MIDF Research kekal unjuran eksport, import catat pemulihan pada 2024 berbanding penguncupan 7.6% dan 7% pada tahun ini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MIDF Research kekal unjuran eksport, import catat pemulihan pada 2024 berbanding penguncupan 7.6% dan 7% pada tahun ini

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Dis - MIDF Research mengekalkan unjuran bahawa eksport dan import akan pulih tahun depan.

 

Firma penyelidikan itu mengunjurkan bahawa kedua-dua segmen itu akan mencatatkan peningkatan positif berbanding penurunan masing-masing sebanyak 7.6% dan 7.0% pada 2023.

 

Mereka juga menyemak semula unjuran pertumbuhan import (ramalan sebelumnya: -7.4%) bagi mencerminkan penguncupan yang lebih kecil memandangkan jumlah import terkini yang lebih baik daripada jangkaan.

 

"Dengan pertumbuhan bagi kedua-dua eksport dan import pada purata masing-masing pada 7.8% dan 7.1%, dalam tempoh 11 bulan pertama.

 

"Kami menjangkakan kecenderungan menaik pada suku akhir 2023 seperti permintaan yang lebih kukuh dari China dan pemulihan dalam sektor perdagangan elektrik dan elektronik (E&E).

 

"Melangkah ke tahun hadapan, kami menjangkakan momentum untuk pemulihan perdagangan luar akan berterusan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Eksport Malaysia merosot 5.9% pada November 2023, lebih daripada jangkaan - DOSM

 

Terdahulu, eksport Malaysia mencatatkan pengurangan sebanyak 5.9% kepada RM122.1 bilion, manakala jumlah perdagangan menyusut 2.4% kepada RM231.8 bilion pada November 2023.

 

Pertumbuhan global yang sederhana serta permintaan luaran yang lemah terhadap barangan Malaysia mendorong penguncupan jumlah perdagangan terutamanya eksport.

 

Import kembali merekodkan peningkatan 1.7% kepada RM109.7 bilion, tahun ke tahun setelah lapan bulan berturut-turut merekodkan kejatuhan. Lebihan dagangan menurun 43.1% kepada RM12.4 bilion pada November 2023. 

 

Bagaimanapun, faktor seperti kelembapan dalam permintaan akhir daripada ekonomi maju, ketegangan geopolitik dan perdagangan yang semakin teruk serta tekanan harga yang tinggi, boleh menjejaskan prospek perdagangan global. - DagangNews.com