Membina Masyarakat MADANI Melalui Warisan Qudwah Rasulullah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Membina Masyarakat MADANI Melalui Warisan Qudwah Rasulullah

Oleh Shahrizad Sa-idul Haj

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu contoh teladan yang baik bagi kamu; iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula banyak menyebut dan mengingati Allah.” (al-Ahzab: 21)

 

Ayat ini diturunkan ketika Peperangan Ahzab, saat umat Islam dikepung musuh dari segenap arah. Dalam keadaan getir itu, Rasulullah SAW tetap tabah, sabar dan penuh keyakinan terhadap janji Allah meskipun berdepan cabaran amat mencabar.

 

Peristiwa ini menjadi peringatan bahawa Rasulullah SAW ialah teladan terbaik yang wajib diikuti.

 

Sesungguhnya, Baginda adalah Qudwah Hasanah dalam seluruh aspek kehidupan. Mencontohi Rasulullah SAW membekalkan kekuatan moral dan spiritual untuk menghadapi cabaran zaman. Inilah asas pembangunan insan dan masyarakat — membentuk persekitaran berakhlak serta mencegah kerosakan sosial.

 

Maka, setiap kali umat Islam memperingati Maulidur Rasul, kita bukan sekadar mengenang kelahiran Nabi Muhammad SAW sebagai peristiwa sejarah, tetapi lebih penting, mengambil iktibar daripada risalah yang dibawa Baginda.

 

Akhlak Rasulullah SAW adalah manifestasi al-Quran; setiap perbuatan, tutur kata dan keputusan Baginda penuh dengan hikmah yang mendidik manusia kembali kepada Allah SWT.

 

 

parafrasa

 


Rasulullah SAW Sebagai Teladan Sepanjang Zaman

Kepimpinan Rasulullah SAW telah membina sebuah masyarakat yang keluar daripada kegelapan jahiliah menuju cahaya Islam. Baginda memimpin bukan dengan kekerasan, tetapi dengan hikmah, kelembutan, dan sifat Rahmatan lil-‘Alamin.

 

Akhlak yang mulia, ketegasan pada prinsip serta keadilan dalam kepimpinan melahirkan generasi sahabat yang unggul serta menjadi asas pembangunan tamadun Islam.

 

Nilai Qudwah Hasanah ini sangat penting dalam konteks masyarakat hari ini yang berdepan pelbagai cabaran moral dan sosial. Gejala seperti penyalahgunaan dadah, keruntuhan akhlak remaja, krisis institusi keluarga, rasuah, budaya buli termasuk buli siber, serta hedonisme hanya dapat ditangani apabila masyarakat kembali merujuk kepada teladan Rasulullah SAW.

 

Qudwah Hasanah dalam Ilmu Tauhidik

Islam menekankan bahawa ilmu tidak boleh dipisahkan daripada iman dan amal. Pendekatan tauhidik mendidik kita bahawa setiap ilmu adalah sebahagian daripada ibadah yang menghubungkan manusia dengan Pencipta.

 

Rasulullah SAW menyampaikan ilmu bukan sahaja melalui kata-kata, tetapi juga melalui perbuatan dan akhlak. Baginda mengajar bahawa ilmu tanpa amal adalah kosong, sementara amal tanpa iman adalah rapuh.

 

Dengan cara ini, masyarakat diajar melihat ilmu sebagai jalan menuju keredaan Allah, bukan semata-mata alat kepentingan duniawi. Apabila ilmu ditauhidkan, lahirlah generasi yang berakhlak mulia, cintakan kebenaran, dan menjauhi kebatilan. Inilah yang perlu diperkukuh dalam pembangunan masyarakat hari ini.

 

Prinsip MADANI Selari dengan Qudwah Hasanah

Prinsip MADANI yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan kerangka pembangunan berasaskan nilai Islam, berpaksikan al-Quran serta Perlembagaan Madinah. Ia mendidik umat untuk hidup seimbang antara urusan dunia dan akhirat, menegakkan keadilan sosial, serta menjaga hak semua lapisan masyarakat termasuk bukan Islam.

 

Sunnah Rasulullah SAW yang menggalakkan umat mencari penyelesaian inovatif dalam kerangka syariah juga menjadi tunjang prinsip MADANI. Ia menekankan sikap hormat kepada jiran, menyantuni fakir miskin, berlemah-lembut terhadap musuh, serta membina kekuatan iman.

 

Apabila prinsip MADANI dihidupkan melalui teladan Rasulullah SAW, ia mampu melahirkan masyarakat yang adil, beradab, berintegriti, dan kebal daripada gejala negatif yang merosakkan bangsa.

