Saya mengenal buku lebih awal daripada mengenal luka dunia. Sebelum saya pandai menghitung angka atau menulis nama sendiri, saya telah bersahabat dengan halaman-halaman yang berbau dakwat dan harapan.
Sejak kecil, sejak diajar aruah abah tulisan jawi pada umur 4 tahun, buku adalah jendela ke alam yang lebih luas daripada kampung halaman, lebih luhur daripada jerih hidup, lebih setia daripada mana-mana insan. Buku ialah suara dalam sunyi, pelita dalam gelita, dan kekasih yang tidak pernah berpaling.
Kini, setelah di New Zealand dan duduk di UAE hampir dua puluh tahun, setelah bersara dan menjadi warga emas OKU akibat strok yang menyambar seluruh memori saya, buku jugalah yang menjadi tali hayat. Selepas kehilangan ingatan seratus peratus—tidak mengenal anak, tidak tahu waktu, tidak kenal cermin—saya hanyut dalam gelap yang pekat.
Namun Alhamdulillah, lembar demi lembar yang saya baca seperti menyuluh jalan pulang ke diri sendiri. Setiap ayat yang diulang, setiap baris yang dikunyah perlahan-lahan, menjadi rawatan yang tidak ditawarkan mana-mana hospital.
Kerana itu saya tidak pernah berhenti membaca. Dan setelah pulih sedikit, saya terus menulis. Dengan daya yang perlahan, jemari yang menggigil, dan ingatan yang belum sempurna, saya kembali menyusun huruf sebagai bukti saya masih hidup—secara rohani. Saya tidak menulis untuk kemasyhuran. Saya menulis kerana mahu berkongsi pengalaman dan meneruskan penulisan sejak di bangku sekolah.
Alhamdulillah, karya-karya saya mendapat tempat dalam dunia sastera tanah air. Saya telah menerima 5 Hadiah Sastera Perdana Malaysia, 11 kali memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, dan lebih 30 anugerah sastera lain sepanjang kehidupan saya sebagai penulis.
Anugerah bukan matlamat, tetapi ia adalah pengiktirafan bahawa tulisan saya masih didengari, masih dibaca, dan masih memberi makna. Ia juga bukti bahawa warga emas dan OKU juga boleh menyumbang dalam khazanah budaya negara.
Saya tidak asing dalam dunia perbukuan. Saya telah menulis sejak di tingkatan tiga, menghasilkan cerpen, puisi, novel, anekdot dan artikel. Saya menulis lebih 45 buah buku, termasuk 30 e-buku, dan menjadi penggerak kepada pelbagai penerbitan sendiri dan reruai mandiri.
Penulisan saya merentas tema kemanusiaan, keinsafan, perantauan, sejarah dan keagamaan, dengan bahasa sastera yang menjadi nadi perjuangan. Malah, pengalaman hidup saya merentas 41 buah negara—termasuk menetap hampir dua dekad di Dubai dan sebelumnya di New Zealand—memberi warna dan hikmah dalam setiap bait tulisan.
Pada tahun 2022, saya muncul di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) bukan sebagai pelawat biasa, tetapi sebagai penulis warga emas OKU yang memperkenalkan 12 buah buku baharu—kesemuanya ditulis pasca-strok.
Dua reruai mandiri menampung karya saya. Sambutan cukup memberangsangkan dan Berita TV1 menyiarkan tentang saya (terima kasih PBAKL).

Waktu itu, golongan OKU seperti saya diberi diskaun khas. Itu bukan sekadar potongan harga, tetapi satu bentuk pengiktirafan—bahawa kami masih pembaca, pencinta ilmu, penyambung tamadun.
Namun tahun-tahun berikutnya menghadirkan sepi dan kecewa. Tiada lagi diskaun untuk warga emas untuk reruai mandiri. Tiada lagi harga istimewa buat OKU. Kami hadir sebagai warga kelas kedua dalam pesta ilmu yang sepatutnya merangkul semua.
Pesta buku, sayangnya, mula menampakkan wajah pasaran lebih daripada wajah kemanusiaan.
