KUALA LUMPUR 19 Mac - Northport (Malaysia) Bhd, ahli Kumpulan MMC, telah mencapai rekod baharu bagi pengendalian kargo pukal pecah tertinggi dari sebuah kapal.
Syarikat itu berkata, pencapaian tersebut diraih melalui kejayaan pengendalian 48,853 tan berat muatan (FWT) kargo keluli daripada kapal kargo konvensional, MV Jin Chao, mengatasi rekod sebelumnya iaitu 47,246 FWT yang dikendali kapal MV Wu Yi Hai pada Mei 2022.
MV Jin Chao, yang membawa muatan kargo keluli terdiri daripada gegelung keluli panas, rod wayar dan jentera kargo projek, telah menjalani operasi dari 10 hingga 13 Mac 2024 dengan lapan syif bekerja di Wharf 15, Northport.
Menurut Northport, kejayaan operasi ini adalah hasil kerjasama yang baik di antara kakitangan dan kontraktor Northport, bagi memastikan pengendalian yang pantas. Selain itu, perancangan penyusunan kontena yang teratur juga memainkan peranan penting dalam mencapai prestasi pecah rekod ini melalui pergerakan operasi pengendalian kargo yang lancar dan selamat.
Bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini, Northport mendedahkan bahawa ia telah mengendalikan sejumlah 1,883,588 FWT kargo konvensional, pertumbuhan 9.7% berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Beberapa segmen kargo utama menyumbang kepada peningkatan kendalian ini, yang mana produk besi dan keluli telah mencatatkan pertumbuhan dua angka pada 36%, dipacu penjualan produk besi dan keluli pada harga lebih kompetitif dari China.
Menghargai kerjasama mereka yang terlibat, Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd Yusof berkata pencapaian pengendalian kargo pukal pecah tertinggi untuk kapal MV Jin Chao ini membuktikan komitmen berterusan Northport di dalam memenuhi permintaan pasaran bagi perniagaan kargo konvensional.

“Walaupun pelabuhan kami adalah pelabuhan tua dengan kekangan skop untuk pengembangan, kami berjaya mengoptimumkan sumber yang ada dan mengurangkan gangguan bagi menangani cabaran-cabaran sektor maritim.
“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pelan Reinventing Northport kami telah menghasilkan pencapaian yang ketara, termasuk beberapa prestasi pecah rekod dalam operasi perniagaan,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.
Pada tahun lalu, Northport telah mencatat rekod pencapaian baharu setelah berjaya mengendalikan sejumlah 11.4 juta FWT kargo konvensional, lebih tinggi daripada 11.1 juta pada tahun sebelumnya. - DagangNews.com








