Baru-baru ini penulis menonton semula Hated in the Nation, satu daripada episod dalam siri Black Mirror di Netflix. Episod fiksyen sains ini ditayangkan pada tahun 2016 (musim 3, episod terakhir), namun mesejnya terasa semakin relevan dengan keadaan di Malaysia hari ini.
Penulis pertama kali menggunakan filem ini sebagai kajian kes dalam kelas Business Information Systems untuk program MBA pada tahun 2017.
Waktu itu, hampir semua pelajar menganggap jalan ceritanya futuristik — teknologi lebah robot, sistem undian kebencian dan kecerdasan buatan (AI) yang mampu menghukum manusia. Semuanya dilihat sekadar imaginasi sains fiksyen.
Namun, hampir satu dekad kemudian, mesej episod ini tidak lagi bersifat “andaian masa depan”. Ia terasa begitu dekat dengan kehidupan kita. Bukan kerana lebah robot itu sudah wujud, tetapi kerana isu yang diketengahkan — politik kebencian, buli siber dan cancel culture — semakin nyata di sekeliling kita.
Kisah ini dibawa melalui sudut pandang Detektif Karin Parke (lakonan Kelly Macdonald) dan pembantunya, Blue Coulson (Faye Marsay). Mereka menyiasat kematian seorang wartawan yang dibenci ramai gara-gara tulisannya yang kontroversi. Tidak lama kemudian, mangsa lain turut ditemui mati. Kesemua mereka pernah menjadi sasaran kecaman netizen di media sosial.

Siasatan akhirnya mendedahkan sesuatu yang mengejutkan: lebah robot (Autonomous Drone Insects) yang pada asalnya dicipta untuk menggantikan lebah sebenar yang pupus telah digodam. Sistemnya dimanipulasi melalui cara mudah tetapi mengerikan.
Orang ramai hanya perlu menggunakan tanda pagar #DeathTo di Twitter untuk “mencalonkan” siapa yang mahu dihukum. Nama yang mendapat undian terbanyak akan menjadi sasaran serangan ribuan lebah robot sehingga maut secara tragis.
Lebih mengejutkan, di penghujung cerita terbongkar bahawa sistem itu turut menghukum mereka yang mengambil bahagian dalam undian kebencian tersebut. Puluhan ribu pengguna media sosial akhirnya mati akibat perbuatan mereka sendiri.
Episod ini sarat dengan ketegangan, manakala lakonan Kelly Macdonald dan Faye Marsay berjaya membawa penonton merasai dilema antara teknologi, moral, dan sifat manusia yang mudah terbawa emosi kebencian.
Politik Kebencian: Retorik yang Merosakkan
Di Malaysia, kita tidak ada lebah robot. Namun, kita ada politik kebencian yang kerap dijadikan modal. Retorik tentang kaum, agama atau ideologi sering dimainkan untuk meraih pengaruh.
Sama seperti undian kebencian dalam Hated in the Nation, suara bising di media sosial mampu menjatuhkan reputasi seseorang dalam sekelip mata, walaupun tidak semestinya berasaskan kebenaran.
Akhirnya yang rugi ialah rakyat. Kita diheret ke dalam kitaran saling curiga dan menuding jari. Politik yang sepatutnya menjadi medan membina masa depan bersama berubah menjadi gelanggang emosi tanpa noktah.

Buli Siber: Hukuman Tanpa Batas
Filem ini juga menggambarkan bagaimana individu biasa boleh dihukum seolah-olah mereka penjenayah besar hanya kerana satu kesilapan. Fenomena ini sama seperti buli siber di Malaysia.
Kita pernah melihat artis, usahawan, ahli politik atau orang awam dihentam habis-habisan gara-gara kesilapan kecil atau video tular. Ribuan komen pedas membanjiri media sosial mereka hingga ada yang murung, tertekan, malah ada yang memilih jalan singkat menamatkan hidup.
Kita sering lupa bahawa di sebalik setiap akaun media sosial, ada manusia yang punya hati, keluarga dan perasaan. Bila kita menekan butang share atau meninggalkan komen pedas, bukankah itu seolah-olah sengatan lebah robot yang menyerang tanpa belas kasihan?
Cancel Culture: “Membunuh” Tanpa Mahkamah
Dalam Hated in the Nation, cancel culture digambarkan dalam bentuk paling ekstrem — hukuman mati. Di Malaysia, kesannya mungkin tidak sampai ke tahap fizikal, tetapi cukup untuk “membunuh” kehidupan sosial seseorang.
Ada yang terpaksa memadam akaun media sosial. Ada yang kehilangan pekerjaan. Ada yang menanggung reputasi tercalar sepanjang hayat. Semua ini mungkin bermula daripada satu kenyataan, satu kesilapan atau satu video.
Hakikatnya, manusia tidak sempurna. Namun budaya cancel sering menjadikan kita lebih ghairah menghukum daripada berusaha memahami.
Cermin untuk Kita Semua
Apa yang ditonjolkan Hated in the Nation adalah betapa rapuhnya manusia apabila teknologi digandingkan dengan emosi kebencian. Media sosial hanyalah alat; manusialah yang menyalakan apinya.
Beberapa persoalan untuk kita renungkan:
Adakah kita sekadar pemerhati, atau pernah juga menekan butang “hukum” itu?
Bila melihat seseorang dihentam di media sosial, adakah kita menambah minyak ke api, atau memilih untuk berhenti dan berfikir?
Bagaimana kita mahu membina budaya digital yang lebih empati dan adil?
Dari Lebah Robot ke Masyarakat Malaysia
Hari ini, Malaysia berada di persimpangan. Politik kebencian boleh memecah-belahkan bangsa. Buli siber boleh meragut nyawa. Cancel culture boleh menghancurkan masa depan seseorang.
Kita perlu keberanian untuk menolak budaya ini. Bukan dengan menutup mulut atau menyembunyikan isu, tetapi dengan membina ruang digital yang lebih beradab — berpaksikan tabayyun, empati dan tanggungjawab.

Undang-undang dan peraturan mungkin ada, tetapi penapis paling berkesan datang daripada dalam diri kita sendiri. Kekuatan dalaman itulah yang menentukan sama ada kita menambah minyak pada api kebencian, atau menahan diri demi kebaikan bersama.
Sempena Hari Kemerdekaan dan gagasan Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni, inilah masanya kita menghayati erti kemerdekaan sebenar. Bukan sekadar bebas daripada penjajah, tetapi juga bebas daripada belenggu kebencian, prejudis, dan budaya menghukum tanpa belas.
Hanya dengan masyarakat yang berempati dan saling menyantuni, Malaysia mampu bergerak maju sebagai sebuah negara yang benar-benar merdeka — dalam jiwa dan dalam pemikiran. - DagangNews.com








