KUALA LUMPUR 25 Mac - Harga purata sepinggan nasi putih kosong di Malaysia pada Februari 2024 adalah RM1.94 dengan Putrajaya merekodkan harga sepinggan nasi putih kosong sebanyak RM2.67, tertinggi berbanding negeri lain.
Perlis pula paling murah dengan harga nasi kosong direkodkan pada RM1.53 sen beradasar laporan Indeks Harga Pengguna (IHP) Februari 2024 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Sebagai perbandingan, rekod DOSM pada September 2023 menunjukkan harga purata nasi kosong di Malaysia adalah RM1.86 sepinggan.
Peningkatan itu dilihat susulan kekurangan beras tempatan di pasaran yang menyebabkan peniaga makanan beralih kepada beras import yang lebih mahal.
Berdasar IHP terbaharu, Beras wangi import dan Beras basmati masing-masing dilapor meningkat sebanyak 6.3 peratus pada Februari 2024 (Januari 2024: 6.6%) dan 1.0 peratus (Januari 2024: 2.1%).
ARTIKEL BERKAITAN: Inflasi beras perlu diberi perhatian, naik lebih 4% dua bulan berturut-turut
Kata DOSM, peningkatan beras wangi dan beras basmati itu telah menyumbang peningkatan inflasi kelas perbelanjaan bijirin & produk bijirin kepada 2.5 peratus pada Februari 2024 (Januari 2024: 2.7%).
Bawang putih dan bawang merah besar masing-masing meningkat 28.5% dan 22.6% pada Februari 2024 berbanding bulan sama tahun sebelumnya, kata DOSM.

Memetik laporan IHP Februari 2024, peningkatan bulan lalu meneruskan aliran peningkatan pada Januari 2024 yang menyaksikan bawang merah besar naik 27.3% dan bawang merah besar 15.8% berbanding bulan sama tahun sebelumnya.
Sebagai perbandingan, harga purata bawang merah besar India yang direkodkan DOSM pada November 2023 adalah RM4.78 sekilo dan harganya naik kepada RM6.95 sekilo pada Februari 2024.
Bagi bawang putih pula, data DOSM pada Februari 2024 merekodkan harga purata di seluruh Malaysia pada RM12.32 sekilo manakala pada November 2023 (RM12.12).
Sementara itu, kesan inflasi pelaksanaan pelarasan tarif air mengikut mekanisme penetapan tarif (TSM) bagi kategori pengguna domestik di Semenanjung Malaysia dan Labuan yang berkuat kuasa 1 Februari 2024 dapat disaksikan pada pelaporan IHP bulan lalu.
Kenaikan itu menyebabkan lonjakan inflasi pada subkumpulan utama Bekalan air & pelbagai perkhidmatan berkaitan dengan rumah kediaman pada 29.7 peratus (Januari 2024: 9.3%).
Inflasi Malaysia pada Februari 2024 meningkat 1.8% dengan mata indeks mencatatkan 132.1 berbanding 129.8 pada bulan yang sama tahun sebelumnya, menurut DOSM.
Ini kali pertama Malaysia melaporkan peningkatan inflasi setelah berada dalam aliran penurunan dengan Januari 24 kekal 1.5% seperti mana Disember dan November lalu.- DagangNews.com








