Saya tidak pernah menyangka, selepas melalui pelbagai pengalaman hidup di luar negara, menetap hampir dua dekad di bumi Arab, dan kembali ke tanah air sebagai pesara, sebahagian usia tua saya akan dihabiskan di hospital.
Bukan sebagai doktor atau pensyarah, tetapi sebagai pesakit tetap.
Sejak strok menimpa saya pada 2018, tubuh saya menjadi saksi kerentanan manusia. Dulu hampir setiap bulan, kini enam bulan sekali saya menjejak kaki ke Hospital Serdang. Tempat yang bukan sahaja menyembuhkan, tetapi juga menyingkap denyut nadi sebenar sistem kesihatan awam negara.
Isteri saya, bekas doktor Universiti Malaya, kini pensyarah, menjadi “doktor pertama” saya di rumah. Dari wajah dan pengalaman beliau, saya melihat perbezaan besar antara seorang doktor akademik dan ribuan doktor yang masih bergelut di hospital awam – sering tanpa sokongan mencukupi, dibebani kerja melampau dalam suasana semakin meruncing.
Kekosongan jawatan yang membarah
Setiap kali menunggu giliran di Hospital Serdang, saya melihat sendiri jururawat dan doktor yang keletihan. Mereka berlari dari satu katil ke katil lain, bergegas ke wad kecemasan, sambil mengekalkan senyuman walaupun jelas letih.
Baru-baru ini, saya membaca laporan rasmi: satu daripada lima jawatan doktor kerajaan masih kosong, manakala hampir satu daripada enam jawatan jururawat tidak diisi.
Ini bukan sekadar angka kosong. Ia nyata dalam bentuk seorang jururawat menjaga lima pesakit serentak, seorang doktor muda bekerja lebih 36 jam tanpa rehat, atau seorang pesakit warga emas menunggu lebih lama untuk rawatan asas.
Antara angka kekosongan jawatan 2024:
Pegawai Perubatan: 11,776 (24.7%)
Pegawai Pergigian: 1,154 (19.7%)
Pegawai Farmasi: 10.9% kosong
Penolong Pegawai Perubatan: 19.2%
Jururawat: 14,731 (17.5%)
Lain-lain skim perkhidmatan kesihatan: 21,843 (14.5%)
Secara keseluruhan, kadar kekosongan melonjak ke 17% pada 2024, berbanding hanya 5% pada 2016. Statistik ini bukan sekadar angka, tetapi nyawa rakyat yang dipertaruhkan.
Perbandingan zaman lalu dan sekarang
Sekitar 2016–2017, sistem kesihatan awam masih mampu menampung jumlah pesakit walaupun hospital sesak. Jumlah kakitangan kesihatan 2017 ialah 258,298 orang, meningkat sedikit kepada 264,523 orang pada 2024.
Sepatutnya keperluan jawatan meningkat sekurang-kurangnya 50,168 orang, tetapi hanya 6,225 jawatan diisi.
Seorang pegawai perubatan muda di Serdang berkata kepada saya:
“Pak cik, kalau dulu staf tak cukup, sekarang tahap kritikal. Ramai rakan tinggalkan sektor awam, tak sanggup bertahan.”
Kata-kata itu meresap ke dada saya. Jika yang muda pun putus harapan, bagaimana sistem mahu bertahan?

Titik retak bermula 2018
Kerajaan sering menyalahkan sejarah.
Data menunjukkan kerosakan mula terasa pada 2018, ketika Menteri Kesihatan waktu itu, Dr Dzulkefly Ahmad, mengumumkan usaha “menyelesaikan lambakan doktor dan jururawat”. Malangnya, dasar itu menjadi permulaan penurunan.
Jumlah pekerja kesihatan jatuh 8,165 orang pada tahun sama. Jururawat yang menjaga saya terpaksa bergilir lebih panjang kerana staf lain tidak diganti.
Saya masih teringat seorang jururawat muda menangis di sisi katil pesakit, bukan kerana kesilapan klinikal, tetapi tertekan beban kerja.
Tujuh tahun kemudian, di bawah kerajaan baharu yang melaungkan slogan Madani, keadaan masih kritikal. Pada 2024, hanya 1,890 orang ditambah ke sistem kesihatan – angka hampir tidak bermakna berbanding keperluan puluhan ribu jawatan.
Hospital Serdang: Cermin sistem nasional
Hospital Serdang adalah hospital rujukan dengan kepakaran kardiologi, neurologi, dan pelbagai bidang lain. Namun, setiap kali saya masuk, terlihat kontradiksi menyakitkan: bangunan moden dan lengkap, tetapi kekurangan staf untuk menggerakkannya sepenuhnya.
Menunggu di klinik pakar neurologi boleh berjam-jam, bukan kerana doktor lambat, tetapi kerana seorang doktor menanggung terlalu ramai pesakit. Pesakit lain, kebanyakannya warga emas, mengeluh panjang:
“Kerajaan sibuk bercakap soal kemajuan, tapi kita di sini menunggu ubat pun setengah hari.”
Pertelagahan birokrasi
Sementara rakyat menunggu rawatan, JPA dan SPA saling menuding jari. Satu pihak menyalahkan bajet, pihak lain menyalahkan proses pengambilan.
Pesakit tidak peduli siapa yang salah – yang mereka mahu ialah doktor, jururawat, dan penolong pegawai perubatan yang mencukupi.
Bagi saya, sebagai warga emas OKU, pertelagahan ini bagai sandiwara murahan. Nyawa rakyat tidak boleh dijadikan bola sepak politik.
Harapan yang tertangguh
Saya pernah mengembara ke lebih 40 negara. Di mana-mana pun cabaran wujud, tetapi kerajaan mereka serius mengisi kekosongan tenaga kerja. Di sini, kita masih mencari alasan.
Ramai doktor dan jururawat luar biasa di Serdang yang saya kenal sudah menjadi seperti keluarga. Mereka bekerja melebihi kemampuan manusia biasa. Tetapi sampai bila mereka mampu bertahan tanpa bantuan tambahan?
Ini isu kemanusian
Kini, saya melihat sistem kesihatan bukan dari jauh, tetapi dari dalam. Kekosongan puluhan ribu jawatan bukan sekadar isu pentadbiran, tetapi isu kemanusiaan. Kita boleh bina lebih banyak hospital, beli lebih banyak mesin MRI atau CT scan, tetapi tanpa manusia yang mencukupinya, semuanya hanyalah bangunan kosong.
Hospital Serdang akan terus saya kunjungi.
Namun, setiap kali melangkah masuk, saya bukan sahaja mencari rawatan untuk tubuh, tetapi juga bertanya dalam hati: mampukah sistem ini bertahan untuk generasi akan datang, atau kita sedang menyaksikan perlahan-lahan sebuah sistem yang runtuh kerana gagal mengisi manusia di dalamnya? - DagangNews.com








