KUALA LUMPUR 20 Jun - MIDF Research menyemak naik penarafan Gamuda Bhd. kepada 'beli' daripada 'dagangan beli' selepas kumpulan meraih kontrak reka bentuk dan pembinaan bernilai A$1.35 bilion (RM4.12 bilion) daripada kerajaan New South Wales (NSW).
Usaha sama membabitkan Ferrovial Construction Australia dan Gamuda Australia (FGJV) itu adalah bagi menyiapkan pakej kerja utama projek Pintasan Coffs Harbour yang akan mengurangkan tempoh perjalanan selama 12 minit di sepanjang Lebuhraya Pasifik dengan memintas 12 set lampu isyarat.
Prospek positif daripada perolehan terkini itu, turut mendorong MIDF Research menaikkan harga sasarannya kepada RM4.02 berbanding RM3.89 sesaham sebelum ini.
Menurut firma itu, perolehan terbaharu itu akan mengukuhkan kehadiran Gamuda di Australia untuk melaksanakan pelbagai kerja infrastruktur di dalam dan luar negara.
Katanya, dengan mengandaikan margin keuntungan konservatif sebanyak 5%, projek itu dijangka menyumbang keuntungan sebelum cukai (PBT) kira-kira RM104 juta sepanjang 4 tahun tempoh projek atau RM26 juta setahun.
"Oleh itu, kami optimis dengan perolehan terkini, yang akan menyumbang secara positif kepada hasil Gamuda sehingga tahun kewangan berakhir 31 Julai 2026 (FY26)/FY27.
"Projek pintasan ini akan memberi rangsangan kepada penambahan nilai projek Gamuda, meningkatkan kontrak semasa yang belum dibilkan kira-kira RM12.5 bilion, sekali gus memberi pendapatan yang kukuh sehingga FY26," katanya dalam nota kajian hari ini.
Skop projek itu merangkumi lebuh raya 4 lorong baharu dan yang dinaiktaraf sejauh 14 kilometer (km) dari selatan bulatan Englands Road ke lebuh raya di Sapphire; pintasan Coffs Harbour City dari selatan persimpangan Englands Road ke Korora Hill dan terowong melalui Roberts Hill, Shephards Lane dan Gatelys Road.
Dalam pada itu, MIDF Research juga optimis dengan prospek Gamuda susulan pengumuman tender bagi projek MRT3, yang mana ia dijangka meraih pakej CMC303.
"Kami menganggarkan pakej yang membabitkan kerja-kerja bawah tanah sepanjang 10 km dan 6 km bahagian tinggi ini bernilai RM14.29 bilion," tambahnya.
Firma itu juga difahamkan terdapat kemungkinan terbitan dividen khas oleh Gamuda susulan pelupusan konsesi lebuh raya kepada Amanah Lebuhraya Rakyat.
"Dalam hal ini, kami menganggarkan bayaran kira-kira 15% daripada hasil tunai berjumlah RM2.35 bilion, iaitu sekitar 14 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com








