MAA unjur pertumbuhan TIV kepada 600,000 unit pada 2022 kesan pemulihan ekonomi domestik | DagangNews Skip to main content

MAA unjur pertumbuhan TIV kepada 600,000 unit pada 2022 kesan pemulihan ekonomi domestik

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Jan - Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mengunjurkan pertumbuhan 18% dalam jumlah keseluruhan industri (TIV) kepada 600,000 unit pada tahun 2022 ekoran pemulihan ekonomi domestik, pengecualian cukai jualan dan perkembangan situasi rantaian bekalan.

 

Firma penyelidikan CGS-CIMB Research berkata, pihaknya tidak menafikan sasaran tinggi yang ditetapkan namun tidak menolak kemungkinan berlaku sekatan dalam operasi pada masa akan datang akibat penularan varian baharu COVID-19 selain kemungkinan peningkatan kadar faedah oleh bank pada tahun sama.

 

"Kami jangkakan jenama kenderaan tempatan seperti Perodua dan Proton akan menguasai semula sebahagian daripada pasaran dengan jangkaan peningkatan jualan sebanyak 18% (Perodua) dan 16% (Proton)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, akibat penurunan jualan pada Jun hingga Ogos 2021, TIV 2021 mencatatkan penurunan sebanyak 3.6% kepada 508,912 unit akibat penutupan kilang automotif menerusi pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara. 

 

Bagaimanapun, TIV 2021 berjaya mengatasi jangkaan MAA untuk penjualan 500,000 unit kenderaan akibat pemulihan jualan pada suku keempat 2021 (4Q21) walaupun berlaku pesanan tertunggak sejak separuh pertama 2021 (1H21).

 

"Jenama kenderaan tempatan mencatatkan penurunan sebanyak 2.9% kepada 59% pada 2021 berbanding 62% pada 2020 akibat peneraju pasaran, Perodua mencatatkan jualan rendah dengan penurunan sebanyak 13.6% akibat pandemik COVID-19, kekurangan bekalan cip dan bencana banjir yang melanda Lembah Klang.

 

"Bagaimanapun jenama lain mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 3.7% dengan sumbangan utama daripada penjualan Toyota iaitu pertambahan 22.4% dan Mitsubishi sebanyak 75.5%," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengulangi saranan 'neutral' terhadap sektor automotif yang didagangkan pada nilai (P/BV) 0.8x untuk tahun 2022.

 

Mereka melihat nilai berkenaan sebagai mencerminkan ketidakpastian dari segi pendapatan akibat kebimbangan terhadap penularan gelobang baharu COVID-19. - DagangNews.com