Oldtown White Coffee sediakan pakej francais baharu dengan modal di bawah RM50,000 dan RM100,000 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Oldtown White Coffee sediakan pakej francais baharu dengan modal di bawah RM50,000 dan RM100,000

KUALA LUMPUR 17 Mac - Oldtown Berhad akan mengembangkan francais Oldtown White Coffee menerusi penyediaan pakej baharu dengan modal kurang daripada RM50,000 dan RM100,000 ke pasaran global.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Oldtown White Coffee, Dawn Liew berkata, pakej baharu itu adalah sebagai tanda sokongan kepada hasrat kerajaan untuk mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan kepada golongan B40 dan M40.

 

Ia juga selaras dengan perancangan syarikat untuk membuka 30 cawangan baharu di seluruh negara sepanjang tahun ini.

 

"Pengunjung turut berpeluang untuk menyaksikan prototaip bagi Pakej Perniagaan Francais Mikro (mesin layan diri) dan mampu milik Oldtown Express di Oldtown Kopitiam Carnival yang dianjurkan di Sunway Pyramid bermula 15 hingga 20 Mac 2022 ini," katanya, lapor Berita Harian.

 

Oldtown menjangkakan pakej francais baharu yang dilancarkan kelmarin bakal memasuki pasaran pada suku keempat 2022.

 

Program itu turut menyaksikan sesi memeterai perjanjian francais bernilai RM2.9 juta antara Oldtown White Coffee bersama enam francaisi baharu yang akan membuka cawangan Oldtown di IOI City Mall, kawasan rehat dan rawat (R&R) Tapah, Kedah Digital Library dan lokasi lain.

 

Program selama enam hari itu akan turut diisi dengan pelbagai aktiviti menarik seperti pelancaran menu baharu, demo masakan, pameran produk Oldtown dan banyak lagi.

 

Antara menu baharu adalah Coffee Crumbles Freezy (Freezy Taburan Kopi), Chocolate Pops Freezy (Freezy Coklat Pop), Red Bean Sesame Freezy (Freezy Bijan Kacang Merah), aiskrim perisa bijan, cendol kopi putih dengan aiskrim, ayam kukus dengan bebola nasi dan ayam BBQ dengan bebola nasi. - DagangNews.com