Pantech dijangka raih lebih banyak kontrak dalam industri minyak sawit | DagangNews Skip to main content

Pantech dijangka raih lebih banyak kontrak dalam industri minyak sawit

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 19 Okt - Pantech Group Holdings Bhd. dijangka memperoleh lebih banyak kontrak dalam industri minyak sawit berikutan harga komoditi itu yang lebih kukuh. 

 

Mercury Securities Research turut menjangkakan hasil daripada segmen itu akan meningkat kepada 20% bagi tahun kewangan berakhir 28 Februari 2023 (FY23) daripada 4% pada FY21.

 

"Dengan lebih daripada 30,000 unit penyimpanan stok (SKU), syarikat berada pada kedudukan yang lebih baik untuk memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Pengeluar paip, injap dan kelengkapan itu menggandakan pendapatannya pada suku kedua berakhir 31 Ogos 2022 berikutan penghantaran lebih tinggi kepada projek minyak dan gas (O&G) tempatan, ditambah dengan permintaan eksport yang kukuh untuk kedua-dua keluli karbonnya dan produk keluli tahan karat.

 

Untung bersih bagi suku berkenaan meningkat kepada RM31 juta berbanding RM15.31 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya dengan pendapatan turut melonjak kepada RM269.97 juta daripada RM136.49 juta.

 

Ini menyaksikan untung bersih Pantech bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Ogos 2022 meningkat 88% kepada RM57.4 juta daripada RM30.5 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan meningkat 90% kepada RM540.66 juta daripada RM284.99 juta.

 

Firma itu berkata, prestasi lebih kukuh itu disebabkan campuran produk yang lebih baik, dan peningkatan permintaan eksport disokong oleh pembukaan semula ekonomi dan kesan yang semakin berkurangan daripada pandemik COVID-19.

 

"Kami mendapati bahawa nikel, yang merupakan bahan mentah utama yang digunakan oleh Pantech telah mengalami penurunan harga yang mengakibatkan harga jualan purata (ASP) lebih rendah untuk produk mereka," jelasnya.

 

Dalam pada itu, Mercury Research berkata, prospek cerah sektor minyak dan gas (O&G) akan meningkatkan nilai kontrak semasa kumpulan sebanyak RM400 juta setakat 1 Oktober 2022, yang akan diiktiraf sepenuhnya dalam tempoh sembilan bulan hingga setahun setengah.

 

Menurutnya, dengan lebih daripada 70% pendapatan kumpulan diperoleh daripada sektor tersebut, Pantech berada dalam kedudukan yang betul untuk mendapat manfaat daripada kitaran perbelanjaan modal (capex) Petronas.

 

"Kira-kira 40% daripada hasil sektor ini adalah menerusi penyelenggaraan paip, injap dan kelengkapan (PVF), mencerminkan pendapatan berulang yang kukuh," katanya.

 

Berdasarkan prospek positif kumpulan ia menyemak semula unjuran hasil dan keuntungan bagi FY23 masing-masing sebanyak 3.8% dan 27.5% manakala bagi FY24 pula ialah 1% dan 26.2%.

 

Firma tersebut turut menyemak naik harga sasaran Pantech kepada 93 sen daripada 63 sen sebelum ini dengan mengekalkan saranan 'beli'.

 

Setakat 11.22 pagi, harga sahamnya menokok 4.5 sen atau 7.14% kepada 67.5 sen dengan 3.26 juta saham diniagakan. - DagangNews.com