Pemegang saham AirAsia X terima hasil positif daripada pengambilalihan perniagaan penerbangan Capital A, kata Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Pemegang saham AirAsia X terima hasil positif daripada pengambilalihan perniagaan penerbangan Capital A, kata Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 April - Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengunjurkan pemegang saham sedia ada AirAsia X Bhd (AAX) menerima impak positif daripada langkah pengambilalihan perniagaan penerbangan Capital A Bhd.

 

Firma penyelidikan itu percaya bahawa langkah pengambilalihan empat syarikat penerbangan Capital A termasuk AirAsia Malaysia, AirAsia AirAsia Thailand, AirAsia Filipina dan AirAsia Indonesia adalah 'neutral'. 

 

"Kami ambil perhatian bahawa operasi empat syarikat penerbangan Capital A adalah jauh lebih stabil daripada AAX disebabkan permintaan yang berdaya tahan untuk penerbangan jarak dekat berbanding penerbangan jarak sederhana dan jauh AAX.

 

"Apabila semua pesawat di bawah empat syarikat penerbangan Capital A kembali beroperasi, pendapatan kumpulan AirAsia Group yang diperbesarkan seharusnya lebih stabil daripada AAX pada masa ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, cadangan pelupusan itu membolehkan semua entiti syarikat penerbangan yang beroperasi di bawah jenama 'AirAsia' ditempatkan di bawah syarikat pemegangan pelaburan baharu, iaitu AAG, membentuk kumpulan penerbangan yang diperbesarkan terdiri daripada AAG, AAX dan kumpulan syarikatnya (AAG Group), kumpulan AirAsia Aviation Group Ltd (AAAGL), dan kumpulan AAB, secara kolektif dirujuk sebagai kumpulan penerbangan baharu.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Capital A jual saham AirAsia Aviation Group, AirAsia bernilai RM6.8 bilion

 

Cadangan itu dilakukan oleh Capital A bertujuan untuk menyelaraskan aktiviti perniagaan teras kumpulan bagi memberi tumpuan kepada perkhidmatan penerbangan dan perniagaan digital yang penting dan pelengkap kepada perniagaan penerbangan penumpang.

 

Firma penyelidikan itu bagaimanapun tidak menolak kemungkinan bahawa komuniti pelabur akan memberikan penilaian yang lebih rendah.

 

Katanya, pemegang saham AAX sedia ada boleh mendapat kesan yang lebih positif daripada perkembangan ini dengan saham AAG mereka yang lebih bernilai dan waran percuma.

 

Maybank IB berkata, selepas pelupusan itu, Capital A dijangka tidak menghasilkan pendapatan yang banyak pada masa hadapan.

 

Katanya, penilaian bagi saham kumpulan akan diturunkan kepada 81 sen berbanding 94 sen sebelum ini.

 

"Walaupun pelupusan akan menyusutkan nilai bagi jangka pendek, akan ada peningkatan bagi saham AAG untuk jangka panjang," katanya.- DagangNews.com