McDonald's tarik balik saman RM6 juta terhadap BDS Malaysia  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

McDonald's tarik balik saman RM6 juta terhadap BDS Malaysia 

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 22 Mac - McDonald's Malaysia menarik balik saman fitnah yang difailkan terhadap Boycott Divestment Sanctions (BDS) Malaysia, susulan hasil positif proses mediasi dan penjelasan daripada BDS.

 

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar menegaskan, tindakan pengendali McDonald’s di Israel sama sekali tiada kena mengena dengan pihaknya.

 

"Berkenaan dengan saman fitnah yang difailkan oleh McDonald's Malaysia kepada BDS Malaysia, kami ingin menekankan langkah ini diambil bagi memastikan semua pihak memahami dengan jelas tentang kedudukan McDonald's Malaysia dalam konflik berlaku di Timur Tengah ketika ini. 

 

"Kami tetap teguh dengan pendirian kami untuk tidak menyokong dan tidak terlibat dalam sebarang konflik atau peperangan. Setelah beroperasi selama lebih empat dekad di Malaysia dan sebagai perniagaan 100% milik Muslim, kami berbangga menjadi sebahagian daripada anggota masyarakat di negara ini. 

 

"McDonald’s Malaysia juga tetap komited untuk bersikap telus, menjalankan perniagaan yang beretika dan melaksanakan tanggungjawab sosial terhadap seluruh rakyat Malaysia," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Pada 30 Disember 2023, media melaporkan, McDonald's Malaysia memfailkan saman sivil terhadap BDS Malaysia.

 

Pemilik francais McDonald's di Malaysia, Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd (GAR) menuntut jumlah kerugian hasil RM3 juta, pampasan untuk pekerja yang diberhentikan (RM1.5 juta) dan tamat tempoh bahan (RM1.5 juta).
 

Dalam pernyataan tuntutannya, GAR berkata syarikat itu 100% dimiliki oleh orang Islam dan 55% daripada pelanggannya juga beragama Islam.

 

Menurut kenyataan itu, di tengah-tengah konflik yang melanda Gaza, pihaknya sangat bersimpati dengan nasib mereka yang tidak bersalah di sana. 

 

"Kami dengan tegas mengutuk semua bentuk keganasan dan berdoa agar peperangan segera tamat dan keamanan dapat diwujudkan secara berterusan. 

 

"McDonald's Malaysia terus menyokong rakyat Palestin yang terkesan melalui sumbangan kami kepada Tabung Kemanusiaan Palestin dan pelbagai inisiatif pengumpulan dana oleh warga kerja kami untuk terus menyokong misi bantuan di Gaza," katanya.

 

Tambahnya, pihaknya berharap keputusan yang dibuat itu membolehkan semua pihak berganding bahu dan menumpukan usaha mencari rumusan demi menegakkan keadilan. - DagangNews.com