KUALA LUMPUR 20 Mac - MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) meneruskan penajaan Festival Ramadan Selangor (FESTIRA) buat kali kedua bagi menyokong usahawan kecil.
Kerjasama strategik di antara MBSB Bank, PREC dan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) ini dilihat akan memberikan manfaat dan kemudahan kepada usahawan-usahawan di premis yang dikawal selia oleh PREC menerusi penggunaan produk digital, melalui platform bayaran runcit masa nyata (RPP) yang diuruskan oleh PayNet.
Kerjasama ini juga dilanjutkan kepada 150 usahawan bazaar Ramadan di mana, MBSB Bank dan PayNet telah menaja khemah dan menyediakan perkhidmatan QR DuitNow untuk memudahkan urusan jual beli.
Inisiatif ini selaras dengan rancangan pendigitalan MBSB Bank dan PayNet untuk memacu transaksi tanpa tunai dalam kalangan usahawan kecil dan sederhana.
Seramai lebih 1,200 usahawan mengambil bahagian untuk berniaga di FESTIRA tahun ini yang menjual pelbagai jenis barangan keperluan Ramadan dan persediaan Aidilfitri seperti pakaian raya lelaki, wanita dan kanak-kanak, aksesori, kuih raya, barangan perhiasan dan kelengkapan rumah, makanan serta minuman dan banyak lagi.
FESTIRA yang merupakan festival Ramadan terbesar di Selangor, diilhamkan sendiri oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan dianjurkan oleh PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC), anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
Acara tersebut dianjurkan buat kali ke-10 tahun ini di SACC Mall , yang dilancarkan oleh EXCO Belia, Sukan & Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi.
FESTIRA tahun ini berlangsung di lima lokasi iaitu Kompleks PKNS Shah Alam, SACC Mall, Kompleks PKNS Bangi, Plaza Alam Sentral dan SACC Walk sepanjang bulan Ramadan.
Majlis turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mahmud Abbas; Ketua Pegawai Eksekutif PREC, Fakhrul Radzi Ab Ghani; Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Bank, Datuk Nor Azam M. Taib dan Pengarah Institusi Kewangan PayNet, Rahizan Rahmatullah. - DagangNews.com








