1.78 seliter bagi RON95 manakala RM1.96 seliter bagi diesel.

 

Katanya, ia menggambarkan terdapat kemungkinan harga bahan api dinaikkan antara 80% hingga 90% daripada paras semasa apabila mekanisme subsidi bersasar diperkenalkan.

 

"Pada masa sama, peningkatan gaji minimum daripada RM1,200 kepada RM1,500 sebulan bagi syarikat besar dan sektor awam berkuat kuasa 1 Mei ini, dijangka menambah kepada tekanan kos," jelasnya.

 

Di sebalik risiko inflasi, firma itu melihat BNM tidak tergesa-gesa untuk menaikkan kadar faedah memandangkan dasar monetari jarang bertindak balas kepada inflasi tolakan kos, dan memberi tumpuan kepada pemulihan permintaan asas. 
 

Sehubungan itu, ia mengulangi jangkaan 2 kali kenaikan OPR dengan 25 mata asas setiap pada separuh kedua, menjadikan OPR kepada 2.25% menjelang akhir 2022 berbanding 1.75% ketika ini. - DagangNews.com