Nilai pembinaan meningkat kepada RM29.5 bilion pada suku pertama | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Nilai pembinaan meningkat kepada RM29.5 bilion pada suku pertama

KUALA LUMPUR 11 Mei - Nilai kerja pembinaan bagi suku pertama 2022 semakin bertambah baik pada -6.1% berbanding -12.9% pada suku keempat 2021 dengan jumlah RM29.5 bilion daripada RM27.6 bilion bagi tempoh sama suku sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, bagi suku pertama 2022, subsektor aktiviti pertukangan khas meneruskan pertumbuhan 2 digit sebanyak 24.1% manakala bangunan bukan kediaman mencatat peningkatan 4.2% dalam nilai kerja pembinaan.

 

Katanya, pertumbuhan subsektor bangunan kediaman dan kejuruteraan awam masing-masing menguncup pada 11.9% dan 15.5%.

 

"Pada suku pertama 2022, subsektor kejuruteraan awam kekal sebagai penyumbang utama nilai kerja pembinaan dengan bahagian sebanyak 35.1%.

 

"Subsektor bangunan bukan kediaman pula menyumbang 30.4% manakala bangunan kediaman dan aktiviti pertukangan khas masing-masing menyumbang 24.2% dan 10.2%,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Dalam penerbitan Statistik Pembinaan Suku Tahunan, Suku Pertama 2022 itu juga menunjukkan sektor swasta tumbuh 3.2% dan menyumbang 60.7% daripada nilai kerja pembinaan (RM17.9 bilion) berbanding sektor awam yang terus bertambah baik kepada -17.6% dan menyumbang 39.3% daripada nilai kerja pembinaan (RM11.6 bilion).

 

Pada masa sama, sumbangan nilai kerja pembinaan mengikut negeri telah didominasi oleh Selangor, Wilayah Persekutuan dan Sarawak yang berjumlah RM16 bilion atau mewakili 54.2% daripada keseluruhan nilai kerja pembinaan.

 

“Selangor merekodkan nilai kerja pembinaan tertinggi pada suku pertama 2022 iaitu sebanyak RM6.9 bilion dan diikuti Wilayah Persekutuan (RM5.8 bilion) dan Sarawak (RM3.3 bilion),” katanya. - DagangNews.com