Mubarak Hussain dilantik sebagai pengarah baharu KAB berkuat kuasa 29 April 2024 | DagangNews Skip to main content

Mubarak Hussain dilantik sebagai pengarah baharu KAB berkuat kuasa 29 April 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 April - Datuk Mubarak Hussain Akhtar Husin dilantik sebagai pengarah bukan eksekutif bukan bebas baharu Kinergy Advancement Bhd (KAB) berkuat kuasa 29 April 2024.

 

Beliau yang berusia 47 tahun merupakan individu penting dalam sektor korporat negara dan memiliki pengalaman luas serta rekod prestasi cemerlang dalam pelbagai sektor termasuk pembinaan, pembangunan hartanah, perkhidmatan keselamatan, pegangan pelaburan serta khidmat perundingan.

 

Memiliki Ijazah Sarjana Eksekutif Pengurusan Sains Gunaan dari Universiti Asia E, Mubarak merupakan ahli perniagaan dengan pengalaman lebih dua dekad dalam pengurusan syarikat.

 

Beliau juga terkenal dengan penglibatannya dalam memulihkan syarikat yang berdepan masalah kewangan.

 

Timbalan Pengerusi Eksekutif yang juga Pengarah Urusan Kumpulan KAB, Datuk Lai Keng Onn  berkata, pengalaman luasnya dalam pelbagai sektor memberikan perspektif berharga bagi membolehkan kumpulan itu terus berinovasi serta mengembangkan rumusan tenaga mampan mereka.

 

"Pelantikan itu adalah penambahan kepada pelantikan Dr. Amanda Lee Sean Peik sebagai pengarah bebas bukan eksekutif dan Jonathan Wu Jo-Han sebagai pengarah eksekutif bagi mengukuhkan kepimpinan kumpulan sambil memacu visi KAB," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sepanjang kerjayanya, Mubarak berjaya memulihkan syarikat yang mengalami masalah kewangan, menunjukkan keupayaannya untuk pengawasan strategik dan pengurangan risiko yang berkesan.

 

Pendekatan tersendirinya dalam menguruskan beberapa projek kompleks dari permulaan hingga ke peringkat operasi, khususnya dalam sektor pembinaan dan pembangunan hartanah, mempamerkan kepakarannya dalam menguruskan projek.

 

Keng Onn berkata, pengembangan mereka dalam segmen rumusan tenaga lestari (SES) memberikan prospek pendapatan positif pada tahun ini.

 

"Kepercayaan yang diberikan kepada KAB oleh Dr Amanda, Jonathan dan Mubarak menjadikan mereka penambahan berharga kepada pasukan kami.

 

"Kepakaran mereka akan memacu pertumbuhan KAB, mengukuhkan visi dan memajukan rancangan kumpulan dalam pasaran tenaga mampan di Malaysia dan Asia," katanya.- DagangNews.com