Dilema peladang kecil: Tanggung kos tanam semula sawit hari ini, esok belum tahu menjadi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dilema peladang kecil: Tanggung kos tanam semula sawit hari ini, esok belum tahu menjadi

Antara kawasan tanam semula sawit dalam Kumpulan PKPP Negeri Pahang yang berjaya.
Oleh Mohd Khairil Jamahuri

Industri kelapa sawit merupakan antara penyumbang utama kepada ekonomi negara melalui pendapatan eksport dan penjanaan peluang pekerjaan.

 

Walau bagaimanapun, kelewatan pelaksanaan program tanam semula telah dikenal pasti sebagai faktor kritikal yang menyumbang kepada penurunan produktiviti industri sawit.

 

Fenomena ini wajar dianggap sebagai satu barah kepada hasil sawit kerana kesannya berpanjangan terhadap pengeluaran nasional dan daya saing Malaysia di pasaran global.

 

Pokok kelapa sawit lazimnya mencapai hasil optimum pada umur antara lapan hingga dua puluh tahun, dengan potensi pengeluaran sehingga 25 hingga 30 tan buah tandan segar (BTS) sehektar setahun di ladang yang diurus dengan baik.

 

Selepas tempoh tersebut, hasil mula merosot secara beransur-ansur, manakala ketinggian pokok yang boleh melebihi 12 hingga 15 meter menyukarkan dan meningkatkan kos aktiviti penuaian.

 

Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan kecekapan buruh ladang, malah turut meningkatkan kos pengeluaran keseluruhan.

 

Mohd Khairil Jamahuri
                                  Mohd Khairil Jamahuri

 

Faktor Penyebab

Beberapa faktor utama menyumbang kepada kelewatan tanam semula. Pekebun kecil khususnya sering berdepan kekangan kewangan kerana kos tanam semula dianggarkan antara RM12,000 hingga RM15,000 sehektar, sedangkan pendapatan mereka bergantung sepenuhnya kepada hasil semasa.

 

Kebergantungan terhadap pokok tua yang masih menghasilkan tandan walaupun pada kadar rendah turut menyebabkan ramai pekebun menangguhkan keputusan untuk menebang dan mengganti tanaman baharu.

 

Selain itu, tahap kesedaran teknikal dalam kalangan pekebun masih rendah, khususnya berkaitan implikasi jangka panjang kelewatan tanam semula terhadap hasil ladang dan ekonomi negara.

 

Proses birokrasi dalam kelulusan bantuan atau skim tanam semula juga sering dilaporkan sebagai punca kelewatan tambahan.

 

Kesan kelewatan ini sangat ketara terhadap pengeluaran dan ekonomi ladang. Hasil sawit boleh merosot sehingga kurang daripada 15 tan sehektar setahun selepas pokok mencapai umur 25 tahun, manakala kos operasi meningkat mendadak disebabkan keperluan tenaga kerja tambahan untuk menuai pokok yang tinggi.


 

parafrasa
Penghasilan BTS rendah, ketinggian pokok yang tinggi serta kekurangan buruh penuai merupakan faktor program tanam semula perlu dilaksanakan segera.

 

 

Dari sudut makroekonomi, purata hasil negara akan terus menurun, sekali gus menjejaskan kedudukan Malaysia berbanding negara pesaing seperti Indonesia yang lebih agresif melaksanakan program tanam semula.

 

Penurunan produktiviti ini juga memberi kesan langsung terhadap pendapatan pekebun kecil yang semakin terhimpit dengan kos pengeluaran yang meningkat.

 

Strategi dan Penyelesaian

Bagi mengatasi masalah ini, strategi yang lebih menyeluruh perlu dilaksanakan. Penyediaan skim insentif kewangan dan pinjaman mudah kepada pekebun kecil amat penting bagi mengurangkan beban kos tanam semula.

 

Pada masa sama, penggunaan bahan tanaman berkualiti tinggi seperti benih DxP dan klon yang mempunyai ciri 'precocity' dapat mempercepatkan tempoh matang dan meningkatkan hasil dalam jangka masa lebih singkat.

 

Pelaksanaan tanam semula secara berperingkat di ladang pula dapat memastikan aliran hasil tidak terputus sepenuhnya, sekali gus mengurangkan risiko kehilangan pendapatan mendadak.

 

Di samping itu, pendidikan teknikal, latihan dan pemantauan berterusan, contohnya seperti yang dijalankan oleh pihak syarikat LKPP Corp. melalui bahagian teknikal agronomi, sangat perlu untuk meningkatkan kesedaran serta pemahaman tentang kepentingan dan kawalan spesifikasi tanam semula secara terancang kepada pihak ladang.

 

 

parafrasa

 

parafrasa
Antara kualiti pembinaan teres yang terbaik adalah melalui pemantauan yang berkesan.

 


Secara keseluruhannya, kelewatan tanam semula sawit bukan sekadar isu di peringkat ladang individu, tetapi juga masalah struktural yang memberi kesan makroekonomi kepada negara.

 

Sekiranya isu ini tidak ditangani segera, ia akan terus menjejaskan purata hasil per hektar, meningkatkan kos pengeluaran dan melemahkan kedudukan Malaysia sebagai pengeluar sawit utama dunia.

 

Justeru, pelaksanaan program tanam semula yang terancang, disokong dasar kerajaan serta kerjasama erat antara pekebun, syarikat perladangan dan institusi kewangan amat penting bagi memastikan kelestarian produktiviti industri sawit negara. - DagangNews.com

 

Mohd Khairil Jamahuri adalah Ahli Agronomi, Bahagian Agronomi Inovasi & Khidmat Pertanian di LKPP Corporation Sendirian Berhad