Kehidupan hari ini semakin mencabar baik ekonomi mahupun sosial. Oleh itu, Isu kos sara hidup terus menjadi kebimbangan utama rakyat Malaysia, khususnya dalam kalangan isi rumah yang berpendapatan rendah dan miskin tegar.
Ini kerana, Inflasi makanan, kenaikan harga barangan asas, dan beban kewangan yang semakin meningkat menjadikan kehidupan seharian satu cabaran yang nyata.
Justeru, kehadiran Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebagai salah satu inisiatif kerajaan telah memberikan kelegaan kepada jutaan rakyat yang memerlukan terutama kepada golongan yang kurang berkemampuan.
Bantuan Program SARA ini bukan sekadar bantuan tunai, malah ia adalah manifestasi komitmen kerajaan untuk menyantuni rakyat secara bersasar, cekap dan bermaruah.
Dengan pendekatan berasaskan data dan pemantauan sistematik melalui MyKasih, program ini dilihat sebagai antara contoh terbaik bagaimana dasar sosial boleh berfungsi secara efektif dalam menyelesaikan isu nyata.
Untuk makluman semua, bantuan SARA ini diperkenalkan sebagai pelengkap kepada program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan ditujukan kepada isi rumah dalam kalangan miskin tegar serta golongan B40.
Mulai tahun 2025, jumlah penerima SARA meningkat secara mendadak daripada sekitar 700,000 penerima kepada lebih 5.4 juta individu. Ini menunjukkan pengiktirafan bahawa tekanan ekonomi kini kian dirasai lebih luas merentasi pelbagai kelompok masyarakat.
Tambahan lagi, bantuan SARA diberikan dalam bentuk kredit bulanan terus ke dalam MyKad penerima, membolehkan mereka membeli barangan keperluan asas tanpa menggunakan wang tunai.
Kadar bantuan maksimum telah dinaikkan kepada RM2,100 setahun, berbanding RM1,200 pada tahun sebelumnya yang menunjukkan peningkatan hampir 75%. Ini secara tidak langsung menzahirkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan jumlah bantuan sejajar dengan kenaikan kos sebenar di lapangan.

Salah satu aspek paling signifikan dalam pembaharuan SARA 2025 ialah peluasan kategori barangan yang boleh dibeli oleh penerima.
Bermula pada 1 Mei 2025, kerajaan telah menambah jenis barangan yang termasuk dalam program ini bukan sahaja makanan asas seperti beras, tepung, minyak masak dan telur, tetapi juga merangkumi:
• Produk kebersihan diri (sabun, syampu, tuala wanita)
• Barangan kebersihan rumah (pencuci lantai, serbuk pencuci)
• Barangan penjagaan bayi (lampin pakai buang, tisu basah)
• Peralatan persekolahan asas
Pendekatan ini bukan sahaja menangani kelaparan, tetapi juga menyentuh aspek maruah, kesihatan dan kesejahteraan isi rumah. Ini adalah satu langkah progresif yang mencerminkan dasar sosial yang lebih menyeluruh.
Impak Langsung kepada Golongan Kurang Berkemampuan
Saya yakin program SARA ini sedikit sebanyak telah membantu golongan kurang berkemampuan untuk meneruskan kehidupan seharian dengan lebih stabil. Apabila keperluan asas disediakan secara konsisten, rakyat tidak perlu berkompromi terhadap aspek kesihatan dan kebersihan semata-mata kerana tekanan kewangan.
Bagi sesetengah keluarga, bantuan SARA adalah bezanya antara anak dapat makan tiga kali sehari atau tidak. Ia juga mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman tidak rasmi, sekali gus melindungi rakyat daripada kitaran hutang yang tidak produktif.
Apa yang menarik melalui kesan daripada bantuan ini? SARA bukan hanya dirasai oleh penerima bantuan akan tetapi juga oleh peniaga tempatan.
Bantuan SARA hanya boleh digunakan di lebih 3,700 premis yang berdaftar di bawah sistem MyKasih, termasuk kedai runcit kecil, koperasi desa, dan pasar mini komuniti. Ini secara tidak langsung dapat menyuntik aliran tunai ke dalam perniagaan mikro yang selama ini terkesan oleh dominasi pasar raya besar dan platform digital.
Dengan setiap transaksi SARA yang berlaku, ekonomi setempat bergerak. Ia mencipta kitaran positif kepada banyak termasuklah rakyat membeli, peniaga menjual, dan komuniti kekal berfungsi.
SARA, secara tidak langsung, telah memainkan peranan sebagai alat pemulihan ekonomi mikro yang berkesan. Ia membuktikan bahawa dasar kebajikan tidak semestinya bersifat pasif, sebaliknya mampu menjadi penggerak pertumbuhan setempat.
Ketelusan dan Kecekapan Melalui Teknologi
Pelaksanaan SARA juga memanfaatkan teknologi melalui sistem MyKasih yang mengintegrasikan maklumat penerima dengan pengesanan perbelanjaan. Bantuan yang disalurkan boleh dijejaki, manakala kategori perbelanjaan boleh dianalisis untuk penambahbaikan dasar kelak.
Pendekatan ini juga dapat membina keyakinan terhadap tadbir urus awam dan menunjukkan bahawa bantuan sosial boleh dilaksanakan secara telus, cekap dan bebas penyelewengan.
Malah, ia juga memberi ruang kepada kerajaan untuk merancang dasar masa depan berdasarkan data sebenar.
Sebagai contohnya, keperluan kawasan luar bandar terhadap jenis barangan tertentu atau kekangan capaian premis berdaftar. Faktor ini sebenarnya tidak nampak oleh mata kasar, melainkan datang dari hasil melalui data itu sendiri.
Terdapat beberapa cabaran dalam pelaksanaan bantuan SARA ini termasuklah:
• Ketiadaan premis berdaftar di kawasan pedalaman
• Kesedaran yang rendah dalam kalangan warga emas mengenai cara penggunaan
• Ketidakfahaman rakyat terhadap senarai barangan yang layak dibeli
Oleh itu, kerajaan disarankan memperhebat kempen kesedaran di peringkat akar umbi, memperluas akses kepada peruncit di luar bandar, dan menyediakan sokongan pengguna secara berterusan melalui saluran digital atau pusat maklumat setempat.
Kerajaan mungkin boleh adakan kenderaan bergerak (mobile clinic) sama seperti klinik bergerak yang pernah diwujudkan sebelum ini. Nampak seperti kaedah lama, setidaknya mampu membantu golongan warga emas yang terbatas pergerakannya.
Kesimpulannya, program bantuan SARA bukan sekadar bantuan. Ia adalah cerminan dasar sosial yang progresif dan berpaksikan rakyat. Ia memberikan kelegaan kepada golongan rentan dan dalam masa yang sama mengaktifkan ekonomi setempat, SARA juga mampu membuktikan bahawa kebajikan dan pembangunan boleh berjalan seiring.
Dalam menuju Malaysia MADANI yang inklusif, adil dan sejahtera, inisiatif seperti SARA harus diperkukuh, diperluas dan dijadikan model kepada program sosial masa depan.
“Jika Ekonomi MADANI mengangkat prinsip ihsan dan keadilan sosial, maka SARA ialah wujudnya prinsip itu dalam bentuk paling nyata. Sebuah negara yang hebat bukan diukur pada bangunannya, tetapi pada bagaimana ia menjaga rakyat yang paling lemah. Dalam hal ini, Malaysia sedang melangkah ke arah yang betul.”
Ia bukan hanya tentang berapa banyak bantuan diberi tetapi bagaimana bantuan itu dapat membina semula harapan, maruah dan peluang kepada rakyat yang memerlukan. - DagangNews.com








