Saya melihat apa yang terjadi pada Rafizi Ramli, seorang politikus sebagai pantulan kepada luka lama saya sendiri. Politikus itu bukan sekadar tokoh muda dengan kecekapan angka dan kebijaksanaan strategi; beliau adalah lambang harapan sebuah politik baru yang menolak kebusukan sistem lama.
Ramai menyangka penyingkirannya daripada barisan kuasa adalah kerana persaingan dalaman, kononnya menghalang laluan politikus wanita mantan YB. Tapi naratif sebenar lebih dalam dan menyakitkan.
Politikus muda seperti Rafizi membawa satu elemen yang amat tidak digemari dalam politik Malaysia hari ini: kejujuran.
Beliau tidak punya kabel projek, tidak bergantung kepada jawatan, tidak menadah tangan untuk konsesi. Beliau ada data, sokongan akar umbi, dan — paling berbahaya dalam sistem lama — nama yang bersih.
Dalam politik Malaysia yang dibina atas ‘deal’ dan kompromi, insan seperti Rafizi dilihat sebagai liabiliti. Bukan kerana beliau lemah, tetapi kerana beliau sukar dikawal.
Kerajaan gabungan hari ini seperti tali yang ditarik dari banyak arah. Ketuanya sebagai presiden perlu menjaga hati parti sekutu yang masih mahu ‘cuci nama’, menjaga kestabilan parti dua negeri, dan pada masa yang sama menjaga hati penyokong sekutu yang mahukan perubahan.
Dalam ketegangan itu, Rafizi muncul dengan soalan-soalan yang terlalu tulus:
Kenapa isteri bekas PM tidak dipenjara?
Kenapa ketua pengarah anti-rasuah masih berkuasa?
Kenapa projek-projek tidak telus masih berjalan?

Soalan-soalan ini membuat ramai tidak selesa. Maka langkah penyingkiran Rafizi bukan tindakan individu terhadap individu, tetapi tindakan sistem terhadap ancaman prinsip. Ia adalah mesej senyap yang berbunyi: "Kalau engkau tidak mahu ikut rentak, engkau akan diketepikan."
Saya tahu rasa itu. Saya pernah duduk di kerusi harapan. Saya pernah menyangka, mungkin saya boleh membawa perubahan dari dalam. Tapi hakikatnya, sistem tidak menyerap idealisme. Sistem menundukkannya.
Saya bukan mahu mendewakan Rafizi. Setiap manusia ada kelemahan. Tapi saya percaya, dalam lipatan sejarah yang panjang, bukan mereka yang menang hari ini akan dikenang, tetapi mereka yang tetap setia kepada prinsip walaupun diketepikan. Di situlah letaknya nilai sebenar seorang pejuang.
Bila saya melihat politik hari ini — di sebalik pentas yang penuh sorakan dan lambakan bendera — saya lihat kegelapan yang sama seperti dahulu. Politik yang menjadikan wang sebagai darah kehidupan, bukan akhlak dan tanggungjawab. Politik yang sanggup mengorbankan yang jujur kerana ketelusan mereka mengganggu rantaian kuasa.
Dan saya teringat pada malam itu, di bilik kecil tempat saya menginap di Rompin, sewaktu saya termenung selepas disindir ‘salam kosong’. Saya sedar bahawa politik ini bukan milik saya. Saya bukan jenis yang mampu menyuap setiap tangan yang dihulur walau ditaja. Dan saya tidak mahu membina sokongan atas dompet, tetapi atas keyakinan.
Kini, saya menulis dari sudut warga emas OKU, yang pernah hilang segalanya selepas strok. Tapi saya tidak kehilangan ingatan tentang siapa saya. Saya tidak lupa bahawa arwah JJ, banyak jasanya kepada saya dan paling penting telah membuka mata saya kepada satu sisi politik yang terlalu realistik hingga membunuh impian saya.
Dan dalam pengamatan saya terhadap Rafizi, saya melihat gema prinsip yang dulu saya simpan dalam dada. Ia mengingatkan saya bahawa tidak semua orang sanggup tunduk.

Kita perlukan lebih ramai politikus muda seperti Rafizi. Kita perlukan politik yang tidak ditentukan oleh jumlah wang di kocek, tetapi oleh jumlah keberanian dalam hati.
Dan selama politik kita terus membunuh mereka yang berprinsip, selama itu jugalah kita akan terus diheret oleh sistem yang sama — yang menolak kejujuran kerana ia terlalu berbahaya untuk dibiarkan hidup.
Akhirnya, sejarah akan menulis bukan tentang siapa yang berkuasa, tetapi siapa yang tidak menjual diri demi kuasa. - DagangNews.com








