KUALA LUMPUR 14 Mac - MSM Malaysia Holdings Bhd. komited kepada Inisiatif Sasaran Berasaskan Sains (SBTi) dan Matlamat Sifar Bersih (Business Ambition for 1.5 Celsius) oleh Kompak Global Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGC) pada 3 Mac 2022, yang menyeru untuk mengehadkan pemanasan global kepada 1.5°C.
Dengan menandatangani inisiatif SBTi dan Sifar Bersih ini, ia merupakan sebahagian daripada peningkatan rangka kerja alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) MSM.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Syed Feizal Syed Mohammad berkata, MSM telah mula mengumpul data dan memantau trend jejak karbonnya serta pelepasan GHG sejak 2018, justeru, usaha sedia ada harus diteruskan, dengan penambahbaikan dan penyelarasan melalui pendigitalan bagi memastikan rancangan kumpulan untuk menjadi neutral karbon tercapai lebih awal lagi sebelum 2050.
Katanya, MSM menyedari peranannya untuk mengurangkan risiko perubahan iklim, serta perkara berkaitan kemampanan dan telah mengambil langkah penting dengan menubuhkan jabatan khas berkaitan ESG.
Selain itu, kumpulan turut mewujudkan pasukan khas merangkumi seluruh kumpulan terdiri daripada petugas yang berpengalaman dan sokongan pakar luar untuk memantau pelepasan GHG dan inventori, penjanaan sisa, pemuliharaan sumber, dan pelbagai inisiatif serta program lain.
"Kami akan memantau dengan teliti aktiviti karbon berkaitan Skop 1 dan 2 untuk berusaha ke arah menjadi neutral karbon melalui program rangsangan sambil melanjutkan jangkauan seterusnya ke Skop 3 dalam ekosistem perniagaan.
"Semua usaha ini bukan hanya mengenai pematuhan tetapi membuat perkara yang betul," katanya dalam kenyataan hari ini.
MSM ialah syarikat berasaskan makanan kedua di Malaysia yang menyokong komitmen tersebut selepas syarikat induk, FGV Holdings Bhd., dengan sasaran berasaskan sains menyediakan hala tuju yang jelas untuk syarikat mengurangkan pelepasan Gas Rumah Hijau (GHG), membantu mencegah kesan perubahan iklim melampau dan pertumbuhan perniagaan yang kukuh.
Selepas menandatangani Surat Komitmen, MSM mempunyai masa selama 24 bulan untuk menyerahkan sasaran pengurangan pelepasan berasaskan sains (sasaran jangka dekat) yang ditetapkan dan disahkan serta diterbitkan oleh SBTi.
Sasaran yang diserahkan kepada SBTi hendaklah melalui tapisan awal untuk memastikan kriteria asas dipenuhi.
Beberapa inisiatif berterusan MSM mencari peluang dalam operasi pembuatan yang lebih hijau seperti bumbung solar, dandang biomas dan mempertimbangkan menggantikan bahan api fosil dengan menggunakan campuran bahan api B20 untuk logistik sebagai sebahagian daripada komitmen Kumpulan untuk menangani perubahan iklim di semua operasi iaitu, MSM Prai Bhd., MSM Sugar Refinery (Johor) Sdn. Bhd. dan MSM Logistics Sdn. Bhd.
Kumpulan MSM komited untuk meneruskan inisiatif ini secara aktif dan seterusnya untuk meneutralkan pelepasan GHG dalam menangani perubahan iklim melalui pendekatan operasinya untuk mencapai sasaran secara komited selaras dengan aspirasi kumpulan, nasional dan antarabangsa. - DagangNews.com








