Mixue: Kejuruteraan Pasaran, Ilusi Permintaan Dan Anomali Struktur Ekonomi Global | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mixue: Kejuruteraan Pasaran, Ilusi Permintaan Dan Anomali Struktur Ekonomi Global

Oleh Wan Mohd Farid Wan Zakaria

“Ni ai wo, wo ai ni, Mi Xue Bing Cheng Tian Mi Mi, I Love You, You Love Me…”

 

Kalau jingle ini masih terngiang-ngiang dalam kepala anda, tahniah, anda bukan keseorangan. Ada yang merasakan lagu ini comel, ada juga yang hampir kehilangan kewarasan setiap kali mendengarnya berulang-ulang.

 

Mixue bukan sekadar bubble tea. Ia adalah fenomena ekonomi yang merombak struktur pasaran, mencabar dominasi jenama premium seperti Starbucks dan McDonald’s.

 

 

Dengan strategi kos rendah yang sepatutnya sukar bertahan, Mixue bukan sahaja kekal, malah memaksa pesaing menyesuaikan diri atau tersingkir.

 

Ia tidak sekadar menjual minuman, tetapi mengubah persepsi nilai, mencipta standard baharu yang menggoncang industri F&B.

 

Mixue: IPO dan Skala Global yang Mencabar Pemain Lama

Menjelang 2025, Mixue muncul sebagai rangkaian F&B terbesar dunia dengan lebih 45,000 cawangan, mengatasi McDonald’s (40,275) dan Starbucks (38,587).

 

Dengan IPO bernilai HK$3.45 bilion (RM1.9 bilion), Mixue bukan sekadar jenama minuman tetapi kuasa ekonomi yang mempengaruhi aliran modal global.

 

 

Mixue

 

 

Fenomena ini mengubah cara pasaran menilai jenama. Model premium yang dahulu kebal kini terancam, membuktikan bahawa strategi kos rendah berskala besar boleh menggantikan kebergantungan terhadap jenama mewah.

 

Persoalannya, mampukah Mixue mengekalkan keunggulan atau sekadar satu lagi kitaran pasaran yang menunggu pembetulan?

 

Strategi Kos Rendah: Model Perniagaan Atau Perang Harga?

Ekonomi tradisional meramalkan harga rendah akan menekan margin dan melemahkan syarikat, tetapi Mixue membuktikan sebaliknya.

 

Dengan mencapai Minimum Efficient Scale (MES), ia menekan kos ke tahap terendah, meninggalkan pesaing yang masih terbeban dengan kos tetap tinggi.

 

Kawalan penuh ke atas rantaian bekalan menjadikannya hampir kebal terhadap turun naik harga global, manakala strategi harga agresifnya menetapkan standard baharu dalam industri.

 

Mixue bukan sekadar menurunkan harga—ia mendefinisikan semula peraturan pasaran dan memaksa pesaing menyesuaikan diri atau hilang daya saing.

 

IPO Mixue: Revolusi Ekonomi Atau Sekadar Hype Pasaran?

Kenaikan harga saham sebanyak 43 peratus dalam sehari bukan pertumbuhan biasa, tetapi euforia pasaran yang sering diikuti dengan pembetulan dalam tempoh 6 hingga 12 bulan.

 

IPO Nayuki dan Chabaidao sebelum ini mengalami lonjakan serupa, namun realiti pasaran mula mengetat apabila hype berkurang.

 

 

Mixue

 

 

Saham Nayuki, misalnya, jatuh lebih 50 peratus dalam tempoh 18 bulan selepas IPO akibat tekanan margin dan kelembapan permintaan pengguna.

 

Trend IPO dalam industri ini menunjukkan bahawa Mixue berdepan risiko tekanan margin dalam tempoh 24 bulan.

 

Jika daya tahan margin dan aliran tunainya tidak meningkat, sahamnya berpotensi mengalami tekanan jualan daripada pelabur yang lebih menumpukan kepada keuntungan sebenar berbanding pertumbuhan skala semata-mata.

 

Runtuhnya “Starbucks versi China” Dek Skandal Kewangan

Tidak semua model kos rendah berskala besar mampu bertahan.

 

Luckin Coffee, yang pernah digelar ‘Starbucks versi China’, runtuh selepas skandal kewangan AS$310 juta mendedahkan kelemahan model yang terlalu bergantung pada pembesaran agresif tanpa asas keuntungan kukuh.

 

Sebaliknya, jenama premium seperti Starbucks dan McDonald’s menyesuaikan diri tanpa menurunkan harga. Starbucks mengekalkan nilai melalui inovasi pelanggan, manakala McDonald’s mengimbangi premium branding dengan menu berharga rendah tanpa menjejaskan margin.

 

Adakah Mixue akan mengelakkan nasib seperti Luckin Coffee atau berjaya bertahan seperti Starbucks dan McDonald’s?

 

 

Luckin Coffee

 

 

Jika Mixue gagal mengekalkan pertumbuhan keuntungan seiring dengan skala operasinya, harga sahamnya berisiko mengalami mean reversion.

 

Skala besar belum menjamin margin mampan. Tanpa laluan keuntungan yang jelas, Mixue mungkin hanya mengulang pola IPO yang berakhir dengan pembetulan pasaran.

 

Struktur Kewangan Mixue: Mampukah Ia Bertahan Jangka Panjang?

Salah satu aspek yang sering diabaikan ialah struktur kos sebenar dan daya tahan kewangan syarikat. Model kos rendah hanya berkesan jika margin keuntungan kekal stabil walaupun harga produk lebih rendah daripada pesaing.

 

Setakat 2024, margin keuntungan kasar Mixue sekitar 30 hingga 35 peratus, jauh lebih rendah berbanding Starbucks yang melebihi 70 peratus. Ini bermakna Mixue perlu menjual sekurang-kurangnya dua kali lebih banyak untuk mencapai tahap keuntungan yang sama.

 

Dari segi kewangan, beban hutang Mixue mencecah RMB4.2 bilion (RM2.7 bilion) bagi membiayai peluasan operasi yang pesat. Jika aliran tunai tidak stabil, tekanan kewangan boleh meningkat, terutamanya apabila kadar faedah global kekal tinggi.

 

Selain itu, EBITDA Mixue yang terkini berjumlah RMB1.1 bilion (RM700 juta) belum menunjukkan kestabilan. Dengan kadar pembukaan cawangan yang pantas, pendapatan syarikat mungkin tidak sejajar dengan pertumbuhan kos operasi.

 

Mixue Akan Terus Menguasai, Atau Ini Sama Macam IPO Oriental Kopi?

Pasaran sering terpedaya dengan ilusi pertumbuhan. Hari ini, Mixue dilihat sebagai arkitek revolusi ekonomi, tetapi esok ia mungkin hanya satu lagi kisah IPO yang jatuh kembali ke realiti.

 

Ketika hype menguasai pasaran, semua orang menyanyi. “Mixue Ice Cream & Tea, I Love You, You Love Me…”

 

 

Mixue


 

Tetapi apabila harga saham menjunam, siapa yang masih akan menyanyikan lagu ini? Yang tinggal hanyalah angka merah di skrin dagangan dan mereka yang terperangkap menanggung kerugian.

 

Cinta pasaran tidak pernah kekal. Dan sejarah tidak pernah berbohong. Masa akan menentukan… Pasaran tidak pernah menipu, tidak akan pernah menipu.

 

Sejarah akan berulang, yang tamak akhirnya disembelih. - DagangNews.com

 

 

Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat