Buli bukan sekadar jejaskan mangsa tetapi juga negara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Buli bukan sekadar jejaskan mangsa tetapi juga negara

#JusticeForZara
Oleh Prof. Madya Dr. Nazimah Hussin

Buli bukan lagi masalah tersembunyi di Malaysia, malah ia telah menjadi kebimbangan negara yang menuntut perhatian dan tindakan daripada semua lapisan masyarakat. Kes menyayat hati adik Zara Qairina Mahathir masih menggegarkan negara sehingga hari ini.

 

Penderitaan yang dialaminya yang dipersepsikan oleh masyarakat akibat daripada buli, telah menyatukan rakyat Malaysia merentasi semua kaum dan agama dalam seruan untuk perubahan  dan mendapatkan keadilan.

 

Kes ini telah membangkitkan emosi yang mendalam dan kuat. Ia telah mendorong netizen, para pendidik, selebriti dan pemimpin masyarakat untuk bersuara.

 

Buli bukan sahaja telah membangkitkan kerisauan pelbagai pihak, tetapi yang lebih penting lagi, kes buli mempunyai implikasi yang negatif, bukan sahaja untuk mangsa dan pelaku, tetapi buli mempunyai kesan yang jauh lebih luas kepada  masyarakat, institusi, dan negara. 

 

 

Prof. Madya Dr. Nazimah Hussin
  Prof. Madya Dr. Nazimah Hussin

 


Bagaimana Buli Memberi Impak kepada Negara

Akibat dan impak buli bukan sahaja akan dihadapi pelaku buli secara individu, malah skala akibat boleh menggugat kelestarian negara. Mangsa buli boleh mengalami trauma, kebimbangan, atau kerosakan psikologi jangka panjang.

 

Apabila buli menjadi pengetahuan umum, ia boleh menjejaskan kepercayaan terhadap institusi, terutamanya institusi tempat pembulian berlaku. Ibu bapa mungkin akan menarik anak mereka keluar dari institusi berkenaan kerana kerisauan keatas keselamatan anak-anak mereka.

 

Kredibiliti institusi juga akan jatuh dengan persoalan yang timbul dalam kalangan pemegang taruh. Perkara-perkara ini akan mewujudkan ketidakstabilan dalam sistem pendidikan dan dapat merosakkan nama baik institusi pendidikan.

 

Di peringkat kebangsaan, kes buli yang berulang kali berlaku akan menjejaskan imej negara di peringkat global.

 

Pemerhati asing, para pelabur, dan institusi pendidikan antarabangsa mungkin mula melihat negara ini sebagai tidak selamat dan tidak diurus dengan baik dari segi kebajikan dan pendidikan. Persepsi ini boleh menjejaskan mata tangga kedudukan negara di peringkat antarabangsa.

 

 

parafrasa

 

 

Kesan Kewangan dan Emosi

Buli juga boleh memberi kesan kewangan dan emosi. Institusi yang berurusan dengan kes buli, perlu melalui pengurusan krisis, menyediakan keselamatan tambahan, program latihan dan perkhidmatan kaunseling.

 

Kerajaan juga mungkin terpaksa mengalihkan peruntukan belanjawan untuk menangani isu ini melalui dasar baharu, penyiasatan dan perkhidmatan sokongan.

 

Bagi keluarga mangsa dan pembuli, beban emosi adalah berat. Dalam kes tertentu, pembuli mungkin menghadapi pertuduhan undang-undang, prosiding mahkamah, dan juga pemenjaraan. Akibatnya, hidup mereka hilang di penjara besi atau di pusat tahanan juvana bertahun-tahun.

 

Manakala, keluarga boleh mengalami tekanan emosi akibat daripada rasa malu dan penghinaan dalam komuniti yang tidak matang. Adik beradik pembuli mungkin akan mengalami diskriminasi. Ini semua dapat mengakibatkan keluarga hancur secara emosi dan terasing secara sosial.

 

Keruntuhan keharmonian keluarga dan masyarakat ini menyumbang kepada masalah sosial yang lebih besar. Apabila keharmonian sosial terganggu, kemajuan negara boleh menjadi perlahan, kerana masyarakat yang berpecah dan tidak percaya antara satu sama lain, tidak akan boleh menumbuhkan kerjasama, dan inovasi.

 

Isu Kelestarian Negara

Kelestarian bukan sahaja mengenai alam sekitar atau ekonomi. Ia juga melibatkan kestabilan sosial, kesejahteraan emosi, dan pembangunan jangka panjang penduduk yang aman, berpendidikan dan bertanggungjawab.

 

Jika kes buli masih tidak dapat dikawal, ia akan menyalurkan kepada budaya ketakutan, pencerobohan dan perpecahan. Ini akan melemahkan asas sebuah negara dan akan menjejaskan keupayaan untuk membina masa depan negara yang mampan.

 

Langkah Ke Arah Penyelesaian Holistik

Masalah buli boleh dikurangkan dan diselesaikan menggunakan pendekatan menyeluruh yang melibatkan setiap lapisan masyarakat. Institusi, ibu bapa, agensi kerajaan, NGO, dan tokoh masyarakat mesti memainkan peranan dalam mewujudkan perubahan yang berkekalan.

 

1. Undang-undang dan Penguatkuasaan yang lebih kukuh

Malaysia perlu mengukuhkan undang-undang berkaitan buli. Penalti harus jelas dan dikuatkuasakan dengan tegas. Undang-undang seharusnya bukan sahaja melindungi mangsa tetapi juga bertindak sebagai penghalang. Rangka kerja undang-undang yang kukuh adalah diperlukan untuk menghantar mesej bahawa buli adalah satu kesalahan dengan akibat dan kesan yang serius. Di samping itu, undang-undang mesti merangkumi perlindungan untuk pemberi maklumat, sama ada mereka pelajar, guru, ibu bapa atau orang ramai. Ini penting untuk memastikan pemberi maklumat yang melaporkan kejadian buli tidak dihukum atau diancam. Rangka kerja undang-undang yang kukuh dan inklusif perlu menggambarkan bahawa buli adalah satu kesalahan yang serius, dan pembuli tidak akan dilindungi. 

 

2. Dasar dan Tindakan Peringkat Institusi

Setiap institusi mesti mempunyai dasar anti-buli yang telus dan sistem pelaporan yang selamat. Guru dan kakitangan memerlukan latihan untuk mengenali tanda-tanda awal buli dan campur tangan dengan berkesan. Institusi juga harus menyediakan program kaunseling dan sokongan rakan sebaya untuk membantu kedua-dua mangsa dan pembuli untuk sembuh dan berkembang.


 

parafrasa

 


3. Penglibatan Ibu Bapa

Ibu bapa memainkan peranan penting dalam mencegah buli. Mereka mesti dididik tentang tanda-tanda buli, baik sebagai mangsa mahupun sebagai pelaku. Institusi harus mengadakan sesi dengan ibu bapa untuk memastikan mereka dimaklumkan dan terlibat dalam mewujudkan persekitaran yang selamat untuk anak-anak.

 

4. Sokongan daripada NGO dan Kumpulan Komuniti

Pertubuhan bukan kerajaan juga dapat memainkan peranan dengan membantu menyediakan sumber tambahan, kempen kesedaran, dan kaunseling. Perspektif bebas dan sokongan daripada NGO dan Kumpulan Komuniti ini mungkin dapat menyokong melancarkan proses secara lebih berkesan. 

 

5. Pendidikan dan Kesedaran Awam

Kesedaran awam adalah kunci kepada perubahan jangka panjang. Buli perlu ditangani secara terbuka dan berterusan. Pendidikan tentang empati, rasa hormat, dan penyelesaian konflik perlu dimasukkan dalam kurikulum.

 

Orang awam termasuk selebriti, influencer, dan pemimpin agama boleh berperanan untuk memberi impak yang lebih kuat. Mereka perlu mempunyai gaya dan pendekatan yang unik yang dapat menarik minat segmen masyarakat yang berbeza.

 

Seorang selebriti mungkin boleh menggunakan penceritaan dalam nyayian, manakala, seorang tokoh agama boleh memasukkan mesej anti-buli dalam khutbah dan ceramah.

 

Dengan menggunakan format yang kreatif dan menarik, masing-masing berperanan untuk menarik segenap lapisan masyarakat dalam menanam benih kesedaran kearah perubahan secara lebih menyeluruh. 

 

Laluan Ke Arah Kemajuan Negara

Jika masyarakat Malaysia bersatu dalam menangani kes buli, kita boleh memastikan bahawa apa yang berlaku kepada adik Zara tidak akan berulang lagi.

 

Lebih penting, kita boleh membina semula kepercayaan dalam sistem pendidikan dan institusi dalam negara yang akan dapat mengekalkan enrolmen pelajar.

 

Apabila institusi kita menjadi lebih selamat dan keyakinan individu dapat dikembalikan, kestabilan kewangan akan menyusul. Dengan ini, sumber kerajaan boleh diarahkan ke arah pembangunan dan bukannya tindak balas krisis.  

 

 

parafrasa

 

 

Dari Krisis kepada Komitmen

Kes adik Zara tidak seharusnya dikenang hanya sebagai tragedi tetapi sebagai titik perubahan. Sudah tiba masanya untuk Malaysia komited sepenuhnya untuk menghapuskan buli melalui undang-undang yang kukuh, dokongan komuniti dan sistem pendidikan yang lebih komprehensif.

 

Apabila buli dibendung, keharmonian emosi dan sosial dapat dipulihkan. Institusi menjadi lebih stabil dan boleh dipercayai. Orang ramai berasa selamat dan didengari.

 

Reputasi negara kita juga akan menjadi bertambah baik di peringkat tempatan dan global. Maka dengan ini, Malaysia boleh bergerak lebih pantas ke hadapan sebagai sebuah negara yang berkaliber, berwibawa dan mampan. - DagangNews.com

 

 

Prof. Madya Dr. Nazimah Hussin adalah ensyarah di Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim, Universiti Teknologi Malaysia  (AHIBS UTM)