MSM lancar rangkaian tambahan produk baharu Gula Super | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MSM lancar rangkaian tambahan produk baharu Gula Super

(Dari kiri) Ketua Pegawai Operasi Kumpulan MSM, Hasni Ahmad; CEO Kumpulan Koperasi Permodalan Felda, Sakinah Salleh, Syed Feizal Syed Mohammad, Pengarah Urusan Aeon Big (M) Sdn Bhd, Sheik Farouk Sheik Mohamed dan selebriti tempatan, Nabila Huda ketika pelancaran Gula Super di Aeon Big Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 6 November 2023..
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 6 Dis - MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM), pengeluar jenama gula bertapis terkemuka negara 'Gula Prai', mengumumkan pelancaran rasmi produk terbaharunya kepada barisan produk Gula Prai yang dikenali sebagai Gula Super.

 

Gula Prai ialah jenama ikonik Malaysia keluaran tempatan, dihasilkan di kilang penapisan MSM di Prai, Pulau Pinang dengan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 1.05 juta tan gula bertapis yang merupakan kilang penapisan gula terbesar di Malaysia, dan di Tanjung Langsat, Johor dengan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 1 juta tan gula halus.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Syed Feizal Syed Mohammad berkata, MSM menjadi pemain utama dalam industri gula tempatan sejak 1964. 

 

Katanya, pengenalan produk premium baharu Gula Super sememangnya tepat pada masanya memandangkan pihaknya akan meraikan ulang tahun yang ke-60 tahun depan. 

 

"Produk Gula Super ini melambangkan bukti keupayaan penapisan kami yang luar biasa, bertaraf dunia dan kami sentiasa memastikan pengeluaran produk berkualiti tinggi untuk pengguna kami. Gula yang tinggi ketulenannya dengan kualiti luar biasa adalah untuk penggemar makanan dan minuman (F&B) dalam masakan, bakeri dan kuih-muih antara lainnya.

 

"Gula Super telah berada di seluruh negara sejak Mei tahun ini pada harga runcit yang disyorkan RM4.60 untuk pek 1 kg. Jenama Gula Prai sendiri telah mencapai penembusan pasaran sebanyak 68% dan menduduki tempat ketiga sebagai pilihan pengguna paling popular di Malaysia untuk jenama FMCG menurut syarikat cerapan data terkemuka Kantar dalam laporan Asia Brand Footprint 2021 dan 2022 mereka. 

 

"Pelancaran Gula Super bukan sahaja memberi pilihan kepada pengguna tetapi kami optimis ia akan mengukuhkan kedudukan kami sebagai peneraju pasaran dalam gula bertapis di Malaysia," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

 

MSM

 

 

Pengeluaran dan pembekalan Gula Prai sedia ada yang juga dikenali sebagai Gula Peket Hijau adalah mencukupi sebagaimana mandat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). Selain itu, Gula Super akan menjadi pilihan terbaik untuk pengguna di Malaysia kerana harganya ditentukan pasaran, dan bukannya tertakluk kepada harga terkawal.

 

Di tengah-tengah persekitaran mencabar yang berpanjangan dengan kos input yang tinggi disebabkan peningkatan kos gula mentah, kos pengangkutan dan gas asli serta kelemahan ringgit Malaysia, industri gula tempatan kekal berdaya tahan. Harga siling yang ditetapkan kerajaan kekal tidak berubah dan tanpa subsidi sejak 10 tahun lalu.

 

Pada masa ini, harga terkawal gula Malaysia adalah yang paling murah di rantau ini dan dunia mewakili anomali dalam ekonomi. Oleh itu, banyak negara lain di rantau ini menaikkan harga gula seperti Indonesia dan Thailand untuk mengatasi kos input yang tinggi.

 

Syed Faizal berkata, di sebalik cabaran itu, jualan Gula Super yang dilancarkan pada Mei tahun ini telah menyumbangkan hasil tambahan kepada syarikat dengan hanya kira-kira 1,000 tan pada Mei, sehingga kini permintaan dan pengeluaran stabil antara 4,000 hingga 6,000 tan sebulan. 

 

"Oleh itu, majlis pelancaran ini menandakan kesediaan Kumpulan MSM untuk memenuhi permintaan Gula Super di seluruh Malaysia dan kami optimis ia akan terus menyumbang secara positif kepada kewangan MSM pada suku tahun akan datang," katanya. - DagangNews.com