Pasaran buruh negara kekal dalam laluan pemulihan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pasaran buruh negara kekal dalam laluan pemulihan

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 11 Mei - Pasaran buruh negara dijangka kekal dalam pemulihan stabil dengan prospek yang lebih cerah, demikian menurut penganalisis.

 

Ini membolehkan MIDF Research mengekalkan kadar pengangguran tahun ini pada 4% terutamanya disokong pembukaan semula ekonomi. 

 

Faktor lain yang turut merangsang pasaran buruh termasuklah peningkatan momentum secara berterusan dalam perdagangan global dan lonjakan harga komoditi.

 

"Dengan pengumuman sempadan antarabangsa dibuka semula, pemulihan pasaran buruh Malaysia kekal di landasan yang stabil berikutan kemungkinan kepulangan pekerja bukan warganegara.

 

"Bagaimanapun, kami berpandangan, penyertaan semula mereka adalah dalam kadar sederhana berikutan peraturan buruh dan langkah kawalan COVID-19 yang harus dipatuhi," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia semalam menunjukkan kadar pengangguran pada suku pertama 2022 menurun kepada 4.1% berbanding 4.3% pada suku keempat 2021 (Q42021) dengan bilangan penganggur sebanyak 671,200 orang.

 

Tenaga buruh yang menggalakkan dilihat pada suku tersebut dengan peningkatan bilangan tenaga buruh sebanyak 0.7% bagi suku ke suku merekodkan 16.25 juta orang.

 

Ia menyaksikan kadar penyertaan tenaga buruh yang lebih tinggi direkodkan iaitu pada 69% berbanding suku sebelumnya, 68.7%. 

 

Baca : Kadar pengangguran terus catat penurunan kepada 4.1% bagi suku pertama 2022

 

Bagaimanapun, MIDF Research mendapati, walaupun jumlah kekosongan kerja mencapai paras tertinggi setakat ini sebanyak 503,200 pada Februari 2022, tetapi lebih daripada 50% adalah untuk pekerjaan berkemahiran rendah terutamanya dalam sektor pembuatan.

 

Katanya, bahagian bagi pekerjaan berkemahiran tinggi seperti profesional menurun 5.9% (paras 17 bulan terendah) diikuti penggubal undang-undang, pegawai kanan dan pengurus, 2.9% (13 bulan terendah).

 

"Namun, kami percaya dengan pembukaan semula sempadan, kadar kekosongan ini akan terus meningkat memandangkan lebih banyak industri kembali meningkatkan kapasiti operasi terutamanya penerbangan, penginapan, perkhidmatan makanan, pembuatan dan perladangan," jelasnya. 

 

Sementara itu, Kenanga Research berkata, jumlah penganggur menurun selama 8 bulan berturut-turut walaupun pada kadar perlahan sejak Ogos 2021. 

 

Namun begitu, katanya, penurunan jumlah penganggur ini mencerminkan pemulihan berterusan dalam pasaran buruh, terutamanya didorong kelonggaran terhadap sekatan pergerakan bagi mengekang penularan wabak COVID-19 dan pelbagai sokongan dasar yang berterusan.

 

"Ini membolehkan kami mengekalkan kadar pengangguran tahun ini pada 3.9% berbanding 4.6% pada 2021 meskipun masih wujud beberapa risiko yang boleh menjejaskan pertumbuhan. 

 

"Antaranya, kemungkinan lonjakan semula jangkitan COVID-19 disebabkan varian baharu, krisis Rusia-Ukraine dan kelembapan ekonomi China disebabkan dasar sifar pandemik.

 

"Tetapi, kami kekal positif bahawa pasaran buruh akan bertambah baik tahun ini," jelasnya. - DagangNews.com