MIMOS, G7 Aerospace bekerjasama tingkatkan keupayaan integrasi sistem tempatan dalam ekosistem aeroangkasa | DagangNews Skip to main content

MIMOS, G7 Aerospace bekerjasama tingkatkan keupayaan integrasi sistem tempatan dalam ekosistem aeroangkasa

KUALA LUMPUR 8 Mei - MIMOS Bhd dan G7 Aerospace Sdn Bhd memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bertujuan meningkatkan keupayaan integrasi sistem tempatan dalam ekosistem aeroangkasa.

 

Dalam satu kenyataan, MIMOS berkata, kerjasama strategik itu menyerlahkan komitmen bersama bagi mengukuhkan keupayaan Malaysia dalam teknologi aeroangkasa, memupuk kemajuan teknologi dan aktiviti bernilai tinggi dalam sektor itu.

 

"Kerjasama itu merangkumi pelbagai inisiatif termasuk penyertaan alam program Pusat Inovasi Teknologi Industri (ITIC) yang diuruskan oleh MIMOS, projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama yang tertumpu kepada inovasi, pembinaan kapasiti melalui latihan dan pemindahan pengetahuan, serta projek yang disesuaikan dalam sektor avionik," katanya lapor Bernama, hari ini.

 

Perjanjian kerjasama itu dimeterai semasa Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

 

Mimos berkata kerjasama itu merupakan peluang terbaik untuk memacu kemajuan dalam industri aeroangkasa Malaysia dengan membolehkan bukti aktiviti konsep melalui program ITIC.

 

Inisiatif itu membolehkan MIMOS menyokong pemain industri dalam menguji dan memperhalusi teknologi mereka sebelum dikomersialkan dengan berkesan dan memendekkan masa untuk memasarkan produk baharu.

 

Sementara itu, G7 Aerospace akan memainkan peranan penting dengan memanfaatkan kepakarannya dalam perkhidmatan penyelenggaraan avionik. 

 

“Penglibatan mereka akan meningkatkan kualiti keseluruhan dan kebolehpercayaan perkhidmatan dan produk aeroangkasa di seluruh Malaysia.

 

"G7 Aerospace akan memberi fokus kepada memahami keperluan pelanggan, menyediakan dokumentasi reka bentuk untuk penyepaduan sistem dan pensijilan keselamatan, melabur dalam perkakasan dan perisian yang diperlukan untuk prototaip dan penyelesaian pasaran kepada pengguna akhir dan bakal pelanggan," katanya.

 

Pendekatan menyeluruh itu bertujuan membina kepakaran merentasi seluruh industri dan meletakkan Malaysia sebagai pemain utama dalam industri aeroangkasa global. - DagangNews.com