Sistem pengangkutan bersepadu Kyoto: Trak hanya dibenarkan waktu malam! | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sistem pengangkutan bersepadu Kyoto: Trak hanya dibenarkan waktu malam!

Oleh Dr Nor Haslina Jaafar

Jepun terkenal dengan sistem pengangkutan yang sistematik dan mempunyai keretapi terlaju iaitu Shinkansen. Pengalaman ini tidak dilepaskan bagi semua pelancong yang bertandang ke Negara matahari terbit ini.

 

Dua penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia telah diberi kepercayaan di bawah penajaan Yayasan Sumitomo untuk menjalankan kajian lapangan di bandar Kyoto.

 

 

parafrasa

 

Penyelidik tersebut adalah Dr Nor Haslina Ja’afar (kiri), selaku ketua projek dan Dr Nor Hidayah Mat Taib. Mereka dibantu oleh Han Ziyi yang merupakan pelajar doktor falsafah di UKM.

 

Kyoto

Kyoto merupakan ibu negara Jepun yang pertama sebelum dipindahkan ke Tokyo. Bandar Kyoto terbina sejak tahun 794 Masihi dan struktur perbandaran masih dapat dilihat sehingga ke hari ini.

 

Di Kyoto, hasil kajian mendapati sistem integrasi pengangkutan adalah cekap serta menyokong kepada pembangunan mampan.

 

Sepanjang berada di bandar Kyoto, dapat diperhatikan bahawa penduduk lebih gemar berjalan kaki, menaiki basikal, menggunakan pengangkutan awam seperti keretapi dan bas.

 

Japan Railway (JR) atau dikenali sebagai syarikat keretapi nasional Jepun merupakan pemegang taruh sistem pengangkutan darat yang terbesar. Biasanya kemudahannya mencakupi skop ruang yang lebih luas dan perjalanan yang jauh seperti jarak antara satu bandar dengan bandar yang lain.

 

Selain itu, terdapat juga sistem keretapinya yang menawarkan perkhidmatan di kawasan bandar. Ia juga merupakan salah satu sistem perkhidmatan awam yang berkesan, terbaik dan termaju di dunia.

 

JR merupakan pembekal yang menawarkan perkhidmatan di seluruh Jepun. Ia bukan terhad kepada perkhidmatan kepelbagaian jenis keretapi tetapi juga merangkumi perkhidmatan bas dan feri.

 

Penyelidik merasai pengalaman menaiki perkhidmatan keretapi ekspres Haruka dari Kansai Airport (Osaka) ke Kyoto Stesen. Kemudian perjalanan diteruskan dengan menaiki JR San-in Line ke Stesen Nijo sebelum tiba di hotel.

 

Selain itu, turut dinaiki ialah keretapi laju yang terkenal di Jepun iaitu Shinkasen, dari Kyoto Stesen ke Fukui Stesen. Subway turut digunakan oleh orang awam dan aliran sistem subway menggunakan ruang bawah tanah sekali gus menjimatkan ruang.

 

 

Haruka
Keretapi ‘Haruka’ yang dinaiki dari Kansai Airport ke Kyoto Stesen. Jepun terkenal dengan identiti anime, maka kelihatan Haruka juga tidak terkecuali dengan anime.

 


Kenderaan Berat

Keunikan negara matahari terbit ini juga tidak sewenang-wenangnya membenarkan kenderaan berat memasuki kawasan bandar.

 

Expressway (lebuh raya) digunakan sebagai laluan utama pengangkutan antara bandar manakala pengangkutan maritim serta keretapi menjadi tulang belakang logistik.

 

Di Kyoto, hanya terdapat satu expressway kebangsaan sahaja yang menghubungkan Kyoto ke bandar lain iaitu Meishin expressway.

 

Menurut pegawai di Bahagian Penerangan Jalan, Biro Pembinaan, terdapat polisi yang ditetapkan berkenaan kemasukan trak ke kawasan bandar. Trak tersebut perlu tidak melebihi 20 tan, 2.5m lebar, 3.8m tinggi dan 12m panjang.

 

Penghantaran barang keperluan hanya dibenarkan jika mendapat kebenaran daripada pihak pentadbir.

 

 

KYOTO

 

 

Standard yang diperkenalkan ini dapat mengelakkan kesesakan bandar, mengurangkan masalah kerosakan fasiliti jalan di bandar dan mengurangkan kadar pelepasan asap di bandar.

 

Dapat diperhatikan bahawa tiadanya trak di bandar Kyoto semasa kajian dijalankan pada waktu siang. Respons daripada Bahagian Penerangan Jalan, Biro Pembinaan, menyatakan bahawa pemohon perlu memaklumkan masa khusus di mana waktu operasi dibenarkan adalah di antara jam 9 malam sehingga 6 pagi.

 

Polisi dan piawai ini perlu dicontohi oleh negara-negara membangun lain untuk memastikan kesesakan kawasan bandar dapat dikurangkan dengan cara mendidik masyarakat menggunakan kenderaan awam dan menyediakan fasiliti yang baik di kawasan bandar.

 

Selain itu, syarikat kenderaan awam pula perlu mewujudkan sistem pengangkutan integrasi untuk memudahkan perjalanan pengguna dan meningkatkan kekerapan perjalanan.

 

Semua perubahan perlu dipupuk dan dimulakan dengan langkah pertama, iaitu memastikan sesebuah sistem yang diwujudkan dapat direalisasikan.

 

Sekiranya sistem pengangkutan dan pembangunan bandar dapat disepadukan dengan baik, kelestarian bandar dan kesejahteraan rakyat menjadi kunci kepada sebuah negara maju.

 

Ini bersesuaian dengan petikan daripada Gustavo Petro: “A developed country is not a place where the poor have cars. It’s where the rich use public transportation.” - DagangNews.com