Di sebalik kegemilangan sesebuah organisasi, tersembunyi kisah insan-insan biasa yang luar biasa. Mereka yang bekerja dengan penuh dedikasi, tidak mengharapkan pujian apatah lagi ganjaran.
Mereka inilah “Hero yang Tidak Didendang”, wira senyap yang menyumbang secara konsisten, namun sering kali tidak mendapat pengiktirafan yang selayaknya.
Mereka mungkin tidak dikenali di organisasi, tidak disebut dalam mesyuarat, apatah lagi diberi anugerah atau ganjaran. Namun mereka tetap tabah, terus berbakti dan menyempurnakan tanggungjawab tanpa culas.
Bagi mereka, bekerja adalah ibadah. Hati mereka percaya bahawa biarpun manusia tidak melihat, Allah tahu setiap titik peluh yang jatuh.

Budaya Kerja Tidak Adil: Bayangan Sebenar
Fenomena ini bukan asing dalam dunia pekerjaan di Malaysia. Sering kali berlaku situasi di mana hasil kerja seseorang disandarkan kepada pihak lain yang lebih ‘terlihat’ atau ‘berpengaruh’ dalam organisasi.
Pekerja yang tekun, disiplin dan bertanggungjawab terus-menerus berada di balik tabir, manakala yang pandai mengambil peluang atau ‘menonjol’ diri pula meraih penghargaan dan perhatian pihak atasan.
Budaya kerja di Malaysia masih banyak dicemari oleh ketidakadilan dan amalan pilih kasih. Ramai pekerja yang benar-benar membuat kerja, namun hasilnya disandarkan kepada nama orang lain yang lebih ‘berpengaruh’ atau ‘tersorot’.
Situasi ini bukan sekadar melemahkan semangat, tetapi turut menimbulkan krisis integriti dalam organisasi. Akhirnya, yang rajin bekerja dipinggirkan, yang pandai mengampu pula dijulang.
Apabila perkara ini berlaku secara berterusan, budaya kerja sihat mula terhakis. Keikhlasan diganti dengan kepura-puraan. Orang yang ingin bekerja dengan amanah menjadi tawar hati. Sedangkan Islam menuntut kita untuk berlaku adil, sama ada dalam memimpin, menilai atau menghargai orang lain.
Budaya ini merosakkan motivasi dan keikhlasan dalam bekerja. Apabila yang bekerja keras tidak dihargai, dan yang kurang menyumbang pula disanjung, maka nilai keadilan dalam organisasi mula runtuh. Ia menyuburkan budaya hipokrasi dan politik pejabat, bukannya profesionalisme dan integriti.
Work Hard vs Work Smart: Mana Lebih Berkualiti?
Dalam dunia pekerjaan moden, sering kita dengar frasa “work smart, not just work hard.” Namun, adakah benar kerja bijak itu lebih penting daripada kerja keras? Jawapannya terletak pada keseimbangan.
Bekerja keras tanpa strategi hanya mengundang keletihan tanpa hasil yang maksima. Sebaliknya, bekerja secara pintar tanpa komitmen dan ketekunan boleh membawa kepada keputusan yang dangkal dan tidak menyeluruh.
Kualiti kerja dalam organisasi yang cemerlang perlu diasaskan atas gabungan kerja keras dan bijak dalam pekerjaan. Work hard mencerminkan disiplin, semangat juang dan kesungguhan.
Work smart pula membawa dimensi kecekapan, inovasi dan hasil yang lebih besar dengan sumber yang lebih minimum. Kedua-dua elemen ini bukan bersaing, tetapi saling melengkapi.
Organisasi yang berjaya adalah organisasi yang mampu mengiktiraf bakat dan sumbangan pekerjanya secara adil, tidak kira sama ada sumbangan itu datang dalam bentuk kerja yang menuntut tenaga fizikal atau kecekapan intelek.
Pengiktirafan yang telus dan berasaskan prestasi sebenar akan menyemai budaya kerja positif dan meningkatkan produktiviti.
Firman Allah dan Sabda Nabi sebagai Pedoman
Islam sangat mementingkan keadilan dan penghargaan terhadap usaha manusia. Allah SWT berfirman dalam Surah An-Najm, ayat 39:
"Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya." (Surah An-Najm: 39)
Ayat ini memberi jaminan bahawa setiap usaha akan mendapat balasan yang setimpal. Maka, dalam konteks dunia kerja, setiap organisasi perlu berlaku adil dalam memberi pengiktirafan. Setiap titik peluh perlu dihargai, setiap idea perlu diberi ruang untuk berkembang.
Rasulullah SAW juga pernah bersabda:
“Berikanlah upah kepada pekerja sebelum kering peluhnya.” (Hadis Riwayat Ibn Majah)
Hadis ini jelas menunjukkan betapa Islam sangat menitikberatkan keadilan dan penghargaan terhadap pekerja. Ia bukan sahaja bersifat material, tetapi juga melibatkan penghormatan terhadap sumbangan tenaga dan intelektual seseorang.

Membudayakan Penghargaan: Jalan Menuju Kecemerlangan
Sudah tiba masanya organisasi di Malaysia menilai semula cara mereka menilai sumbangan pekerja. Sistem penilaian prestasi yang terlalu berpaksikan populariti atau hierarki perlu diganti dengan sistem yang berteraskan prestasi sebenar dan impak kerja.
Kepimpinan yang adil dan berintegriti harus menyelami realiti di lapangan dan tidak hanya melihat kepada laporan di atas kertas.
"Hero yang Tidak Didendang" bukan hanya kisah peribadi, tetapi cerminan sistem yang perlukan pembaikan. Mereka mungkin tidak menuntut apa-apa, tetapi organisasi perlu sedar bahawa tanpa mereka, kejayaan tidak akan bertahan lama.
Kualiti dan kejayaan sebenar lahir daripada tenaga kolektif semua lapisan — bukan hanya mereka yang di hadapan, tetapi juga mereka yang membina asas dari belakang.
Budaya penghargaan tidak semestinya dalam bentuk wang atau anugerah mewah. Kadangkala cukup dengan ucapan terima kasih yang ikhlas, pengiktirafan kecil, atau peluang untuk berkembang. Apa yang paling penting ialah pekerja merasa dihargai dan diiktiraf.
Dalam dunia kerja yang ideal, tiada siapa yang harus menjadi hero yang dilupakan. Setiap individu berhak mendapat pengiktirafan yang adil, tanpa mengira pangkat, kedudukan atau gaya kepimpinan.
Gabungan kerja keras dan kerja bijak, disulami dengan nilai keikhlasan serta budaya penghargaan yang telus, adalah kunci sebenar untuk menjadikan organisasi di Malaysia lebih cemerlang dan gemilang.
Semoga kita semua menjadi insan yang menghargai, dan juga dihargai — bukan hanya oleh manusia, tetapi yang lebih penting, di sisi Allah SWT. - DagangNews.com








