MOF yakin KWAP kembangkan dana kepada RM200 bilion menjelang 2025 - Tengku Zafrul | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MOF yakin KWAP kembangkan dana kepada RM200 bilion menjelang 2025 - Tengku Zafrul

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Kementerian Kewangan (MOF) yakin Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dapat mengembangkan saiz dana secara mampan dengan jumlah dana kasar sebanyak RM200 billion menjelang 2025, melalui pelancaran TERAS 5.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, KWAP turut menyasarkan peningkatan jumlah aset harta daripada 17 kepada lebih 30 serta mempunyai lebih 35 subsidiari dalam tempoh tersebut.

 

Beliau berkata, KWAP telah berkembang maju sebagai sekumpulan syarikat yang telah meluaskan portfolio pelaburannya sebanyak tiga kali ganda dari dana bernilai RM41.9 bilion pada 2007 kepada sekitar RM159 bilion ringgit pada hari ini. 

 

"Kementerian yakin dengan penglibatan KWAP dalam penyelesaian jangka panjang ini, pelan seperti TERAS 5 akan memastikan organisasi ini bersedia untuk mencapai visi baharunya untuk menjadi dana persaraan yang menyokong pembangunan negara dengan terus menyampaikan manfaat bagi ahli-ahlinya.

 

"Saya difahamkan TERAS 5 akan dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun dari 2022 hingga 2024. Inisiatif ini akan memacu transformasi KWAP kepada sebuah organisasi yang tangkas serta meningkatkan produktiviti dan kecekapan operasinya untuk memberi perkhidmatan lebih baik kepada pesara serta membentuk ekosistem pencen yang lebih dinamik.

 

"Saya yakin bahawa KWAP telah mengambil tindakan yang tepat pada masanya, untuk melancarkan TERAS 5. Ini sememangnya sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk mengoptimumkan kekuatan GLIC (Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan) sekali gus mengukuhkan ekonomi Malaysia dan melindungi keperluan fiskal semasa dan masa depan negara," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran TERAS 5 (KWAP), di sini hari ini.

 

 

zafrul
Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz

 

 

Turut hadir Ketua Setiausaha Perbendaharaan merangkap Pengerusi KWAP, Datuk Seri Asri Hamidin @ Hamidon dan Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Nik Amlizan Mohamed.

 

Tengku Zafrul berkata, sebagai pemain dan pelabur utama, GLIC dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) merupakan tunjang penting kepada asas ekonomi Malaysia dan menyumbang kira-kira RM445 billion atau 25% pasaran Bursa Malaysia serta memberi peluang pekerjaan kepada lebih 500,000 rakyat Malaysia.

 

Beliau berkata, selain daripada menguruskan dana persaraan, KWAP turut dilantik kerajaan sebagai ejen untuk melaksanakan perkhidmatan pembayaran persaraan pada tahun 2015 dan telah mencapai skor tahap perkhidmatan sebanyak 98% pada tahun lalu.

 

"Dalam pada itu, KWAP turut berusaha sama untuk menjadi pemimpin intelek dalam arena persaraan. 

 

"Antara inisiatif yang boleh dijadikan contoh adalah kerjasama KWAP dengan Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing) untuk menerbitkan laporan yang menggariskan enam cadangan mengenai kesediaan persaraan dan penuaan yang produktif," katanya. - DagangNews.com