Maybank catat untung bersih lebih rendah sebanyak RM1.86 bilion pada suku kedua, terjejas akibat rosot nilai lebih tinggi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Maybank catat untung bersih lebih rendah sebanyak RM1.86 bilion pada suku kedua, terjejas akibat rosot nilai lebih tinggi

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Maybank merekodkan keuntungan bersih yang lebih rendah pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022, susut kepada RM1.86 bilion daripada RM1.96 bilion yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya berikutan caj rosot nilai bersih yang lebih tinggi pada suku dikaji.

 

Bagi perbandingan suku ke suku, keuntungan bersih itu susut 9.2% daripada RM2.04 bilion yang dicatatkan pada suku pertama 2022.

 

Ini susulan daripada langkah Maybank untuk meningkatkan jangkaan kerugian kredit bagi pinjaman dan sekuriti kepada RM1.16 bilion sebagai langkah awal untuk mengurangkan sebarang keperluan yang berpotensi timbul berikutan peristiwa geopolitik yang semakin meningkat.

 

Hasilnya, keuntungan sebelum cukai bagi suku kedua susut 2.2% kepada RM2.67 bilion berbanding tahun sebelumnya manakala untung bersih berada pada 5.4% lebih rendah kepada RM1.86 bilion selepas kumpulan mencatatkan caj rosot nilai bersih sebanyak RM1.16 bilion berbanding RM567.2 juta tahun lepas.

 

Bagaimanapun, pendapatan operasi bersihnya bagi suku kedua itu meningkat 10.7% kepada RM6.83 bilion daripada RM6.17 bilion sebelumnya. 

 

Ini berikutan pembukaan semula ekonomi yang stabil yang membantu meningkatkan pendapatan berasaskan fi dengan kenaikan 25.1% tahun ke tahun yang teguh, dan pendapatan berasaskan dana bersih sebanyak 6.8% didorong oleh pertumbuhan pinjaman yang sihat. 

 

Bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2022, pendapatan operasi bersih kumpulan meningkat 2.3% kepada RM13.3 bilion daripada RM13 bilion sebelumnya apabila pendapatan berasaskan dana bersih meningkat 6.1% kepada RM10.08 bilion berikutan pertumbuhan pinjaman merentasi semua pasaran tempatan serta pengembangan NIM daripada persekitaran kadar yang semakin meningkat. 

 

Namun, pertumbuhan dalam pendapatan operasi bersih telah dikurangkan oleh pendapatan berasaskan fi bersih yang lebih rendah, yang merosot 7.7% kepada RM3.23 bilion daripada RM3.50 bilion pada separuh pertama 2021. 

 

Ini disebabkan terutamanya oleh pendapatan fi yang lebih rendah merentas kebanyakan segmen perniagaan hasil daripada pasaran yang lemah dan tidak menentu yang berterusan. 

 

Caj rosot nilai bersih untuk separuh pertama 2021 bagaimanapun, lebih tinggi pada RM1.75 bilion berbanding RM1.44 bilion sebelum ini berdasarkan peruntukan awal yang dibuat seperti yang dinyatakan sebelum ini. 

 

Selepas ditolak kira-kira RM1.64 bilion untuk cukai pendapatan dan zakat, keuntungan bersih kumpulan untuk separuh pertama 2022 berada pada RM3.9 bilion berbanding RM4.35 bilion setahun sebelumnya.

 

 

Zamzamzairani Mohd Isa
Zamzamzairani Mohd Isa

 

 

Mengulas mengenai prestasi kewangan ini, Pengerusi Maybank, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa berkata, kumpulan perbankan itu terus mencatatkan prestasi yang membanggakan dengan pertumbuhan dalam pendapatan setelah momentum ekonomi meningkat berikutan pembukaan semula ekonomi, walaupun turut terjejas oleh ketidaktentuan pasaran global.

“Memandangkan prospek terkini kekal berkabur disebabkan oleh ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik, kami akan memberi tumpuan untuk kekal tangkas bagi memanfaatkan peluang pertumbuhan yang muncul, di samping mengurus risiko dengan berhati-hati. 

"Berbangkit daripada trend yang berkembang dalam persekitaran luaran, Pelan M25 kami sedang diperhalusi lagi tetapi akan kekal sebagai tonggak utama yang memastikan Kumpulan kekal mampan dalam jangka panjang dan menyampaikan hasil yang terbaik untuk manfaat semua pemegang kepentingan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

Khairussaleh Ramli
Khairussaleh Ramli

 

 

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, kumpulan telah muncul lebih berdaya tahan selepas pandemik, mencatatkan pertumbuhan stabil merentas segmen perniagaan utamanya dan membina kesediaan menyeluruh yang lebih baik untuk menghadapi sebarang cabaran dengan yakin.

 

Katanya, kumpulan akan terus berdisiplin dalam mengekalkan kedudukan kecairan dan modal yang kukuh telah memberikannya keupayaan untuk mengharungi persekitaran operasi yang sukar. 

 

"Pada masa sama, kami komited untuk menyokong pelanggan kami melalui fasa pemulihan semasa, terutamanya ketika berdepan dengan persekitaran kadar faedah yang semakin meningkat. 

 

"Kami juga akan meningkatkan keupayaan digital di peringkat serantau dan memacu agenda kemampanan kerana ini akan menjadi kunci dalam memenuhi agenda pertumbuhan kumpulan," katanya. - DagangNews.com