Malaysia sedang melangkah ke status negara tua
Menjelang 2030, lebih 30 peratus penduduk akan berusia 60 tahun ke atas. Golongan OKU pula kini merangkumi sekitar 15 peratus rakyat. Angka ini bukan statistik beku di kertas dasar. Ia denyut sebenar masyarakat. Maka tidakkah adil untuk bertanya—di manakah tempat kami di pesta sebesar ini?
Sebelum strok, saya telah mengembara ke pelbagai pesta buku di seantero dunia—di Frankfurt, London, Kaherah, San Francisco, Abu Dhabi, Jakarta, dan Shanghai. Di sana, warga tua dan golongan kurang upaya diraikan dengan kemudahan, disediakan laluan khas, tempat duduk selesa, dan potongan harga yang tidak diminta, tetapi ditawarkan dengan hormat. Kerana mereka tahu: warga emas membawa pengalaman, dan OKU membawa semangat juang yang tidak bisa dibeli.
Malangnya di tanah air sendiri, pengalaman kami seakan tidak diendahkan. Penulis tua tidak dijemput ke pentas, tidak disebut dalam wacana, tidak diberikan ruang untuk memperkenalkan karya yang ditulis dengan air mata dan ketabahan. Golongan seperti kami hanya dilihat sebagai beban logistik—kerusi roda perlahan, tongkat menyusahkan, ingatan kabur.
Tidakkah ini bertentangan dengan roh sebenar pesta buku?
PBAKL seharusnya menjadi ruang penyatuan, bukan pengasingan. Ia bukan sekadar pasar jual beli buku, tetapi medan pertembungan idea, cita rasa, dan latar belakang yang pelbagai. Ada yang datang mencari novel cinta, ada yang mendambakan falsafah Yunani, ada yang membeli buku pop kerana hanya itu yang mampu mereka hadam. Dan semua itu tidak salah. Kerana buku, walau apa bentuknya, ialah jambatan kepada ilmu dan jiwa.
Saya tidak mempertikaikan kehadiran artis, selebriti, atau pempengaruh di pesta buku. Tetapi jangan sampai suara penulis warga emas dan OKU ditenggelamkan. Kami tidak meminta pentas utama. Kami hanya memohon tempat kecil untuk bersuara. Kami tidak mendambakan tepukan, cukup sekadar didengari.
Lebih penting daripada itu ialah akses—fizikal dan emosi. Diskaun khas untuk OKU dan warga emas bukan soal ehsan, tetapi keadilan sosial. Banyak antara kami hidup dengan pendapatan minimum, bersara awal kerana sakit, tidak mampu membayar harga buku yang semakin tinggi. Tidakkah lebih indah jika pesta ini juga pesta kasih sayang?
Saya percaya bahawa pesta buku ialah wadah untuk menyembuhkan masyarakat. Membaca bukan sahaja mencerahkan minda, tetapi mengendurkan marah, melembutkan jiwa, dan mendidik budi. Tidak semua yang datang ke pesta buku mencari ilmu. Ada yang datang mencari harapan. Dan bagi saya, harapan itu masih berbentuk buku.
Biarlah PBAKL bukan sekadar lokasi fizikal di PWTC. Jadikan ia ruang spiritual untuk menyatukan semua: anak muda dan warga tua, pelajar dan pesara, OKU dan insan biasa.
Jangan biarkan kami datang hanya untuk merasa terasing. Jangan biarkan kami pulang hanya dengan keletihan dan kecewa.
Berikan kami laluan yang mesra, ruang yang adil, dan harga yang mampu. Berikan kami semangat untuk terus membaca, walau mata kabur dan tangan lemah. Berikan kami makna dalam kepenatan kami.
Dan jika ada satu harapan yang ingin saya tinggalkan di sini, ia adalah harapan sederhana: agar setiap insan yang datang ke PBAKL pulang dengan sekurang-kurangnya satu buku walau sekecil mana—buku yang menyentuh hati mereka, buku yang mengubah cara pandang mereka terhadap dunia dan diri sendiri.
Jika itu berlaku, maka pesta buku ini telah berjaya. Bukan kerana angka, tetapi kerana jiwa. - DagangNews.com