 

 

parafrasa

 

 

Bai‘ah Ṣāliḥah: Persekitaran Tauladan yang Mendidik

Bai‘ah Ṣāliḥah merujuk kepada persekitaran yang saling mengingatkan kepada kebaikan, memperkukuh budaya akhlak, serta menanam rasa tanggungjawab sebagai khalifah Allah di bumi.

 

Di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), konsep ini bukan sekadar slogan, tetapi diwujudkan melalui suasana hidup yang memancarkan nilai teladan. Pentadbir yang berintegriti, pensyarah yang ikhlas mendidik, serta pelajar yang berdisiplin dan berakhlak mulia menjadi contoh budaya ini.

 

Apabila Bai‘ah Ṣāliḥah diamalkan, gejala negatif dapat dibendung kerana masyarakat tidak meraikan kebatilan, sebaliknya mengangkat kebaikan.


UIAM Sebagai Agen Perubahan

Dengan misinya “Ilmu, Iman dan Akhlak”, UIAM berperanan penting merealisasikan Qudwah Hasanah dan Bai‘ah Ṣāliḥah. Nilai KhAIR — Khalifah, Amanah, Iqra’, dan Rahmatan lil-‘Alamin — dijadikan asas mendidik pentadbir, pensyarah, dan pelajar.

 

Pentadbir menjadi teladan melalui pengurusan berintegriti, telus, dan cekap. Pensyarah mendidik dengan pendekatan tauhidik, adab, dan hikmah.

 

Seorang pensyarah yang adil, menjaga tutur kata, dan prihatin terhadap pelajar mampu membentuk akhlak generasi muda. Pelajar pula dibentuk melalui program kepimpinan, kesukarelawanan, dan disiplin akademik yang menekankan nilai iman serta adab.

 

Apabila seluruh warga UIAM menghayati Qudwah Hasanah, universiti ini bukan sekadar melahirkan graduan berilmu tinggi, tetapi juga pusat rujukan akhlak dan kepimpinan.


 

UIAM

 


Menangani Gejala Negatif Melalui Teladan

Cabaran masyarakat hari ini semakin kompleks. Pengaruh media sosial yang tidak terkawal menormalisasikan budaya tular tanpa sempadan, individualisme melemahkan semangat kebersamaan, sementara sikap mementingkan diri menipiskan tanggungjawab sosial.

 

Gejala ini tidak mampu ditangani dengan undang-undang semata-mata, sebaliknya memerlukan teladan nyata.

 

Rasuah dan salah laku boleh dibendung apabila pemimpin dan pentadbir menampilkan amanah serta ketelusan. Keruntuhan akhlak remaja dapat dipulihkan melalui bimbingan ibu bapa dan pensyarah yang menunjukkan contoh disiplin serta adab. Budaya hedonisme pula dapat diseimbangkan apabila masyarakat menyanjung ilmu dan akhlak sebagai aspirasi hidup.

 

Persekitaran Bai‘ah Ṣāliḥah melahirkan masyarakat yang saling menasihati dan menolak kebatilan. Dalam suasana ini, gejala negatif tidak mendapat ruang untuk berkembang.

 

Kesimpulan

Surah al-Ahzab ayat 21 mengingatkan bahawa Rasulullah SAW adalah Qudwah Hasanah sepanjang zaman. Sempena Maulidur Rasul, umat Islam dituntut bukan sahaja memperingati kelahiran Baginda, tetapi lebih penting, menghidupkan akhlak serta kepimpinan Baginda dalam kehidupan seharian.

 

Apabila Qudwah Hasanah Rasulullah SAW dipadukan dengan prinsip MADANI serta direalisasikan melalui persekitaran Bai‘ah Ṣāliḥah, ia akan membina masyarakat berakhlak, beradab, dan berintegriti.

 

UIAM dengan misinya Ilmu, Iman dan Akhlak, memainkan peranan sebagai agen perubahan — melahirkan pentadbir, pensyarah dan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam ilmu, tetapi juga menjadi teladan akhlak kepada masyarakat.

 

Inilah sebenar-benar erti memperingati Maulidur Rasul: menjadikan Rasulullah SAW bukan sekadar tokoh sejarah, tetapi model kehidupan dalam membina ummah Rahmatan lil-‘Alamin- DagangNews.com


Shahrizad binti Sa-idu Haj merupakan Pengarah Pusat Ko-Kurikulum Berkredit, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia