Dalam era perniagaan moden yang serba pantas dan mencabar, dunia keusahawanan bukan sahaja menjanjikan peluang kejayaan dan kekayaan, tetapi juga membawa tekanan dan cabaran yang besar.
Bilangan usahawan di Malaysia khususnya semakin meningkat termasuk dalam kalangan generasi muda dan wanita. Namun, di sebalik pertumbuhan positif ini, tekanan atau stres sering dipandang ringan.
Pengurusan stres yang kurang berkesan bukan membawa kepada kejatuhan dalam perniagaan malah turut menjejaskan faktor kesihatan mental seperti kemurungan dan hubungan sosial.
Artikel ini akan membincangkan secara mendalam berkenaan stres yang dihadapi oleh para usahawan di Malaysia serta langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengatasi masalah ini.
Stres Dalam Kalangan Usahawan
Stres dalam kalangan usahawan adalah satu fenomena yang semakin ketara. Ramai usahawan terpaksa bergelut dengan faktor-faktor luaran seperti ketidaktentuan pasaran, kekangan kewangan, perubahan teknologi dan tekanan untuk terus berdaya saing.
Selain itu, bebanan pengurusan dari sudut pelbagai aspek perniagaan termasuk operasi, pemasaran, kewangan dan sumber manusia sering kali diletakkan sepenuhnya di atas bahu pemilik syarikat khususnya dalam perniagaan yang berskala kecil dan mikro.
Kajian menunjukkan antara faktor utama stres dalam kalangan usahawan adalah kekurangan aliran tunai, risiko kegagalan perniagaan, ketidakstabilan pendapatan serta kebimbangan dalam persaigan yang semakin sengit di pasaran.
Di samping itu, usahawan juga sering berhadapan dengan harapan tinggi dari keluarga dan juga masyarakat. Tekanan ini menjadi lebih berat apabila tiada sistem sokongan atau rakan kongsi yang boleh membantu untuk berkongsi bebanan.
Stres kronik boleh menjejaskan kesihatan fizikal dan mental usahawan. Antara kesan negatif yang biasa dialami ialah gangguan tidur, masalah kesihatan seperti darah tinggi, kemurungan, keletihan melampau dan hilang motivasi.
Ia juga boleh membawa kepada keputusan yang terburu-buru atau salah, yang akhirnya menjejaskan kelangsungan perniagaan.
Dalam konteks yang lain, budaya ‘hustle’ atau bekerja tanpa henti yang semakin popular dalam kalangan usahawan muda juga merupakan antara penyumbang kepada stres yang tidak terkawal.
Ramai yang beranggapan bahawa berjaya dalam perniagaan memerlukan pengorbanan masa rehat dan kehidupan peribadi.
Akibatnya, keseimbangan hidup terganggu dan stres menjadi sebahagian daripada rutin harian. Gaya hidup seperti ini boleh mengundang keletihan melampau (burnout) dan menjejaskan produktiviti serta kreativiti dalam jangka panjang.
Di sinilah pentingnya pendidikan dan latihan berstruktur seperti yang ditawarkan oleh Azman Hashim International Business School (AHIBS), UTM, sebuah sekolah perniagaan pascasiswazah yang terunggul di Malaysia. AHIBS bukan sahaja menawarkan ilmu keusahawanan yang berasaskan teori dan amalan global, malah memberi penekanan kepada pembangunan kendiri usahawan termasuk pengurusan tekanan, kepimpinan holistik serta keseimbangan kerja-hidup.
Langkah-langkah Mengatasi Stres Usahawan
Mengurus stres secara efektif memerlukan pendekatan menyeluruh yang merangkumi aspek fizikal, mental, emosi dan spiritual. Antara langkah penting yang perlu diterapkan ialah mengenal pasti punca utama tekanan dan mengenal pasti tindakan pencegahan awal.
Para usahawan harus belajar untuk mengenali had kemampuan diri dan tidak terlalu memaksa untuk mencapai kesempurnaan dalam setiap perkara.
Antara faktor lain yang berkesan untuk mengatasi masalah stres ialah dengan membina system sokongan samada melalui mentor perniagaan, rakan kongsi perniagaan, keluarga mahupun komuniti keusahawan sendiri.
Sokongan sosial ini dianggap penting kerana ia dapat memberi semangat serta panduan praktikal ketika menghadapi cabaran.
Selain itu, pengurusan masa dan penetapan keutamaan turut memainkan peranan penting dalam mengurangi stres.
Usahawan perlu belajar untuk mendelegasikan tugasan, menggunakan teknologi seperti sistem automasi dan menetapkan jadual kerja yang realistik. Di samping itu, mereka juga perlu meluangkan masa untuk berehat dan beriadah seperti bersenam, membaca atau bermeditasi. Hal ini dapat membantu memulihkan tenaga dan fokus.
Pendekatan spiritual dan reflektif seperti solat, zikir atau amalan kesyukuran juga terbukti dapat menenangkan jiwa dan membantu usahawan menghadapi tekanan dengan lebih tenang. Amalan-amalan ini membantu individu untuk kembali fokus kepada tujuan hidup yang lebih besar dan memberikan perspektif baharu terhadap ujian yang dihadapi.
Ia juga dapat membentuk daya tahan dalaman (inner resilience) dan meningkatkan kekuatan rohani yang sangat penting dalam menghadapi cabaran keusahawanan yang tidak menentu. Dengan membentuk hati dan minda yang tenang, keputusan yang dibuat akan lebih bersifat rasional dan berhemah.
Akhir sekali, usahawan juga perlu memupuk penetapan minda pertumbuhan (growth mindset) iaitu dengan mendidik jiwa yang mempercayai bahawa kegagalan dan cabaran adalah merupakan peluang untuk belajar dan berkembang.
Dengan memiliki penetapan minda ini, usahawan akan lebih terbuka menerima maklum balas, sentiasa mencari penambahbaikan dan tidak mudah berputus asa apabila berdepan dengan kesukaran. Ini merupakan ciri penting dalam membina ketahanan jangka panjang dalam dunia perniagaan yang dinamik.
Penetapan minda pertumbuhan juga mendorong individu untuk melihat kesilapan sebagai proses pembelajaran, bukannya kegagalan mutlak. Malah, ia mampu meningkatkan motivasi dalaman dan semangat untuk terus mencuba sehingga berjaya, meskipun jalan keusahawanan penuh dengan ketidakpastian.
Secara amnya, stres dalam kalangan usahawan Malaysia adalah satu realiti yang tidak boleh diabaikan. Ia berpunca daripada pelbagai faktor peribadi dan luaran yang memerlukan perhatian serius dan penyelesaian holistik.
Pendekatan yang efektif dan pengetahuan yang betul bukan sahaja penting untuk menerapkan ilmu perniagaan tetapi juga membantu untuk meningkatkan ruang refleksi dan pembangunan kendiri yang menjadikan seseorang usahawan lebih seimbang dan matang.
Justeru, marilah kita sebagai masyarakat memberi sokongan kepada para usahawan bukan hanya dalam bentuk modal dan kewangan, tetapi juga dari segi empati dan pendidikan yang membina daya tahan serta jiwa kepimpinan yang sebenar. - DagangNews.com









