MBAM, Rehda gesa kerajaan tangani kebimbangan gangguan rantaian bekalan akibat mogok pemandu lori | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MBAM, Rehda gesa kerajaan tangani kebimbangan gangguan rantaian bekalan akibat mogok pemandu lori

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 26 Okt - Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) dan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) Malaysia menggesa kerajaan menangani kebimbangan yang berpunca daripada gangguan rantaian bekalan bahan binaan berikutan mogok pemandu lori baru-baru ini.

 

Mogok pemandu lori bermula 17 Oktober lalu di Kuala Lumpur, Johor, Melaka, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, antara lain, sebagai protes terhadap operasi penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang menyita lori lebih muatan.

 

Beberapa laporan berita menyatakan bahawa mogok terbabit telah berakhir pada 22 Oktober.

 

Presiden MBAM, Oliver HC Wee dan Presiden Rehda Malaysia, Datuk NK Tong dalam satu kenyataan bersama berkata mogok tersebut telah mengecewakan dan memberi kesan buruk kepada industri pembinaan.

 

“Sehubungan kejadian ini, beberapa tapak pembinaan terpaksa menghentikan kerja mereka selama lebih seminggu, yang tidak ekonomik, kerana ia menghalang mereka daripada beroperasi secara penuh. Ini juga telah menyebabkan gangguan penghantaran bahan binaan iaitu produk kuari dan pasir,” katanya.

 

Tambahnya, industri perlu menanggung semua kos dan masa tambahan, di samping isu lain yang akan mengurangkan produktiviti sektor dengan ketara.

 

"Oleh itu, MBAM dan Rehda menggesa kerajaan campur tangan dan membantu segera dalam menangani kebimbangan ini, sebelum ia meningkat lagi, memandangkan industri masih [pulih daripada pandemik].

 

“Kami berharap penyelesaian dapat ditemui bagi memastikan operasi lancar berterusan dalam ekonomi pembinaan kami, sambil mengekalkan piawaian keselamatan dan pematuhan," kata kenyataan itu. - DagangNews.com