Pembekuan pekerja Indonesia ditarik balik, mampu atasi masalah kekurangan pekerja asing di negara ini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pembekuan pekerja Indonesia ditarik balik, mampu atasi masalah kekurangan pekerja asing di negara ini

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 1 Ogos - Penarikan balik pembekuan pekerja Indonesia mulai 1 Ogos akan memberi impak positif kepada sektor perladangan, pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan.

 

Menurut CGS-CIMB Research, langkah itu membolehkan pengambilan pekerja dilaksanakan beberapa bulan akan datang, sekali gus mengurangkan masalah kekurangan pekerja asing.

 

Katanya, keputusan berkenaan juga dapat membantu meningkatkan produktiviti dan keuntungan dalam sektor berkenaan.

 

"Pengambilan pekerja ladang dari Indonesia adalah penting untuk meningkatkan pengeluaran tandan buah segar dan pengeluaran minyak sawit mentah.

 

"Pada masa sama, ia dapat mengurangkan kos pengeluaran di ladang-ladang di seluruh negara," katanya dalam nota kajian pada Jumaat. 

 

Kerajaan Indonesia pada 13 Julai lalu mengumumkan keputusan untuk membekukan sementara kemasukan semua pekerja negara itu ke Malaysia kerana tidak menggunakan sistem tunggal seperti yang dipersetujui sebelum ini

 

Bagaimanapun, pada Khamis minggu lalu, kerajaan Indonesia bersetuju menarik semula sekatan kemasukan tenaga kerjanya ke negara ini, berkuat kuasa 1 Ogos ini.

 

Ia selepas kedua-dua negara bersetuju untuk mengintegrasikan sistem sedia ada, antara Jabatan Imigresen dan Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) bagi pengambilan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) dan Tenaga Kerja Indonesia (TKI).

 

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, persetujuan itu dicapai dalam Mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama antara Malaysia dan Indonesia yang digariskan dalam Memorandum Persefahaman (MOU) berhubung PDI. - DagangNews.com