MHS Aviation, Westair tandatangani perjanjian pajakan helikopter bagi operasi di Namibia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MHS Aviation, Westair tandatangani perjanjian pajakan helikopter bagi operasi di Namibia

MHS mempunyai pelbagai jenis pesawat termasuk bagi kegunaan industri minyak dan gas. Gambar hiasan laman web MHS Aviation
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 21 Mac - Anak syarikat Boustead Holdings Bhd, MHS Aviation Bhd (MHS) dan Westair Helicopters menandatangani perjanjian pajakan tujuh tahun untuk memperkukuh operasi helikopter luar pesisir di Namibia.

 

Di bawah perjanjian ini, Westair akan memajak Airbus H175 yang dilengkapi konfigurasi minyak & gas (O&G) untuk memulakan penerbangan luar pesisir di Wilayah Afrika mulai Ogos 2024.

 

Menurut kenyataan media bersama, kedua-dua syarikat menyatakan kerjasama tersebut menandakan satu langkah besar ke hadapan dalam kemampanan operasi O&G luar pesisir.

 

"Mengintegrasikan Airbus H175 ke dalam operasi Namibia menandakan pengembangan strategik MHS dan ikrar kami terhadap kecekapan alam sekitar dan perkhidmatan yang inovatif. 

 

"Pesawat itu mewakili masa depan operasi luar pesisir dan kami berbangga memperkenalkannya ke pasaran Afrika bersama Westair," Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MHS, Mohd Fakhrul Arifin Adinan dalam satu kenyataan.

 

Helikopter Airbus H175 diperakui untuk terbang dengan bahan api penerbangan yang mampan, menekankan komitmen bersama terhadap prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

mhs

 

 

Helikopter Airbus H175 menawarkan peningkatan keselamatan penerbangan, keselesaan penumpang yang dipertingkat dan fleksibiliti yang ditetapkan untuk mentakrifkan semula piawaian operasi helikopter luar pesisir.

 

Mohd Fakhrul menambah, MHS akan terus mengembangkan perniagaannya di luar Malaysia.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Westair, Edwin Soeters menekankan kerjasama kedua-dua pihak memperkenalkan keupayaan operasi baharu dan mengukuhkan komitmen syarikat terhadap kemampanan dan kecemerlangan dalam perkhidmatan.

 

“Langkah ini yang disokong oleh MHS dan Airbus Helicopters telah memperkenalkan keupayaan operasi baharu dan mengukuhkan komitmen terhadap kemampanan dan kecemerlangan dalam perkhidmatan,” katanya. - DagangNews.com