MITI komited pastikan rantaian bekalan industri kekal berdaya tahan | DagangNews Skip to main content

MITI komited pastikan rantaian bekalan industri kekal berdaya tahan

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 14 Ogos - Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) komited memastikan rantaian bekalan industri kekal berdaya tahan bagi memupuk daya saing ekonomi Malaysia. 

 

Menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, sebagai sebuah negara yang terbuka kepada pelaburan dan perdagangan, Malaysia amat peka dengan gangguan rantaian bekalan yang disebabkan oleh situasi geopolitik global dan bencana alam. 

 

“Rantaian bekalan global merupakan talian hayat ekonomi dunia yang saling berkait dan melengkapi antara satu sama lain.

 

"Keselamatan rantaian bekalan bukan sahaja membolehkan aliran barangan, perkhidmatan dan input yang lancar merentasi sempadan, malahan dapat menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran sejagat. 

 

"Pandemik COVID-19 merupakan peringatan atau wake-up call yang jelas mendedahkan kelemahan dan seterusnya menyedarkan MITI mengenai peri pentingnya rantaian bekalan industri yang berdaya tahan dan efisien,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

mpn
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tengku Zafrul Abdul Aziz pada Mesyuarat MPN Kali Keenam hari ini. /Gambar Tengku Zafrul

 

Menurut MITI, Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) yang keenam pada kali ini memberi penekanan kepada “Membina Sekuriti Ekonomi Melalui Rantaian Bekalan Yang Berdaya Tahan”.

 

Untuk itu, katanya, semua pihak berkepentingan perlu menggunakan pendekatan pelbagai serampang bagi meningkatkan daya tahan rantaian bekalan global. 

 

Jelas MITI, kerjasama antara Kerajaan, perniagaan dan organisasi antarabangsa adalah mustahak dalam memudahkan perkongsian maklumat, menyelaras maklum balas dan membangunkan piawaian yang seragam. 

 

"Ini termasuk keperluan untuk memanfaatkan teknologi, mempelbagaikan pilihan sumber, memupuk kerjasama serantau dan meningkatkan keupayaan fleksibiliti sebagai strategi utama dalam mengukuhkan rantaian bekalan yang responsif kepada gangguan rantaian.

 

"Pendigitalan memainkan peranan penting dalam mengukuhkan daya tahan dan keselamatan keseluruhan rantaian bekalan, memacu inovasi dan memberi kelebihan daya saing dalam pasaran global yang semakin kompleks. 

 

"Dengan memanfaatkan teknologi digital, Malaysia mampu meningkatkan keupayaannya untuk mencegah dan bertindak balas terhadap gangguan, melaksanakan Langkah keselamatan yang teguh, dan menyelaraskan operasi untuk kecekapan dan ketangkasan yang lebih tinggi melalui pendigitalan dalam bentuk sistem, aplikasi dan pusat kecemerlangan maya," jelasnya.

 

Kata kenyataan itu, berdasarkan hasil dapatan sesi libat urus MITI bersama industri dan penglibatan kerjasama dua hala serta pelbagai hala yang disertai, terdapat keperluan untuk mewujudkan langkah-langkah pencegahan bagi menghadapi kemungkinan gangguan; responsif terhadap gangguan; ketersediaan menghadapi gangguan; dan pemulihan terhadap gangguan yang dihadapi.

 

"Justeru itu, MPN hari ini memutuskan supaya MITI memulakan inisiatif bagi membangunkan sebuah platform yang dapat meningkatkan kebolehkesanan (traceability); membolehkan capaian berpusat kepada garis panduan; peluang pembiayaan; dan program sokongan termasuk memperkukuh perkongsian ilmu dalam kalangan pemain industri sekaligus menggalakkan inovasi serta Kerjasama dalam dan luar negara dalam membina rantaian bekalan yang berdaya tahan," ujarnya. - DagangNews.com