Pegangan asing Sekuriti Kerajaan Malaysia meningkat ke tahap tertinggi RM257 bilion | DagangNews Skip to main content

Pegangan asing Sekuriti Kerajaan Malaysia meningkat ke tahap tertinggi RM257 bilion

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 

KUALA LUMPUR 17 Jan -  Pegangan asing bagi Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dilaporkan meningkat pada tahap tertinggi kira-kira RM257 bilion pada Disember 2021 daripada RM223 bilion tahun sebelumnya.

 

Menurut MIDF Amanah Investment Bank Bhd yang memetik data Bloomberg dan MIDF, bagi minggu berakhir 14 Januari 2022, MIDF berkata jumlah nilai dagangan bon kerajaan Malaysia yang terdiri daripada MGS konvensional dan Terbitan Pelaburan Kerajaan patuh Islam meningkat kepada RM21.33 bilion daripada RM16.93 bilion minggu sebelumnya.

 

“Lebih-lebih lagi, angka terkini melepasi paras tertinggi baru-baru ini iaitu RM254 bilion pada Oktober 2021,” kata firma penganalisis itu.

 

Tambah MIDF, jumlah nilai dagangan bagi 10 sekuriti yang paling aktif diurus niaga merosot kepada 54% daripada 71% daripada keseluruhan dagangan bon kerajaan, menurut firma penyelidikan itu. 

 

"Selain itu, tujuh daripada 10 bon yang paling aktif didagangkan menyaksikan hasil yang lebih rendah, justeru harga yang lebih tinggi pada minggu kajian. 

 

"Harga terbitan penanda aras MGS domestik mengakhiri minggu kajian lebih tinggi dengan hasil tiga tahun dan 10 tahun susut 5.5 mata asas (bps) dan 1.2bps masing-masing ditutup pada 2.79% dan 3.63%," katanya.

 

Di Bursa Malaysia, jumlah pusingan perdagangan ekuiti bersih asing 12 bulan mengakhiri minggu kajian pada RM2.84 bilion. 

 

Ia merosot daripada RM2.46 bilion yang direkodkan seminggu lalu, walau bagaimanapun, ia meningkat dengan ketara pada tahun daripada RM23.58 bilion setahun yang lalu. 

 

"Jumlah nilai dagangan untuk Bon Korporat (Konvensional & Sukuk) meningkat kepada RM2.88 bilon pada minggu kajian berbanding RM2.03 bilion pada minggu sebelumnya (berdasarkan data Bloomberg). 

 

"Jumlah nilai dagangan bagi 10 terbitan yang paling aktif didagangkan meningkat kepada 54% daripada 35% daripada keseluruhan dagangan Bon Korporat," katanya.  -DagangNews.com