KUALA LUMPUR 17 Mac - Pemilihan model rangkaian borong tunggal (SWN) bagi pelancaran 5G mencerminkan aspirasi nasional untuk Digital Malaysia yang inklusif, menurut Telekom Malaysia Bhd. (TM).
Malah, katanya, ia turut menggambarkan satu lagi contoh usaha sama awam-swasta dalam pelaksanaan infrastruktur telekomunikasi kritikal bagi melonjakkan pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia.
Ini membolehkan kumpulan terus menyediakan backhaul gentian (fiber) seperti yang telah dipersetujui dalam perjanjian yang ditandatangani dengan Digital Nasional Bhd. (DNB) pada 16 Disember 2021.
"Kami berharap dapat melancarkan produk dan penyelesaian berkeupayaan 5G kepada pelanggan unifi dan TM ONE kami.
"Buat masa ini, kami sedang menjalankan percubaan rangkaian dan pelanggan di peringkat dalaman untuk membawakan penawaran fiber 5G konvergens yang dipertingkatkan serta perkhidmatan 5G kepada pelanggan unifi dan TM ONE.
"Ini adalah bergantung kepada muktamadnya perjanjian borong kami bersama DNB kelak," katanya dalam kenyataan hari ini.
TM turut menyambut baik pemilihan model SWN kerana membolehkan syarikat-syarikat telekomunikasi memberi tumpuan kepada pelaburan dan membangunkan produk dan penyelesaian 5G yang inovatif untuk pelanggan akhir.
"DNB pula akan memberi tumpuan kepada pembinaan rangkaian ke arah pelaksanaan liputan dan kapasiti yang lebih pantas dengan cara yang menjimatkan kos," tambahnya.
Kementerian Kewangan (MoF) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) semalam memutuskan untuk mengekalkan pelaksanaan rangkaian 5G secara SWN, dengan membuka ruang untuk syarikat-syarikat telekomunikasi memegang ekuiti dalam DNB.
Baca : 5G : Kerajaan kekal model SWN, tawar 70% ekuiti dalam DNB kepada syarikat telco
Ia menyaksikan kerajaan menawarkan sehingga 70% daripada ekuiti DNB kepada Pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO) yang komited kepada Perjanjian Akses untuk perkhidmatan borong manakala kerajaan memegang 30% ekuiti.
DNB akan dikawal selia oleh KKMM, selaku kementerian yang bertanggungjawab ke atas industri telekomunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) manakala MoF akan terus memantau DNB dari segi tadbir urus dan sebagai pemegang saham.
Sementara itu, dalam kenyataan bersama, pengendali rangkaian mudah alih (MNO) iaitu Celcom Axiata Bhd, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Maxis Bhd dan U Mobile Sdn Bhd menyambut baik keputusan kerajaan untuk mengekalkan pelaksanaan rangkaian 5G secara Rangkaian Borong Tunggal (SWN) selain membuka ruang bagi syarikat telekomunikasi memegang ekuiti dalam DNB.
Malah, MNO terbabit memaklumkan kesediaan untuk terbabit dalam sesi libat urus dengan Kementerian Kewangan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan penggiat utama industri tersebut bagi mendapatkan perincian pelaksanaan model berkenaan, termasuk cadangan tawaran pegangan ekuiti serta proses transaksi berkaitan.
Kumpulan MNO berkenaan turut berkongsi komitmen untuk merealisasikan cita-cita digital negara dan yakin dengan manfaat 5G ke atas perniagaan, pelanggan dan kerajaan dalam memperkukuh daya saing Malaysia di rantau ini. - DagangNews.com








