Pelan Induk Sektor Kewangan permudahkan peralihan ke arah pendigitalan - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Pelan Induk Sektor Kewangan permudahkan peralihan ke arah pendigitalan - Penganalisis

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 25 Jan - Pelan Induk Sektor Kewangan 2022-2026 yang dilancarkan Bank Negara Malaysia (BNM) semalam mencerminkan langkah bank pusat untuk lebih akomodatif dalam mempermudahkan saluran pembiayaan alternatif dan model perniagaan baharu, menurut Public Investment Bank Research (PublicInvest).

 

Penganalisisnya, Ching Weng Jin berkata, seperti dinyatakan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, pelan induk itu adalah tepat pada masanya sejajar dengan pelancaran Malaysia ke tahap pertumbuhan baharu, pasca pandemik, disokong sektor kewangan yang mantap dan berupaya mengharungi cabaran akan datang dan meraih peluang baharu. 

 

Katanya, dengan tumpuan global yang lebih besar terhadap perubahan iklim, pelancaran pelan induk itu juga akan memudahkan peralihan negara ke arah ekonomi yang lebih hijau dan iklim yang berdaya tahan.

 

"Perubahan struktur tidak dapat dielakkan dengan perniagaan hari ini bertahan untuk (dan akhirnya berkembang maju) pada masa hadapan melalui peningkatan pendigitalan, dibantu oleh teknologi baharu.

 

"Tempoh peruntukan sumber ini mungkin penuh dengan cabaran dan ketidakpastian, tetapi membolehkan organisasi menjadi lebih cekap.

 

"Dalam hal ini, sektor kewangan digesa untuk memudahkan peralihan ini, dengan BNM memainkan peranan sokongan yang penting," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

 

Baca : Pelan Induk Sektor Kewangan 2022-2026 gariskan 5 keutamaan bagi galakkan sistem kewangan negara

 

Pelan induk tersebut menggariskan 5 keutamaan bagi menggalakkan sistem kewangan menjamin pertumbuhan jangka panjang, kelestarian alam sekitar dan kemakmuran bersama.

 

Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, ia mengenalpasti 5 keutamaan yang akan memacu usaha bank pusat itu dengan kerjasama kerajaan, industri perniagaan dan enterpris sosial serta pemegang taruh lain untuk menggalakkan sistem kewangan yang akan menjamin pertumbuhan jangka panjang, kelestarian alam sekitar dan kemakmuran bersama.

 

Keutamaan itu ialah membiayai transformasi ekonomi Malaysia; meningkatkan kesejahteraan kewangan isi rumah dan perniagaan; memajukan pendigitalan sektor kewangan; meletakkan sistem kewangan untuk memudahkan dan peralihan teratur kepada ekonomi yang lebih hijau dan memajukan kewangan berasaskan nilai melalui kepimpinan pemikiran dalam kewangan Islam.

 

Malah, pelan induk itu juga akan menyelaraskan sektor kewangan dengan aspirasi negara untuk tidak hanya menjadi ekonomi nilai tambah tinggi dan berpendapatan tinggi, tetapi juga meletakkan asas kukuh untuk laluan pembangunan yang lebih dinamik, inklusif dan mampan.

 

Menurut Weng Jin, banyak yang sudah dicapai dalam sektor kewangan untuk tempoh yang singkat, misalnya dari segi inklusif kewangan.

 

Ia menyaksikan daerah kecil (populasi sekurang-kurangnya 2,000 orang) dengan akses kepada perkhidmatan kewangan telah meningkat kepada 96% (berbanding 46% pada 2011) manakala 99% (2011: 82%) daripada penduduk yang tinggal di mukim kini mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan dan 96% (2011: 87%) pelanggan mempunyai akaun deposit.

 

Dalam bidang kewangan Islam pula, Malaysia kini menguasai 18.4% bahagian pasaran daripada jumlah aset kewangan Islam global (setakat 2020). 

 

Di peringkat domestik, perbankan Islam merangkumi sehingga 41% (berbanding 22.7% pada 2010) daripada keseluruhan sistem kewangan. 

 

Beliau berkata, evolusi pesat landskap kewangan global, kemajuan teknologi, ditambah dengan potensi anjakan dalam rangkaian rantaian bekalan global akan menyaksikan sektor kewangan mungkin mengalami perbezaaan sekali lagi menjelang 2026.

 

Jelasnya, jalinan perkongsian dan kerjasama telah menghasilkan kemajuan yang ketara, dengan pertumbuhan dilihat dalam pembayaran digital sebagai hasil daripada kerjasama antara bank, platform e-dagang, pemain e-dompet dan PayNet.

 

"Kerjasama antara pemain awam dan swasta begitu ketara sekali dalam pelan induk ini, terutama dalam konteks pendigitalan.

 

"Bank tradisional dijangka memperluaskan kerjasama dengan penyedia luaran yang lain seperti bank baharu (digital), pencabar dan start-up dalam beberapa tahun akan datang," jelasnya. 

 

Weng Jin bagaimanapun menjangkakan dalam tempoh terdekat, selain ketidaktentuan jangka pendek, normalisasi kadar pada 2022 dan jangkaan pemulihan ekonomi akan membawa kepada penambahbaikan dalam kualiti aset dan pertumbuhan pembiayaan sektor, sekali gus memberi kelebihan kepada sektor kewangan.

 

"Kami tidak melihat keadaan akan menjadi lebih buruk berbanding tahap 2020/2021, justeru, mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor ini," katanya. - DagangNews.com