KUALA LUMPUR 11 Mei - Penyedia penyelesaian ruang industri bersepadu, AME Elite Consortium Bhd. memperoleh kelulusan pemegang saham pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) hari ini untuk cadangan penyenaraian AME Real Estate Investment Trust (REIT).
Ia melibatkan penyenaraian dan sebut harga untuk 520 juta kepentingan tidak dibahagikan (unit) di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd. (Bursa Securities).
Pemegang saham turut mengundi menyokong tawaran yang dicadangkan sebanyak 254.8 juta unit, mewakili 49% daripada jumlah 520 juta unit dalam AME REIT.
Tawaran yang dicadangkan itu merangkumi sehingga 156.6 juta unit Tawaran Terhad Untuk Dijual (ROFS) kepada pemegang saham AME yang berhak berdasarkan 1 unit ROFS bagi setiap 5 saham biasa yang dipegang dalam AME pada tarikh kelayakan manakala 7.8 juta unit diperuntukkan kepada pekerja dan pengarah AME yang layak dan anak syarikat diikuti 10.4 juta unit kepada orang ramai.
Sementara itu, hampir 80 juta unit ditawarkan kepada pelabur bumiputera yang diluluskan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri termasuk pelabur institusi dan pelabur terpilih.
Pada harga tawaran ilustrasi RM1.00 seunit, AME dianggarkan berpotensi mengumpul RM254.8 juta hasil daripada penyenaraian AME REIT.
Daripada hasil yang akan dikumpul, sebanyak RM105 juta akan digunakan untuk membayar balik pinjaman, RM4.5 juta untuk perbelanjaan berkaitan penubuhan REIT dan baki RM145.3 juta untuk projek pembangunan dan pelaburan hartanah perindustrian termasuk pengambilan tanah dan usaha sama.

Dalam kenyataan hari ini, Pengarah Urusan AME, Kelvin Lee Chai berkata, kelulusan yang diperoleh itu membolehkan AME REIT disenaraikan di Bursa Malaysia pada separuh kedua 2022, sekali gus menambah nilai kepada aset berkaitan perindustrian.
Katanya, AME REIT akan menjadi enjin utama yang mewakili aktiviti pelaburan hartanah kumpulan selepas kemunculannya di Pasaran Utama.
"Oleh itu, kami akan mendapat manfaat daripada hubungan simbiotik ini, kerana AME mampu melaksanakan projek pembangunan masa depan dengan kecekapan modal yang dioptimumkan.
"Pada masa sama, membolehkan AME REIT mendapatkan portfolio kukuh hartanah berkaitan perindustrian," katanya.
Pemegang saham AME turut meluluskan cadangan melupuskan 31 aset hartanah perindustrian dan 3 hartanah berkaitan industri kepada AME REIT dengan jumlah pertimbangan RM557.0 juta, yang akan dipenuhi melalui cadangan pengeluaran 520 juta unit dalam AME REIT dan pertimbangan tunai sebanyak RM37 juta.
AME REIT ialah REIT islamik yang akan mempunyai portfolio awal 31 hartanah perindustrian dengan pajakan/penyewaan berterusan kepada pelbagai syarikat tempatan dan asing, serta 3 asrama pekerja yang kebanyakannya memenuhi keperluan pekerja penyewa taman perindustrian AME.
Setakat 31 Mac 2022, purata kadar penghunian bagi hartanah perindustrian dan asrama pekerja masing-masing berada pada 97.1% dan 100%. - DagangNews.com








