MCMC: Liputan 4G seluruh negara cecah 94% | DagangNews Skip to main content

MCMC: Liputan 4G seluruh negara cecah 94%

 

CYBERJAYA 30 Sept - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, dari aspek tahap liputan 4G di kawasan berpenduduk, setakat akhir Ogos 2021, ia sudah mencecah tahap 94% berbanding dengan 91.8% pada September 2020 iaitu permulaan pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

 

Selain itu kata suruhanjaya tersebut, bagi tempoh yang sama, purata kelajuan jalur lebar mudah alih negara telah mencapai 29.14Mbps dan memperlihatkan peningkatan berbanding dengan 25Mbps.

 

Menurut MCMC, sejumlah 6.255 juta premis pula telah diliputi dengan rangkaian gentian optik dan jumlah berkenaan adalah jauh lebih tinggi jika dibandingkan dengan 4.95 juta premis pada September 2020.

 

'Secara keseluruhannya kata MCMC, di bawah Pelan JENDELA Fasa 1, sebanyak 1,661 menara komunikasi baharu akan dibina di kawasan bandar dan luar bandar yang dijangka bermula pada suku akhir tahun 2021.

 

''Turut dilaksanakan ialah perkhidmatan capaian jalur lebar melalui satelit (VSAT) di 839 lokasi di kawasan kurang berpenduduk di pedalaman pada suku keempat 2021 bagi meningkatkan capaian liputan Internet

 

''Laporan Suku Tahun Keempat JENDELA yang memperincikan mengenai perkembangan terkini pelaksanaan JENDELA akan diumumkan pada awal Oktober ini,'' kata MCMC dalam kenyataan di sini.

 

Menurut suruhanjaya itu, usaha pihak Kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan MCMC dalam mempertingkatkan tahap kesalinghubungan di seluruh negara di bawah pelaksanaan JENDELA menampakkan perkembangan yang memberangsangkan apabila ketiga-tiga indikator iaitu tahap liputan 4G di kawasan berpenduduk, purata kelajuan jalur lebar mudah alih dan rangkaian gentian optik masing-masing memperlihatkan petanda yang positif.

mcmc

''Perkembangan pelaksanaan JENDELA yang memberangsangkan ini didorong oleh sokongan padu yang diberikan oleh Kerajaan-kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), kerjasama oleh pihak industri serta komitmen Kerajaan dalam memastikan kesalinghubungan Internet yang lebih baik sekaligus memacu pertumbuhan ekonomi digital negara,'' kata MCMC.

 

Dalam pada itu, tindakan MCMC membangunkan JENDELA Map turut memberi peluang kepada rakyat bukan sahaja untuk mengajukan maklum balas atau aduan kepada penyedia perkhidmatan bagi menambah baik kualiti serta liputan perkhidmatan jalur lebar bahkan juga mengetahui status liputan rangkaian perkhidmatan jalur lebar mereka. - DagangNews.com