Saya masih mengingati tahun 2000 itu, ketika Riyadh berdebu dalam musim panas, ketika hidup saya terikat dengan pekerjaan di kota padang pasir yang serba gersang namun penuh peluang.
Dalam kesibukan harian, Allah membuka jalan yang tidak pernah saya sangka. Dengan tambang hanya 1,200 riyal itupun dibayar oleh majikan, saya menyertai ribuan jemaah warga Indonesia di Riyadh menunaikan haji.
Bukan pakej mewah, bukan melalui jalan rasmi, bahkan tanpa visa haji. Kami bergerak dalam rombongan sederhana, membawa sedikit bekalan, namun hati kami penuh rasa syukur kerana pintu Baitullah terbuka buat kami.
Perjalanan haji itu cuma seminggu, tetapi nilainya seakan seumur hidup. Saya masih terbayang wajah-wajah jemaah Indonesia yang sederhana. Ada yang buruh kasar, ada yang pembantu rumah, ada juga yang pekerja ladang.
Mereka tidak punya banyak, tetapi semangat mereka melangkaui sempadan. Kami tidur beralaskan tikar, makan seadanya, menempuh panas terik dan sesak manusia, namun semua itu terasa ringan kerana tujuan kami satu: melafazkan talbiyah di hadapan Kaabah.
Tabung Haji: Harapan dan Realiti
Ketika itu, saya tidak pernah melalui jalan Tabung Haji walau simpanan telah banyak. Saya menabung bertahun-tahun, tetapi tidak menunggu giliran yang panjang berpuluh tahun lamanya.
Justru, apabila mutakhir ini saya membaca perdebatan tentang penjenamaan semula Tabung Haji, hati saya jadi bercampur-baur.
Tabung Haji bukan sekadar institusi kewangan; ia simbol harapan, jalan yang diyakini bersih, wadah yang mengikat niat umat menuju Tanah Suci.
Kos Haji yang Semakin Meningkat
Hari ini, kos haji kian meningkat. Bagi yang menyimpan di Tabung Haji, separuh pun belum mampu mencapai deposit minimum. Lebih 53 peratus pendeposit masih tidak sampai jumlah RM1,300.
Maka bagaimana mungkin mereka membayangkan perjalanan yang nilainya kini melangkaui puluhan ribu ringgit? Saya bimbang, peremajaan jenama ini hanya melumur gincu pada wajah yang semakin tua, sedangkan tubuhnya masih sarat penyakit yang tidak diubati.
Masalah asas ini bukan sekadar angka pada kertas. Ia tentang realiti hidup: keluarga yang pendapatannya sekadar cukup makan, ibu bapa yang mengira setiap sen, generasi muda yang gaji mereka habis dilangsaikan hutang pendidikan dan perumahan.
Dalam keadaan sebegini, apakah yang boleh mengekalkan kesetiaan mereka kepada Tabung Haji?
Saya teringat kembali pengalaman bersama jemaah Indonesia. Mereka pekerja bawahan, namun tekad mereka kaya.
Namun di Malaysia, keadaan sudah lain. Segala-galanya diikat dengan sistem giliran, kuota, deposit, angka dan birokrasi. Semangat yang dulu membara kini terasa jauh, seolah-olah Kaabah itu berdiri di balik kabus hutang dan peraturan.

Penjenamaan Bukan Kosmetik Semata
Andai Tabung Haji ingin terus hidup, ia mesti berani keluar dari sekadar kosmetik penjenamaan.
Ia harus menjadi wadah yang benar-benar mesra umat, memberikan harapan nyata, bukan sekadar janji berlogo baharu.
Zaman saya muda, pilihan untuk menyimpan secara patuh syariah sangat terbatas. Tetapi kini, gelanggang penuh pesaing. Amanah Saham Bumiputra, SSPN dengan insentif cukai, semuanya menyaingi Tabung Haji.
Seorang ayah atau ibu di M40 atau B40, ketika berdepan pilihan, pasti mendahulukan pendidikan anak. Antara universiti dan Kaabah, hati mereka berat memilih pendidikan anak—dan itu juga satu amanah di sisi Allah.
Melayu kaya pula lain ceritanya. Mereka tidak menunggu giliran. Ada wang, ada hubungan, ada rayuan yang mudah diluluskan, lalu mereka pergi.
Jika tidak lulus, mereka ke pakej swasta, membayar ratusan ribu tanpa menoleh lagi. Maka siapa sebenarnya yang menjadi tulang belakang Tabung Haji?
Jalan ke Hadapan: Jiwa dan Literasi Haji
Saya memandang jauh. Jika generasi muda semakin jauh hati, jika golongan kaya tidak bergantung, dan jika keluarga sederhana terpaksa memilih prioriti lain, bagaimana masa depan Tabung Haji?
Yang perlu dibangunkan ialah jiwa. Literasi kewangan haji harus disemai sejak sekolah rendah. Anak-anak perlu tahu bahawa haji bukanlah ibadah orang tua yang menunggu pencen, tetapi cita-cita yang boleh dirancang sejak muda.
Ketika saya berdiri di hadapan Kaabah pada tahun 2000, saya terasa kecil, seakan ditelan lautan manusia yang semuanya berseru kepada Tuhan yang satu. Tidak ada beza pangkat, warna kulit, bangsa, atau kekayaan.
Itulah semangat haji yang saya khuatiri semakin terhakis apabila dimensi ekonomi dan birokrasi menjadi dinding tinggi bagi umat di tanah air.
Kesinambungan hidup
Maka, dalam polemik penjenamaan semula ini, saya ingin menegaskan:
Logo baharu tidak akan menambah semangat. Warna segar tidak akan memendekkan giliran. Font moden tidak akan mengurangkan kos.
Yang benar-benar diperlukan ialah dasar afirmatif, insentif nyata, dan pendidikan berterusan yang menghidupkan cita-cita haji dalam jiwa sejak muda.
Survival Tabung Haji ialah survival umat Islam sendiri. Jika ia jatuh, maka runtuhlah harapan beribu-ribu keluarga sederhana yang ingin menjejakkan kaki ke Tanah Suci dan sebuah wadah yang pernah menjadi lambang genius seorang tokoh besar.
Dan ketika itu, kita akan sedar bahawa penjenamaan semula hanyalah bayang, bukan roh. - DagangNews.com








